Saturday, November 29

#Kesejahteraan #SabahOKBah , #Bandar dan #Remaja @MpKotaBelud @GoteamRD



Bicara berkenaan politik, elok juga kita merenung kembali dan mengetengahkan semula latar belakang dan status pendidikan yang merupakan tonggak penting dalam pembangunan negara. Dalam hal ini, konteks berikut perlu diberi perhatian sewajarnya:

1. Falsafah Pendidikan Negara merupakan usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

2. Capaian kepada pendidikan (access to education) adalah hak semua warganegara. Perhatian perlu diberi kepada golongan yang tertinggal daripada sudut sosio-ekonomi termasuk golongan luar bandar,  penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak dan warga kota yang berpendapatan rendah.

3. Pendidikan yang berkualiti adalah faktor kritikal dalam agenda pembangunan negara. Sehubungan itu sebarang usaha meningkatkan kualiti pendidikan di semua peringkat hendak diberi sokongan penuh dan peruntukan kewangan diberikan secukupnya.

4. Sekolah dan institusi pendidikan mestilah mewujudkan suasana yang kondusif untuk mengembangkan potensi seramai mungkin pelajar ke tahap yang cemerlang dalam segenap aspek bersesuaian dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

5. Kos pendidikan yang terus meningkat adalah isu semua anggota masyarakat yang perlu ditangani dengan bijaksana.

6. Kehendak rakyat untuk melihat anak mereka terdidik dengan sahsiah dan keperibadian tinggi melalui nilai Islam yang diterapkan secara syumul dan menyeluruh mesti diberi perhatian sewajarnya. Dalam hal ini, usaha yang dilaksanakan oleh pihak bukan kerajaan dalam mengoperasikan sekolah Islam hendaklah dilihat sebagai usaha penting dalam menjana modal insan yang bakal memberi sumbangan besar kepada negara pada suatu hari nanti.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata bajet negeri tahun depan akan mengambil kira kedudukan ekonomi sedia ada dan memberi tumpuan ke atas perbelanjaan berimbang.

"Kerajaan negeri mesti menimbang situasi ekonomi semasa serta mengelak perbelanjaan tidak perlu," katanya selepas merasmikan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di sini hari ini.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan akan lebih berhemat dalam perbelanjaannya namun keperluan rakyat dan projek penting tidak dipinggirkan.

"Kerajaan negeri masih ada rizab yang sihat. Namun, kita mesti ingat bahawa dalam berbelanja untuk pembangunan sosioekonomi negeri, kita juga mesti menyimpan untuk masa depan," katanya.

Musa dijadual membentangkan Bajet Negeri Sabah 2015 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri 7 November ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Kesejahteraan Bandar Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum itu berkata Musa sudah membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sabah sepanjang sembilan tahun menjadi Ketua Menteri.

Musa sudah menaikkan bajet negeri ke paras yang dipuji dan menurunkan kadar kemiskinan daripada 30 peratus kepada sembilan peratus, katanya dan menambah setiap tahun jabatan-jabatan kerajaan menerima penarafan lima bintang atas kecekapan dan pengurusan.

Musa juga mengambil berat kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau agama dan kerap turun padang untuk mengetahui apa yang berlaku di akar umbi," kata Anggota Parlimen Kota Belud itu

Friday, November 28

"window dressing" BOLEH GITEW......... @azwanbro @KhairyKJ


Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno lazim sekadar window dressing lebih-lebih lagi bagi bosnya seorang tokoh politik sehebat Khairy Jamaluddin. Tambahan pula, tokoh yang dimaksudkan ini tidak memegang sebarang jawatan penting dalam kerajaan.

Sudah menjadi kelaziman naib ketua secara automatik mempunyai platform dan juga setidak-tidaknya kalau bukan timbalan menteri, apa saja jawatan dalam kerajaan seperti pengerusi badan-badan berkanun.

Kerana itu jika sesiapa saja dalam organisasi politik kepartian seperti Khairul Azwan Harun atau Ketua Puteri Umno, yang tidak ada jawatan kerajaan, inilah dilema mereka. Sebagai contoh Nazri Aziz, adalah bekas Naib Ketua Pemuda, begitu juga Razali Ibrahim, sebelum dilantik menjadi timbalan menteri.

Hakikatnya tidak semua begitu dan tidak semua mereka bernasib baik. Namun, jawatan parti tidak bererti mempunyai jawatan dalam kerajaan. Allahyarham Pak Ghafar Baba yang berpuluh tahun memegang jawatan Naib Presiden Umno juga tidak dipertimbangkan sebarang jawatan dalam kerajaan.

Hanya apabila Musa Hitam memilih untuk berada di luar kerajaan dengan meletak jawatan TPM pada 1986, PM melantiknya, itu pun tak lama - Ghafar tak ubah macam spare tayar.

Dalam isu Azwan dan barangkali juga Ketua Puteri, bukan saja media terlepas pandang, rakan-rakan berjawatan juga sama. Sehingga minggu ini jika dikira harinya Azwan sudah lebih setahun menggalas tugas Naib Ketua Pemuda.

Jika tidak sibuk urusan rasmi, dia isi dengan program seperti bersarapan dengan para Pemuda Bahagian - suatu tugas dalam kerangka mendengar keluhan akar umbi. Ia sekali gus sebagai workshop utama membimbing serta memberi motivasi. Belum dikira turun padang.

Ketika PRK di Pengkalan Kubor, Azwan selaku pengarah pilihan raya Pemuda membukti bakat dan keupayaan sebenar. Kejayaan calon BN mengalahkan Pas di kubu mereka satu kemanisan. Dari lima PRK selepas PRU13, tiga dimenangi BN, satu tewas dan satu tak bertanding.

Ini dibantu strategi bagi mendepani  pengundi, khusus golongan muda. Berasaskan gerak kerjanya, Azwan berjaya menampilkan watak saling tak tumpah macam Khalid al Walid - berjaya menimbulkan gerun di pihak musuh melihat jentera Pemuda.

Berlainan dengan KJ, sebagai tokoh berprofil tinggi, yang dikira tak perlu lagi diperkenalkan. Jawatan Menteri Belia dan Sukan banyak kelebihan. Malah tak salah jika kita katakan populariti KJ kini berada di tahap nombor satu.

Di sinilah daya penarik KJ dalam konteks sukan. Selaku menteri, kenyataannya sering memperoleh perhatian media. Lebih-lebih lagi media elektronik sangat menggemari komen-komen menteri muda ini.

Agak malang, Azwan selaku orang kedua KJ pula muncul seperti wira tidak didendang. Ia kurang publisiti. Rakan-rakannya berpendapat, jika media elektronik lebih memihaknya, mungkin rakyat lebih memahami hala tuju Pemuda. Ia bukan sekadar sebagai pressure grup. Ini termasuklah program meremajakan Pemuda yang kini diberi keutamaan.

Dalam konteks ini mungkin ramai tidak sedar, golongan muda dalam Umno masih berasakan parti mengamalkan politik tembok besar. Mereka dengan tidak disedari dipinggirkan. Langsung diketepikan daripada menjawat jawatan-jawatan penting. Lihat saja berapa kerat jemaah menteri atau timbalannya terdiri daripada Pemuda.

Dalam konteks ini, kadangkala suara NGO jauh lebih relevan dan berimpak. Ini kerana pendedahan diberi media elektronik berbanding publisiti pada Pemuda. Peranan NGO kini dilihat samalah seperti peranan dimainkan Pemuda Umno. Justeru secara sinis ada yang bertanya “apa perlunya Pemuda jika Umno sudah ada NGO membantu mereka?”

Menjelang PRU14, tugas penting sudah menunggu. Di bahu Pemuda Umnolah tugas mengekalkan imej parti sebagai parti pro golongan muda dipertanggungjawabkan. Ingat dalam pilihan raya kali ini, lebih 40 peratus pengundi adalah golongan muda. Rasionalnya, dalam hal ini Pemuda memerlukan sentuhan magik.

Migrasi belia desa ke bandar-bandar membimbangkan. Dasar parti terhadap golongan muda juga begitu seperti diulas Muhyiddin Yassin ketika merasmikan perhimpunan agung tiga sayap Umno, kelmarin. Jika diterjemahkan cakap-cakap ini persepsinya ialah Umno sebagai sebuah parti bukan lagi youth friendly.

Benar, Azwan bukanlah keseorangan dalam mendepani isu-isu ini. Jentera Pemuda tidak pernah tidur atau bercuti. Lihat mereka mendepani media sosial yang rata-rata anti kerajaan. Masalahnya seperti disebut tadi ialah mengenai persepsi. Bagi menanganinya mereka memerlukan bukan saja sokongan pihak atasan lebih-lebih lagi pihak media. Tanpa sokongan media, suara mereka takkan ke mana.

Selain itu, Pemuda berdepan persepsi bahawa mereka sebagai satu ancaman kepada status quo. Maklumlah jika populariti KJ diambil kira, beliau bakal berada di tempat jauh lebih penting. Setidak-tidaknya sebagai salah seorang Naib Presiden yang dipilih. Keadaan ini sudah pasti membimbangkan ramai pihak.

Bagi Azwan, Pemuda bukanlah satu ancaman kepada sesiapa. Jika ada pihak menganggap mereka ancaman kepada status quo dan ancaman pada golongan tertentu, maka ini bererti usaha meremajakan Umno gagal malah parti bakal binasa. Dengan lain erti, Pemuda adalah produk dari kilang sama dalam perjalanan menjadi dewasa. Jika tanpa diberi peluang, peranan mereka akan tumpul, malah di luar parti kelak bakal lahir ramai lagi puak anti-establishment. Ini tentu mengundang kemerosotan pengaruh Umno lebih-lebih lagi dalam pilihan raya akan datang. Inilah ancaman besar Umno bukan sayapnya sendiri.

Prasarana dipilih 'Pengendali Bayangan' Makkah Metro @ShahrilMokhtar @NajibRazak @PetraJayaMP @MyRapidKL


Prasarana Malaysia Bhd menang bidaan sebagai 'Pengendali Bayangan' fasa pertama Program Pengangkutan Awam Metro Makkah (Makkah Metro) sekali gus mengetepikan pesaing lain dari Turki dan Korea.

Pengarah Urusan, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata ia adalah kejayaan pertama syarikat di peringkat global sejak ia memasuki pasaran antarabangsa pada awal tahun lalu.

Kejayaan itu turut membuktikan bahawa Prasarana setaraf dengan sebilangan pengendali rel terbaik dunia.

"Kejayaan ini juga mengukuhkan peluang kami untuk bidaan akan datang bagi pengendalian dan penyenggaraan empat laluan Makkah Metro serta pengendalian dan penyenggaraan projek Aliran Selatan Metro AlMashaaer Al Mugaddassah yang menampung jutaan jemaah pada musim haji setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada musim haji lalu, Prasarana menghantar 12 kakitangan teknikal daripada Rapid Rail Sdn Bhd untuk bekerjasama dengan anggota daripada Ekpress Rail Link Sdn Bhd (ERL) bagi menyokong operasi sementara Projek Aliran Selatan Metro AlMashaaer Al Mugaddassah.

Sebagai 'Pengendali Bayangan', Prasarana bertanggungjawab memberi perkhidmatan perundingan dalam bidang pengendalian dan penyenggaraan sistem rel kepada Makkah Mass Rail Transit Company ketika pembinaan Fasa Pertama Makkah Metro yang meliputi dua jajaran dengan 22 stesen merentasi jarak perjalanan 45.1 kilometer termasuk 24.9 kilometer rangkaian rel bawah tanah.

Kontrak RM9 juta itu dijangka bermula bulan depan dan fasa pertama Makkah Metro dijangka siap menjelang 2019.

"Ini akan membantu menambah pendapatan syarikat dan mengurangkan secara beransur-ansur kebergantungan terhadap pendapatan tradisional yang berunsurkan tambang," katanya.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive