Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebar khabar angin di laman sosial yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.
Ismail berkata, masyarakat harus lebih bertanggungjawab serta memikirkan kesan negatif yang mungkin berlaku dengan penyebaran khabar angin yang tidak betul.
"Masyarakat seharusnya merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kesahihan sesuatu kejadian, bukan menyebar khabar angin di laman sosial seperti Facebook, Twitter atau blog," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas pelancaran Unit Rondaan Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini hari ini.
Ismail mengulas penyebaran khabar angin kononnya berlaku rusuhan di daerah Kuala Muda, Kedah.
Sambil menegaskan, apa yang disebarkan di laman sosial itu tidak benar, Ismail berkata: "(Pengisytiharan) darurat pun tidak benar, kalau betul (darurat) mesti saya dah dimaklumkan."
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab dilaporkan berkata, hasil siasatan dan risikan polis mendapati insiden yang berlaku tiada kaitan dengan permusuhan atau kebencian.
Dalam pada itu, Ismail ketika berucap pada majlis hari ini berkata inisiatif rondaan bermotosikal itu menunjukkan PDRM tidak bersikap berpuas hati dalam aspek menjaga keselamatan awam.
Jelasnya, konsultansi berterusan dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan formulasi strategi dipacu Kementerian Dalam Negeri membolehkan pelbagai program digarap bagi memantapkan usaha mengurangkan jenayah. - Bernama
No comments:
Post a Comment