Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia (Prasarana), Dato’ Azmi Abdul Aziz, yang dinamakan sebagai Tokoh Mahir 2016, berkata kerja adalah satu ibadah dan anugerah adalah satu tanggungjawab.
Menzahirkan rasa syukur atas pemberian Anugerah Perdana Menteri - ‘Tokoh Mahir 2016’ bersempena sambutan Hari Pekerja tahun ini, Dato’ Azmi berkata pengiktirafan daripada Kerajaan itu akan menguatkan lagi semangat beliau dan Prasarana untuk memperhebatkan usaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam negara.
“Warga kerja Prasarana tidak melihat kerja sekadar satu pekerjaan. Sebaliknya, kerja merupakan ibadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan demi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam untuk rakyat. Usaha gigih ini menjadi pemangkin kepada Kumpulan Prasarana untuk memberi mutu perkhidmatan awam yang terbaik.
“Anugerah yang dikurniakan hari ini merupakan amanat dan tanggungjawab Prasarana untuk melipatgandakan usaha dalam memperkasakan lagi industri pengangkutan awam ini,” kata Dato’ Azmi.
Beliau sebelum itu telah menerima daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak trofi ‘Anugerah Perdana Menteri – Tokoh Mahir 2016’ pada majlis sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2016, yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Anugerah berkenaan turut membawa hadiah wang tunai RM15,000, yang Dato’ Azmi akan salurkan sepenuhnya kepada Badan Kebajikan Islam Kumpulan Prasarana (BAKIP), yang mana beliau menjadi Penaung.
Diperkenalkan pada 2014 sebagai ‘Anugerah Tokoh Mahir’ sebelum dinaikkan taraf pada tahun ini kepada Anugerah Perdana Menteri: Tokoh Mahir, anugerah berkenaan diadakan selaras dengan peranan JPK dalam mengarusperdana latihan kemahiran dan meningkatkan kualiti sumber manusia mahir secara berterusan.
Selain menghargai peranan, sokongan dan sumbangan individu dalam memartabatkan bidang kemahiran di peringkat nasional dan antarabangsa, Anugerah Perdana Menteri: Tenaga Mahir juga adalah sebagai satu galakan dan motivasi kepada penggiat-penggiat kemahiran untuk meningkatkan kualiti dan kepakaran tenaga kerja mahir.
Kata Dato’ Azmi, Prasarana sentiasa bekerja rapat dengan JPK dalam memperkasakan tenaga mahir di bidang pengangkutan awam termasuk mengadakan program-program dan kursus-kursus di bawah kendalian Akademi Rel dan Akademi Bas milik Prasarana.
Di bawah kepimpinan Dato’ Azmi, Prasarana telah dilantik oleh JPK sebagai badan peneraju industri bagi sektor pengangkutan ‘Greater KL’ dengan pentauliahan kepada Akademi Rel dan Akademi Bas sebagai Pusat Bertauliah jabatan berkenaan.
Sehingga hari ini, lebih 1,500 kakitangan Prasarana telah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui pelaksanaan program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT). Di samping itu, Prasarana turut membantu membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standards) bagi sejumlah 19 bidang pekerjaan.
“Ini adalah satu transformasi besar dalam sistem latihan kemahiran. Program-program ini bukan sekadar menaikkan status pekerjaan mereka ini; tetapi turut memudahkan mereka untuk berkembang maju dalam karier masing-masing khususnya untuk mendapatkan diploma dan ijazah dalam bidang kerja mereka sekarang,” kata Dato’ Azmi.
Dengan pengalaman di bidang pengangkutan awam menjangkau 30 tahun, Dato’ Azmi menyertai Prasarana pada 2 Januari 2015 sebagai Pengarah Urusan Kumpulan. Sebelum itu, beliau pernah bertugas di Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn Bhd (PUTRA), KLRT Consultancy & Engineering Services, Rapid KL Sdn Bhd., Scomi Engineering Berhad dan di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.) di mana beliau menjadi Ketua Pegawai Pembangunan.
“Secara ikhlas, saya merasa bertuah untuk berkhidmat di bidang pengangkutan awam ini. Ia adalah sesuatu yang amat memuaskan hati (satisfying) secara peribadi. Di sini, anda bekerja untuk tolong orang dengan menyediakan pengangkutan awam, yang rata-rata diperlukan oleh semua orang.
“Orang menggunakan pengangkutan awam untuk bekerja dan mencari rezeki yang halal; untuk mengejar ilmu di sekolah dan instutusi pengajian tinggi, untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, persahabatan dan talian silatul-rahim dan pelbagai urusan harian.
“Dengan perkhidmatan LRT, monorel dan bas yang kami sediakan, bisnes dapat bergerak dan ekonomi negara dapat dijanakan. Lebih mantap pengangkutan awam, bermakna lebih tinggi produktiviti sekali gus meningkatkan ekonomi negara. Kerana itulah, saya sentiasa mengingatkan semua staf Prasarana dan anak-anak syarikatnya bahawa kerja ini adalah satu ibadah,’ tambah beliau.
Dengan rangkaian pengangkutan tren dan bas Rapid KL serta bas Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting dan Bas Rapid Transit-Laluan Sunway, Prasarana kini menggendalikan lebih satu juta penumpang sehari. Jumlah ini dijangka bertambah dengan pembukaan penuh Projek Penyambungan LRT untuk kedua-dua Laluan Ampang dan Kelana Jaya, yang dijadualkan pada 30 Jun ini.
“Program-program transformasi pengangkutan awam negara ini akan kita teruskan di Prasarana. Kerana, ini adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami. Kami juga akan terus memperkasakan nama Malaysia di pentas global,” kata Dato’ Azmi.
Prasarana buat julung kali telah mengendalikan operasi dan perkhidmatan tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Tanah Suci Mekah pada musim haji tahun lepas. Prasarana turut menyediakan kepakaran teknikal untuk membantu dalam ujian sistem semboyan MRT Purple Line Bangkok di samping menjalinkan kerjasama teknikal dengan MRT Jakarta
No comments:
Post a Comment