exponegaraku

Monday, June 19

PRASARANA BERSEDIA UNTUK APA JUA CABARAN JAYAKAN OPERASI HAJI MEKAH


Menjelang operasi musim ketiga yang bakal bermula pada Ogos ini, warga kerja yang berkhidmat untuk Al Mashaaer Al Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) diingatkan supaya sentiasa bersedia untuk apa jua cabaran bagi memastikan perkhidmatan tren haji itu berjalan lancar dan cemerlang.

Memasuki operasi tahun ketiga kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), MMMSL dijangkakan oleh para pemegang taruhnya untuk mengatasi tahap perkhidmatan musim lepas, yang diraikan oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai operasi dan perkhidmatan yang terbaik dalam sejarah perkhidmatan tren haji itu sejak diperkenalkan pada 2010.

Ketika membuat saranan berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz, yang membuat lawatan singkat ke depot MMMSL di Arafah dan pangsapuri penginapan para pegawai dan kakitangan di Awali di sini, berkata mereka yang diberikan amanah untuk melaksanakan tugas ini perlu menyiapkan diri bagi menghadapi apa jua cabaran bagi memastikan projek MMMSL kendalian Prasarana ini terus cemerlang.

“Paling penting, kita perlu melihat bahawa kerja yang kita lakukan di sini bukan sekadar satu kerja biasa. Tetapi, perlu diniatkan sebagai ibadah untuk menyediakan kemudahan kepada saudara-saudara jemaah untuk melakukan ibadat haji mereka dengan lancar. Dan, dalam melaksanakan tugas ini, kita akan menghadapi pelbagai cabaran termasuk cabaran-cabaran baru.

“Tahun pertama, cabaran terbesar kita adalah kesuntukan masa untuk persiapan; manakala tahun kedua pula, Alhamdulillah, kita mempunyai masa yang lebih panjang untuk persiapan dan menyelenggarakan kerja walaupun menghadapi cabaran-cabaran yang berbentuk lain di sini (Mekah) dan operasi di Malaysia. Tahun ini, besar kemungkinan, kita akan diuji lagi dengan cabaran-cabaran baru,” kata Dato’ Sri Azmi pada majlis berbuka puasa dengan staf, yang diadakan di sini semalam.

Lebih 100 orang pegawai dan kakitangan menghadiri majlis yang menghidangkan Nasi Arab sebagai menu utama; dengan majoriti daripada mereka akan meraikan Hari Raya Aidil Fitri di Mekah dan berjauhan daripada anggota keluarga dan sahabat handai.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif PRIME (Prasarana Integrated Management & Engineering Services), Puan Masnizam Hisham; Pengarah Urusan PRIME – Arab Saudi, Haji Ahmad Jamaluddin Salleh; dan Haji Muhamad Burhanordin Ismail, yang merupakan Pengarah Operasi MMMSL.

Walaupun operasi MMMSL adalah hanya untuk tujuh hari pada musim haji, kerja-kerja penyelengaraan tren serta persiapan berjalan sepanjang tahun termasuk pengambilan para pekerja tempatan Arab Saudi dan memberi latihan kepada mereka, yang dijalankan oleh staf dan kakitangan Prasarana dan anak-anak syarikatnya.

Untuk tahun ini, Prasarana turut mengambil strategi untuk terlalu bergantung kepada staf dalaman khususnya daripada Rapid Rail dengan pengambilan para pesara dan bekas staf yang berpengalaman dalam operasi tren daripada Rapid Rail dan KTM serta sokongan guna tenaga daripada ERL.

Proses pengambilan staf tempatan Arab Saudi bermula sejak April lepas di mana Prasaerana menerima lebih 40,000 permohonan untuk kira-kira 6,600 pelbagai jawatan kerja ketika operasi haji khususnya untuk kawalan para penumpang di stesen-stesen, mencuci dan keselamatan. Seramai 350,000 pemegang tiket akan menggunakan perkhidmatan MMMSL dan mereka akan bergerak pada masa yang sama mengikut ibadat dalam rukun-rukun haji – wukuf di Padang Arafah, bermalam di Mina dan melontar di Jamrah.

Operasi MMMSL untuk musim haji 2017 ini akan bermula pada 29 Ogos dan berakhir pada 4 September bersamaan dengan 7 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.

Selain proses pengambilan dan latihan staf tempatan, warga kerja MMMSL juga sedang giat menjalankan pengujian tren sebelum memulakan siri latihan simulasi pelbagai senario bulan depan termasuk dua sesi latihan integrasi bersama-sama dengan agensi kecemasan awam Arab Saudi pada 23 dan 24 Ogos ini.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive