Tuesday, February 28

OSTAD ZIZAN TERSEPIT,PAS PUSAT SUDAH GELABAH?



Apakah episod tarik tali dan beradu pengaruh serta kekuatan politik dalam pengurusan Kerajaan Negeri Kedah akan berakhir?

Atau, adakah upacara pelantikan anggota mesyuarat (Exco) Kedah bagi tahun 2012 yang akan berlangsung di Istana Anak Bukit, Alor Setar itu akan mempamerkan beberapa kelainannya?

Yang hampir pastinya ialah, besar kemungkinan tidak semua kerusi exco ini akan diisi kali ini. Mungkin ada exco atau Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sendiri akan memangku lebih daripada satu jawatan Exco.

Mungkin juga akan ada sekurang-kurangnya dua portfolio exco tidak akan diisi kerana tempoh perkhidmatan semua exco tamat 7 Mac depan.
 
Ini bererti jika semua jawatan exco mahu diisi, perlu tunggu 7 Mac, jika tidak jumlah exco, khabarnya akan menjadi 12 orang.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah menetapkan maksimum 10 jawatan exco sahaja diwujudkan.
 
Maka jika benar Azizan hanya akan mengumumkan lapan exco lama dilantik semula, dua jawatan exco kosong tidak boleh diisi sebelum 7 Mac bagi memastikan dua muka lama yang tidak dipilih semula, tamat tempoh perkhidmatan mereka.

Kedah mempunyai peraturan yang agak unik di mana tempoh khidmat Exco adalah untuk setahun sahaja. Ini bererti, setiap tahun Menteri Besar berpeluang merombak barisan exco; melantik muka baru atau mengkitar semula nama yang ada. Setiap pelantikan dibuat dengan perkenan Sultan.

Setakat ini, tahap keyakinan Azizan dalam menangani isu pelantikan exco ini amat tinggi.
 
Beliau tahu kuasa memilih senarai exco adalah hak mutlaknya sebagai Menteri Besar. Beliau percaya tidak perlu baginya merujuk kepada parti siapa yang perlu dilantiknya.

Dalam tempoh tidak sampai 24 jam sebelum majlis pelantikan berlangsung, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, memanggil satu sidang media hari ini (Isnin, 27 Februari 2012) memamklumkan Jawatankuasa Pas mahu semua 10 ahli exco sekarang dikekalkan.

Sementara Ketua Penerangan Pas , Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan khas bahawa beliau yakin isu kepimpinan kerajaan negeri Kedah yang diterajui Pas boleh diselesaikan secara harmoni melalui semangat ukhuwah dan musyawarah.

Namun yang menariknya, beliau menghuraikan kemelut itu sebagai berpunca daripada masalah maklumat yang kurang jelas.
 
Mengapa Mustafa Ali menyuarakan keputusan Jawatankuasa Pusat supaya Azizan mengekalkan semula semua exco? Adakah ini membawa mesej Pas Pusat mahu campurtangan urusan kerajaan negeri?

Azizan memang tegas. Apabila ada pemimpin Pas dan Pakatan Rakyat menegurnya dalam isu penggantungan pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) kerana tidak akur pada semangat Buku Jingga Pakatan Rakyat, Azizan menemplak dengan mengatakan Buku Jingga bukan al Quran.

Solannya, apakah setelah ada campurtangan Pas Pusat dalam tempoh 24 jam ini Azizan akan tukar fikiran dan akur pada arahan pimpinan tertinggi parti dan mengekalkan dua exco yang hendak digugurkannya?

Masalah ketegasan atau kedegilan Menteri Besar Pakatan Rakyat ini bukan baru. Selangor pun begitu.
 
Menteri Besarnya kalis gertakan parti. Disergah dengan petisyen supaya letak jawatan oleh pimpinan pusat pun tidak menggugat keyakinan diri Tan Sri Khalid Ibrahim.

Akibatnya, Khalid bebas menentukan apakah dasar yang difikirkan terbaik menurut seleranya di Selangor. Malangnya bila dasar pemerintahnnya sukar diterima rakyat, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat yang menjadi sasaran kebencian rakyat.

Memang menjadi amalan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat apabila tidak dapat mengurus empat negeri di bawah pemerintahannya dengan baik, alasan yang digunakan ialah kerana mereka hanya “mewarisi kelemahan” itu daripada Barisan Nasional.

Sebaliknya, sebagai memomokkan BN sebagai lawan politik mereka, pemimpin Pakatan Rakyat sering menuduh institusi awam seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Badan Kehakiman sering berusaha “melindungi dan menutup” keserakahan dan salah guna kuasa konco-konco UMNO dan Barisan Nasional.

Malangnya, seperti dalam kes pungutan sampah di Selangor yang berpunca daripada keangkuhan dan kedegilan politik Menteri Besar Pakatan Rakyat mematuhi arahan parti masing-masing, disiplin dan mutu kepemimpinan serta kerapuhan muafakat Pakatan Rakyat seringkali cuba disembunyikan!

Kes penggantung pelajar KUIN, isu pasir dan pungutan sampah adalah dalil bagi kenyataan ini.

Soalnya, dalam pilihan raya yang menabur janji ialah parti, namun apabila diberi peluang memerintah di beberapa negeri, dengan mudah pemimpin di negeri Pakatan Rakyat mengenepikan janji dan perintah parti.

Soalnya, mengapa perlu rakyat mengundi parti dalam pilihan raya hanya untuk dikecewakan oleh pemimpin negeri yang tidak acuh dan tidak mahu memenuhi janji parti masing-masing? Adakah ini caranya Pakatan Rakyat mengelak dari memikul tanggungjawab mengkotakan janji pilihan rayanya?

THE STAR DIMINTA PERJELAS ISU INI?



Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil The Star untuk memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar seorang penyanyi wanita Amerika Syarikat yang mendedahkan bahagian atas dadanya, yang tertera tatu perkataan "Allah" dalam akhbar itu.
 
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Lee Chee Leong berkata KDN memanggil Pengarang Urusan, Ketua Pengarang Berita dan Pengarang Kanan The Star petang semalamuntuk memberi penjelasan mengenai tindakan akhbar itu menyiarkan gambar berkenaan dalam edisinya semalam.
 
Beliau berkata akhbar itu juga akan diberi Surat Tunjuk Sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa seminggu kepada KDN."Tindakan susulan akan dibuat berdasarkan kepada penjelasan yang diberikan (akhbar itu kepada KDN)," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
 
Dalam ruangan muziknya, The Star menyiarkan gambar penyanyi "funk", "hip-hop" dan "soul", Erykah Badu, 40, yang menunjukkan wajah dan bahagian atas dadanya.Sebahagian dadanya terdedah dan tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan "Allah", di bahagian sisi kiri dan kanan dadanya berhampiran ketiak.
 
Penyanyi itu, yang berasal dari Dallas, Texas, pernah memenangi anugerah Grammy dan akan membuat persembahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 Feb ini.Sementara itu, The Star memohon maaf kepada pembaca beragama Islam kerana menyiarkan gambar penyanyi Amerika Syarikat tersebut.
 
"Kami secara ikhlas memohon maaf kepada pembaca beragama Islam kerana terlepas pandang," katanya dalam portal online akhbar itu.Akhbar itu berkata gambar Erykah Badu, dengan tatu pelbagai simbol termasuk perkataan Arab bagi "Allah," disiarkan secara tidak sengaja dalam Star2 semalam.

Monday, February 27

Kes Khalwat Badrulamin : Peluang Yang Dinanti Pejabat Menteri Selangor.



Dalam usaha untuk menjarakkan diri daripada isu Dr Badrulamin Bahrom disiasat bersabit tuduhan khalwat, Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah luar biasa “menasihati” Pengarah Penerangan Selangor itu bercuti sebulan sehingga beliau dapat membersihkan namanya.

“Nasihat” itu dikeluarkan oleh Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar di bawah kelolaan Setiausaha Akhbar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim iaitu Arfa’ Eza Abdul Aziz.

Kenyataan itu menyebut bahawa Arfa sendiri akan mengambil alih tugas-tugas Badrulamin itu.

Rasanya Arfa atau sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan itu lewat semalam bukannya memberi “nasihat” kepada Badrulamin untuk bercuti tetapi memang mengarahkan beliau untuk berbuat demikian.

Jika nasihat, Arfa tentunya tidak bingkas untuk mengumumkan dalam kenyataan yang sama, bahawa beliau akan mengambil alih tugas Badrulamin sebagai Ketua Penerangan di Pejabat Menteri Besar.

Kemelut yang dihadapi oleh Badrulamin bukanlah sesuatu yang ringan, malah memberikan kesan kepada imejnya sebagai seorang pendakwah terkenal dalam barisan pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempertahankan Badrulamin dengan menegaskan beliau seorang diri dalam sebuah billik hotel di Kuatan ketika ditahan Sabtu lalu.

Anwar tidak melihat sebarang keperluan menasihati Badrolamin “bercuti” daripada jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sehingga beliau “dibersihkan”
daripada tuduhan itu.

Jadi kenapa Kerajaan Negeri Selangor pula terpanggil mengeluarkan arahan supaya Badrulamin mengosongkan jawatannya itu yang disandang sejak tahun 2010 di Pejabat Menteri Besar.

Kalau mengikut protokol untuk kakitangan awam, siasatan sahaja tidak mengundang kepada sebarang tindakan terhadap mana-mana penjawat untuk bercuti.
 
Langkah itu diambil hanya apabila seseorang dituduh dan seterusnya dibuang kerja jika disabit kesalahan.

Arahan bercuti yang diberikan kepada Badrulamin sebenarnya berpaksi kepada politik dalaman di dalam PKR, khususnya antara Menteri Besar dan wakil rakyat PKR yang
menolak kepimpinan beliau.

Pelantikan Badrulamin sebagai Pengarah Penerangan Selangor dibuat di atas arahan Anwar setelah wakil rakyat daripada parti itu menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Khalid pada kongres nasional parti itu tahun 2010.

Rasa tidak puas hati itu bertumpu kepada apa yang dilihat oleh pemimpin PKR sebagai kegagalan Khalid membina jentera pilihan raya peringkat parti bagi memastikan Selangor kekal di tangan PKR pada PRU akan datang.

Mereka bimbang kerana PKR ketandusan dana dan aktiviti untuk menarik sokongan pengundi khususnya di luar bandar.

Bagaimanapun pelantikan Badrulamin sebagai Pengarah Penerangan tidak disenangi oleh Pejabat Menteri Besar sendiri yang menganggapnya satu penghinaan.

Justeru Badrulamin dicantas sebaik sahaja beliau menerima jawatan itu yang sepatutnya setaraf dengan Pengarah Jabatan-jabatan lain dalam struktur kerajaan negeri Selangor.

Bukan sahaja beliau ditawarkan gaji rendah berbanding pegawai lain di Pejabat Menteri Besar, tetapi Badrulamin tidak diberikan kakitangan sokongan untuk menjalankan kerja-kerja beliau. Badrulaminlah pengarah penerangan, beliau juga kerani dan setiausaha.

Pejabat beliau di Rumah Exco ditarik balik dan Badrulamin diarah melapor diri di pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Isu Badrulamin bukan sahaja mengenai siasatan khalwat yang akan diselesaikan sama ada di mahkamah atau di luar mahkamah.

Lebih penting ialah isu Badrulamin mencerminkan pendarahan dalaman Parti Keadilan Rakyat, di antara pemimpin-pemimin kanannya yang bercita-cita merampas Putrajaya.

Kemelut yang dihadapi oleh Badrulamin bersama Jabatan Agama Islam Pahang diharap tidak akan memberi peluang untuk Khalid menunjukkan pendakwah itu pintu keluar daripada Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk selama-lamanya dalam usaha untuk menghantar mesej tegas kepada Anwar bahawa beliau (Khalid) adalah Menteri Besar Selangor.
 
Anwar hanya sekadar Penasihat Ekonomi bergaji satu ringgit sebulan.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive