Thursday, June 16

OTAI ROCK BAWA BAS @MyRapidKL SAMBIL MENYANYI @azmiaziz60


Saya bukan membenci dunia seni atau muzik, tetapi sudah selesa dengan kerjaya ini walaupun perlu bekerja 16 jam sehari.

“Dulu mungkin saya berjuang untuk kelangsungan karier dalam bidang itu yang hanya bertahan setahun namun kini dapat menabur bakti kepada masyarakat.”

Itu kata Mohd Amir Abd Ghani, 41, vokalis band rock jiwang era lewat 90-an, Lemon T, yang kini bergelar pemandu bas RapidKL sejak lima tahun lalu.

Kumpulan seangkatan Spoon dan Def Gab C itu popular dengan lagu Kekasihku Diambil Orang dan Bunga Cinta Nista yang turut menjadi ‘hit’ pada era berkenaan walaupun hanya bertahan seketika.

Biarpun kurang dikenali berbanding band lain, satu daripada klip video karaoke lagu berdurasi lima minit itu kini sudah melebihi 2.2 juta tontonan.

Menurut anak kelahiran Jeram yang lebih dikenali sebagai Amir itu, dia menempuh pelbagai dugaan sebelum ini termasuk pernah bekerja sebagai operator pengeluaran kilang, penjual burger dan peraih kelapa sawit.


Menceritakan sisi hidupnya, Amir berkata, dia tidak pernah terfikir menjadi artis rakaman kerana hanya aktif menyanyi untuk undangan majlis perkahwinan di kampung.

“Namun, pada awal 1997 ketika berusia 21 tahun, saya ditawarkan menjalani sesi uji bakat mencari vokalis Lemon T dan akhirnya diterima selepas beberapa kali gagal.

“Selepas membuat rakaman album mengandungi 10 lagu termasuk Kekasihku Diambil Orang, band kami bagaimanapun hanya bertahan setahun (sehingga hujung 1998) dan membawa haluan masing-masing apatah lagi kegawatan ekonomi ketika itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Depoh RapidKL Shah Alam, Seksyen 22 di sini, semalam.

Amir berkata, dalam tempoh itu sehingga 2010, kehidupannya umpama jatuh bangun dan turut perlu menampung perbelanjaan hidup bersama isterinya, Nur Hashimah Mohd Sani, 36.

“Saya umpama tiada arah dengan mula menjual burger namun hanya bertahan seketika sebelum bekerja di kilang selama lapan tahun sehingga 2008.

“Saya turut mengusahakan ternakan ikan keli namun tidak berhasil sebelum meraih kelapa sawit dengan harga 20 sen sebiji di kampung,” katanya.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, sinar hidupnya kembali menjelma apabila diterima bekerja sebagai pemandu bas di RapidKL pada 2010 walaupun berasa kekok pada awalnya.

“Ketika itu saya nekad memasuki Akademi RapidKL dan mahu menjadikannya sebagai karier tetap. Memang diakui pelbagai dugaan menjadi pemandu bas terutama dipandang rendah dan dimaki hamun orang jika tersilap jalan atau sebagainya.

“Walaupun bekerja selama 16 jam bermula jam 6 pagi hingga 10 malam dengan memandu bas di sekitar Subang Jaya, saya menepis rasa penat dan menganggap ia berbaloi kerana diberikan cuti dua hari seminggu dan kelonggaran untuk berehat,” katanya yang turut dikenali sebagai Kapten Amir.

Kredit Artikel HMETRO

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive