Tuesday, March 31

HADI HILANG TARING MAT SABU PULAK MENGGANAS...?


Nampaknya Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, tidak ambil kisah untuk menjalin komunikasi politik dengan DAP yang dengan galaknya menuduh beliau tidak bermaruah dan mahu memutuskan hubungan dengannya.

Sebaliknya, beliau lebih fokus untuk memberi penerangan seberapa jelas mungkin kepada umat Islam di Malaysia supaya jangan terjebak dengan “isu hudud yang dikelirukan.”

Ini cuba dilakukannya melalui penulisan surat terbuka yang disiarkan dalam Facebook dan portal rasmi PAS, Harakahdaily.net., Khamis lalu.

Asas pendekatan itu bersandarkan pemerhatiannya bahawa masih ramai umat Islam yang jahil berhubung isu dan ajaran Islam dan “menjadi laksana burung kakak tua yang hanya pandai menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya.”

Tanpa mahu mengulas panjang isu hudud yang menjadi polemik politik di antara PAS dengan DAP, sekutunya dalam Pakatan Rakyat, Hadi menyusur punca kekeliruan itu adalah kesan langkah penjajah menghapuskan hukum syariat.

Mungkin pada Haji Hadi natijah sejarah itu menjadikan umat Islam keliru, mudah terpengaruh dan hanya “mengajuk” persepsi yang cuba diterapkan oleh penjajah demi memufarakahkan hukuman syariah dari kehidupan umat Islam.

Cuma soalnya, tidakkah inisiatif Hadi ini boleh dilihat sebagai sudah sedikit terlambat?

Hadi sepatutnya berbuat demikian sejak dari awal

Jika dari awal lagi didedahkan bahawa yang hendak dibentang dalam Usul Persendirian di Dewan Rakyat adalah pindaan Akta Mahkamah Syariah dan bukan Rang Undang-undang (RUU) Hudud, sudah tentu reaksi daripada rakyat dan parti politik lain tidak jadi segenting sekarang.

Umum tahu dan iktiraf Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah sudah sedia ada. Malah ia sedikitpun tidak menggusarkan bukan Islam perihal hak dan kebebasan beragama mereka dinafikan atau terjejas.

Bagaimanapun apabila istilah yang dipopularkan dalam inisiatif PAS mahu mendaulatkan hukuman syariat dikenali sebagai undang-undang hudud, maka ia membawa konotasi yang agak berbeza. Hadi akur akan hakikat ini.

“Mungkin (ia) sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syariat. Mereka menganggap hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana (pada) pandangan mereka (hudud) paling ganas, tanpa secara detail dan objektif.

“Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno; menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat,” tambahnya.

Dalam iklim politik simpang perenang di antara PAS dengan DAP serta perbalahan yang semakin terbuka di antara Geng Ustaz dengan Geng Progesif, sukar untuk mengukur sejauh mana keikhlasan Hadi mahu memberi pencerahan mengenai konsep undang-undang syariat ini.

Bagaimanapun kenyataan Hadi bahawa lantaran kejahilan agama bukan sahaja merencatkan proses memberi kefahaman mengenai asal usul, tujuan dan hikmah hudud, malah beliau menyelitkn juga pengakuan bahawa kejahilan cara berdakwah juga mendorong berlakunya isu kafir mengkafir dalam masyarakat.

Amanat Hadi suatu ketika dahulu, kini makan tuan?

Ini adalah satu pengakuan yang agak besar impaknya kerana isu takfir ini pernah membabitkan Haji Hadi secara langsung. Suatu ketika dulu isu Amanat Hadi menjadi di antara pencetus kegawatan dalam masyarakat ini.

Surat terbuka Hadi kemudian cuba menerangkan apakah asas konsep serta prinsip hudud. Beliau juga memberikan coretan sejarah bagaimana PAS menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariat Negeri Kelantan.

Haji Hadi berkata, langkah pertama PAS menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan ialah menubuhkan panel yang dianggotai wakil PAS dan juga kerajaan.

Panel ini membabitkan tokoh seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara; Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim, mantan Peguam Negara Singapura; Allahyarham Dr Mamud Saedon Awang Osman dari UIA.

Anggota lain, katanya, ialah Datuk Abdul Halim Muhammad, mantan Penasihat Undang-undang Kelantan serta Datuk Daud Mohamad (Kadi Besar Negeri Kelantan).

“Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Kelantan, ianya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum seminar dan dialog.

“Akhirnya enakmen berkenaan di bawa ke DUN Kelantan pada 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000,” kata Haji Hadi.

PAS punya segala keterbatasan dalam melaksanakan hudud

Beliau berkata, selepas lebih 20 tahun memperkenalkan enakmen ini PAS bergerak setapak lagi mendidik masyarakat mengenali hukum hakam syariat yang menyeluruh.

Haji Hadi berkata, dalam ruang yang terbatas “enakmen ini mengalami beberapa pindaan yang mengambil kira cabaran perlembagaan  dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan dan bagi orang Islam sahaja”.

Beliau menegaskan bahawa pada setiap langkah PAS mengambil kira pandangan ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
 
"Hasilnya, kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil," katanya yang buat pertama kali membuat ulasan rasmi mengenai perkara itu selepas menyerahkan notis tersebut 18 Mac lalu.

Notis itu bertujuan membolehkan beliau mencadangkan pindaan yang dibuat kepada Akta 355 atau Akta Mahkamah Syariah bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dilaksanakan.

Tarikh 18 Mac adalah hari terakhir notis 14 hari perlu dikemukakan ke Parlimen bagi membolehkan cadangan itu dibincangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

Pada 19 Mac lalu, DUN Kelantan meluluskan sebulat suara Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) yang turut disokong wakil rakyat Umno dan PKR.

Mungkin Hadi dan pimpinan PAS lain kini sedar bahawa harapan untuk memberi penerangan dan meyakinkan DAP dan PKR mengenai hukuman syariat yang diidamkan PAS tidak berkesan. Sebab itu, Hadi kini mahu bercakap terus dengan umat Islam.

Namun sayugia diingat bahawa umat Islam di Malaysia bukanlah setakat kira-kira 1 juta orang ahli PAS sahaja. Masih ada sekurang-kurangnya lebih tiga juta umat Islam lain masih mahu bernaung di bawah Umno.

Sokongan bulat Umno untuk pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariat Kelantan 19 Mac lalu seharusnya memutikkan harapan bahawa hudud atau hukuman syariat adalah sesuatu yang besar yang tidak wajar digalas oleh PAS sendirian. Ia mesti dipikul bersama seluruh umat Islam.

Adalah kurang bijaksana bagi PAS untuk memonopoli hak untuk mendaulatkan syariat dan “menafi serta mentakfirkan” penyertaan pihak lain untuk sama-sama memingit rakyat bukan Islam supaya berminat, faham dan jatuh cinta pada ajaran Islam.

Friday, March 27

#TRANSFORMASI Pengangkutan Awam #RAKYATDIDAHULUKAN @NajibRazak @PetraJayaMP @azmiaziz60


Apabila tengah malam menjelma dan majoriti wargakota sudah enak dibuai mimpi atas tilam-tilam empuk di dalam bilik-bilik tidur berhawa dingin bagi menjana tenaga sebelum menjalani urusan pada keesokan hari ini, ratusan tenaga kejuruteraan dan teknikal Rapid KL terus berbakti demi kesejahteraan para pelanggan mereka.

Segala ini diserlahkan melalui video khas ‘BILAKLTIDUR’, yang dihasilkan oleh Rapid KL sebagai menyatakan penghargaan kepada mereka yang bekerja di belakang tabir ini.

“Semoga paparan video ini akan meningkatkan terus semangat bekerja di kalangan staf dan kakitangan RapidKL, yang bekerja tanpa mengira masa dan penat lelah demi memastikan perjalanan yang selesa dan selamat buat semua para pengguna perkhidmatan Rapid KL – sama ada bas, LRT mahupun monorel.

“Jasa dan bakti mereka ini amatlah besar. Bayangkan ketika kita sedang nyenyak tidur, mereka tetap bertugas. Mungkin, ramai di kalangan kita tidak sedar bahawa Rapid KL adalah beroperasi 24 jam.

“Selepas tengah malam, kerja-kerja diteruskan di depoh-depoh bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan. Kerana mereka, para penumpang dapat menggunakan bas dan tren yang bersih serta menikmati perkhidmatan yang selesa dan selamat. Kepada mereka yang bekerja di belakang tabir ini, kami mengucapkan terima kasih,” kata jurucakap Rapid KL, Encik Lim Jin Aun.

Video ‘BILAKLTIDUR’ ini boleh disaksikan dengan melayari facebook MyRapid pada pautan www.facebook.com/myrapid

Wednesday, March 25

BILA HUDUD DIPOLITIKKAN!!!! Hadi tidak bermaruah...........?


Secara ringkas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP malam Selasa lalu ialah parti itu tidak mengiktiraf Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS, tetapi masih mahu kekal dalam Pakatan Rakyat.

Memang keputusan itu agak 'janggal dan pelik' kerana pada satu sisi DAP mahu kerjasama dan manfaatkan kekuatan pengaruh politik PAS membantunya mencapai cita-cita memerintah Malaysia, tetapi di sisi lain tidak mahu bekerjasama Hadi.

Namun sebagai satu kenyataan politik, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara berlapik mengakui bahawa pendirian partinya meletakkan Pakatan Rakyat  dalam keadaan 'di awang-awangan'.

Keputusan mesyuarat empat jam itu nampaknya boleh dibaca sarat dengan hemah, strategi dan helah politik. Mungkin DAP  berasa ia perlu memberi 'tekanan dan isyarat jelas' kepada rakyat amnya dan ahli-ahli PAS khususnya, presiden mereka tidak layak masuk dalam jemaah Pakatan Rakyat.

Setelah membuat keputusan itu, CEC parti itu mengatur mesyuarat khas dengan PKR untuk memperjelaskan pendirian dan strategi DAP mahu memutuskan hubungan dengan presiden PAS tapi masih mahu bekerjasama dengan ahli dan jentera politik PAS.

Namun yang agak menggusarkan ialah bait-bait kata yang digunakan oleh pemimpin DAP itu untuk menjustifikasikan pendirian partinya terhadap Hadi yang hampir pasti 'melukakan hati' dan maruah diri  sesiapa jua di kerusi Hadi.

Tidak tahulah bagaimana dan sedalam mana kenyataan yang dihamburkan Guan Eng ini akan mengusik sentimen dan wala’ ahli-ahli PAS terhadap presiden mereka sejak 13 tahun lalu itu. Antara lain kenyataan Gua Eng berbunyi:

"DAP tidak boleh berkerjasama dengan Presiden PAS seperti Hadi Awang yang tetap bertindak secara tidak jujur dan tidak bermaruah.

"DAP hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau.

"Oleh kerana Hadi adalah pemimpin PAS dalam PR, keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Hadi secara efektif akan meletakkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dalam keadaan terawang-awang.

"DAP akan bertemu dengan kepimpinan PKR untuk membincangkan nasib Pakatan Rakyat pada masa depan."

Yang pasti tentu ramai pemimpin dan penyokong PAS akan tersinggung betapa imam mereka dikatakan tidak jujur dan tidak bermaruah hanya kerana beliau (Hadi) mahu membentangkan Rang Undang undang Hudud Kelantan di parlimen.

Bolehkah pengikut-pengikut PAS (dan Hadi) menerima rumusan DAP bahawa oleh kerana mahu mencapai impian politik PAS melaksanakan hukuman yang disyariatkan Allah maka Hadi dilabel DAP sebagai tidak bermaruah?

Adakah DAP berkira bahawa ahli-ahli PAS akan tertunduk malu kerana berimamkan seorang pemimpin yang tidak jujur?

Atau, adakah DAP sebenarnya cuma mahu mencabar golongan dalam PAS yang memang semakin terbuka menyatakan bahawa mereka tidak selesa dengan cara kepimpinan Hadi supaya melakukan sesuatu dan meminggirkan Hadi daripada kepimpinan PAS?

Mungkinkah dalam congakan DAP kumpulan yang digelar Erdogan dalam pimpinan PAS sudah bersedia untuk menjadikan cercaan DAP terhadap presiden PAS sebagai hujah kempen mengapa mereka wajib menolak Hadi?

Adakah kenyataan yang disusun oleh pemimpin-pemimpin DAP selama empat jam itu dipacu oleh keyakinan bahawa ini akan merangsang golongan Erdogan (seperti yang dibuktikan tindakan mufarakah pimpinan PAS Kawasan Batu) untuk bangkit menjatuhkan Hadi pada muktamar dua bulan lagi?

Bolehkah disimpulkan bahawa pendirian DAP itu sebenarnya kata dua kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong PAS bahawa jika mereka menyokong Hadi, bererti mereka juga 'tidak jujur dan tidak bermaruah'?

Hadi musuh utama Pakatan?

Sebaliknya, mungkinkah mesej tersirat di sebalik pendirian DAP itu ialah, jika mereka 'menggugurkan' Hadi daripada saf kepimpinan PAS Jun nanti, mereka dapat saham untuk memerintah Malaysia bersama DAP dan PKR selepas pilihanraya umum ke-14 kelak?

Kecenderungan DAP untuk mengambil langkah 'memburukkan personaliti Hadi' ini sudah diisyaratkan oleh seorang daripada dua ahli parlimen Islam dalam DAP iaitu Zairul Khir Johari sehari sebelum itu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu membayangkan bahawa Pakatan Rakyat tiada masa depan selagi Hadi menjadi Presiden PAS sekaligus melontarkan rumusan bahawa musuh utama pakatan itu kini ialah Hadi.

Beliau berhujah bahawa Hadi sering bertindak sendirian dalam beberapa isu serta melanggar ketetapan Pakatan Rakyat. Yang terbaru, katanya, Hadi dikesan menghantar usul kepada Setiausaha Parlimen, agar Akta Mahkamah Syariah (Akta 355) dipinda bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Hadi berbuat demikian sebaik sahaja DUN Kelantan  meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.

"Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Abdul Hadi sendiri," ujar Zairil.

"Abdul Hadi menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.

"Justeru, tindakan Presiden PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik tiga parti ini boleh terus berkekalan,” katanya.

Zairil juga mengungkit tentang enam kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu iaitu Parlimen Labuan, DUN Sungai Acheh, DUN Kota Damansara, DUN Pantai, DUN Kota Putera, DUN Bukit Besi dan DUN Seberang Takir.

Ketujuh-tujuh kerusi itu dikatakan adalah ‘bukti pengkhianatan’ PAS (Hadi) apabila meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh Hadi sedangkan ia sepatutnya ditandingi oleh PKR.

Natijahnya, kesemua tujuh kerusi itu di menangi Umno BN.

"Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih kekal berkuasa dalam PAS, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat," ujar Zairil.

Bersetujukah ahli-ahli PAS dengan rumusan Zairil ini? Kini sudah rasmi bahawa DAP mencabar keyakinan dan harga diri setiap lapisan pimpinan dan penyokong PAS. Mahu pilih kuasa (bersama PKR dan DAP) atau terus setia pada Hadi?

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive