Tuesday, August 22

Lebih 9,500 anggota FSF kawal keselamatan operasi tren haji MMMSL tahun ini


Tahap keselamatan di semua sembilan stesen termasuk depoh dan landasan tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) kini dipertingkatkan menjelang operasi tren terbabit pada 29 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME), Masnizam Hisham berkata, tugas tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Pasukan Keselamatan Fasiliti Arab Saudi (FSF), sebuah pasukan khusus yang bertanggungjawab melindungi keselamatan aset strategik negara itu.

Katanya, lebih 9,500 anggota FSF dikerah bagi melindungi keselamatan tren, selain memastikan keselamatan pergerakan lebih 350,000 penumpang teratur tanpa sebarang kesulitan.

"Kali ini FSF melakukan persediaan di stesen lebih awal, jadi kawalan di stesen tahun ini lebih mantap berbanding tahun tahun lalu.

"Selain itu kawalan juga dipertingkatkan di semua lokasi menempatkan aset strategik tren haji termasuk depoh dan Pusat Kawalan Operasi (OCC)," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Taklimat Keselamatan Operasi Haji 2017 Bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Mekah (MRDA), di sini semalam.


Masnizam berkata, jumlah petugas berkenaan adalah yang terbesar sejak Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperoleh kontrak tren haji berkenaan pada 2015.

Katanya, ia seiring dengan pertambahan kapasiti pengendalian jumlah keseluruhan 350,000 jemaah kali inj berbanding 310,000 jemaah bagi musim haji tahun lalu.

Selain FSF, Prasarana turut bekerjasama dengan kumpulan mutawif bagi membantu aliran pergerakan jemaah, terutama di sembilan stesen MMMSL dari Arafah ke Mina.

Masnizam menjelaskan dalam tempoh suntuk dan bilangan jemaah cukup ramai, pasti berlaku situasi kritikal yang memerlukan bantuan kumpulan mutawif.

"Berdasarkan pengalaman sejak dua musim haji lalu, pasti berlaku insiden jemaah 'sesat' dan tidak dapat mematuhi jadual pelepasan ditetapkan, terutama dalam kalangan mereka yang pertama kali menggunakan tren.

"Ini ditambah lagi dengan pertambahan jumlah jemaah tahun ini, begitu juga 'tempoh keemasan' waktu wukuf yang dikejar oleh jemaah. Justeru, kerjasama kumpulan mutawif boleh membantu kita dalam mengendalikan situasi ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama wakil kumpulan mutawif terbabit bagi memperincikan skop penugasan mereka pada tempoh kemuncak hari wukuf.

"Untuk 2017, kita diberikan tempoh enam jam (pada petang hari wukuf) untuk mengangkut kesemua jemaah yang berada dalam kawasan penugasan kita dari Arafah ke Mudzalifah.

"Ia tempoh paling kritikal, khusus dalam memastikan 'Tetamu Allah' dapat menunaikan ibadah dalam keadaan selamat dan selesa. Dalam tempoh itu juga, MMMSL menempa rekod sebagai tren paling padat dan tersibuk di dunia," katanya. - UTUSAN ONLINE

Friday, August 18

Kumpulan Terakhir Staf Prasarana Berlepas ke Mekah untuk Operasi MMMSL #MekkahMetro

Kumpulan terakhir staf Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) seramai 53 orang untuk menyokong operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) berlepas dari KLIA hari ini dengan janji untuk menabur bakti sebaik mungkin untuk membantu para jemaah menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci Mekah.

Sebahagian besar daripada mereka akan bertugas untuk Pasukan Bertindak Cepat atau ‘Rapid Response Team’, yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sepanjang jajaran 18.1km MMMSL dari Arafah ke Jamrah itu.

Dari Kiri Dari Kiri, Mohd Rosli Endut dan Anuar Yusoff

Bakal menjejak kaki buat pertama kali di Tanah Suci Mekah, Anuar Yusoff, yang sudah berkhidmat lebih 12 tahun dengan LRT Laluan Kelana Jaya di bidang pengurusan rangkaian trek (track network management), mereka semua sudah bersedia untuk mencurahkan segala pengalaman mereka untuk memastikan kejayaan operasi tahun ini.

“Saya akan bekerja dengan pasukan RRT dan sudahpun dimaklumkan secara am tentang apa yang perlu dilakukan nanti di MMMSL dan juga cabaran-cabaran yang bakal kami hadapi daripada cuaca panas terik, bekerja pada masa yang panjang dan tidur yang tidak menentu. Minda kami sudah ‘set’ menerima dan menghadapi cabaran-cabaran itu.

“Tentunya, bekerja dengan pasukan RRT, cabarannya lebih tinggi kerana perlu memastikan apa jua kecemasan dan gangguan, kalau ada, diselesaikan secepat mungkin. Jangkaan atau ‘expectation’ di sana adalah jauh lebih tinggi daripada apa yang hadapi di Malaysia. Ini semua sudah dimaklumkan kepada kami,” kata Anuar, yang melahirkan rasa gembira untuk terpilih berkhidmat di MMMSL tahun ini.

Katanya, beliau memohon untuk bertugas pada tahun lepas, tetapi tidak berjaya.

“Akhirnya, dapat juga saya menjejak kaki di Tanah Suci Mekah. Saya merasa amat gembira dan teruja; walaupun ada sedikit sedih untuk  meninggalkan anak dan isteri. Mereka, bagaimanapun, amat menyokong saya dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya. Alhamdulillah,” kata Anuar.

Mohd Shahdan Jalil, 38 tahun

Rakannya, Mohd Rosli Endut, yang juga bertugas dengan pengurusan rangkaian trek di LRT Laluan Kelana Jaya, turut melahirkan rasa syukur untuk diberi peluang berkhidmat di Tanah Suci Mekah tahun ini selepas tidak terpilih untuk operasi pada kedua-dua tahun lepas.

“Ini kira rahmat besar buat saya. Tentunya, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi saya peluang ini. Pada saya, ini adalah ibadat yang amat besar kerana kita membantu para jemaah menunaikan ibadat haji,” kata juruteknik berusia 55 tahun itu.

Beroperasi selama tujuh hari khusus untuk musim haji, MMMSL digunakan oleh kira-kira 350,000 jemaah dari negara-negara Timur Tengah dan Asia Selatan termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.

Seperti Anuar dan Rosli, Mohd Shahdan Jalil, 38, juga akan berkhidmat buat pertama kali dengan perkhidmatan MMMSL, yang menggunakan 15 tren 12-gerabak dan bergerak atas landasan bertingkat.    

“Saya rasa bangga untuk terpilih. Ingatkan peluang akan terlepas lagi tahun ini kerana lama menunggu kelulusan visa. Akhirnya, dapat juga pergi hari ini. Memang rezeki untuk terpilih walaupun sedih juga untuk meninggalkan anak tunggal saya yang baru berusia 17 bulan,” kata Shahdan, yang sudah bertugas dengan Rapid KL selama lapan tahun.

Selain juruteknik, delegasi yang berlepas hari ini turut mempunyai staf daripada Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, yang akan memberikan liputan terperinci mengenai operasi MMMSL tahun ini.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 500 rakyat Malaysia akan bertugas untuk operasi MMMSL, yang akan melibatkan tidak kurang daripada 17,000 orang tenaga pekerja termasuk daripada pasukan keselamatan Arab Saudi.

Sebagai mengurangkan tekanan kepada operasi di Malaysia, Prasarana telah mengambil lebih 100 pesara dan  bekas staf Rapid Rail, KTMB dan ERL untuk menyokong operasi musim ini, yang merupakan tahun ketiga penglibatan Prasarana dalam projek ini.

Tuesday, August 15

Elak sesak, jom naik LRT ke Bukit Jalil @MyRapidKl @KhairyKJ


Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan awam untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil di sini susulan daripada penutupan kawasan parkir di Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, penggunaan pengangkutan awam seperti bas RapidKL dan Transit Aliran Ringan (LRT) dapat membantu mereka ke lokasi tanpa menghadapi masalah kesesakan lalu lintas dan kawasan parkir.

“Ini adalah usaha kita menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan mereka ke lokasi pertandingan dengan tidak perlu memikirkan soal tempat letak kereta dan sebagainya.

“Saya ingin mengumumkan tempat meletak kereta di Kompleks Sukan Bukit Jalil ditutup kepada orang ramai. Hanya di Selangor Turf Club sahaja dibuka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan penggunaan LRT ke Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang pembukaan rasmi Sukan SEA 2017 pada 9 Ogos ini.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau selepas itu merasmikan stesen LRT Bukit Jalil berwajah baharu yang menampilkan tema sukan pada hiasan bangunan berkenaan khas sempena Sukan SEA yang ke-29 ini serta Panduan Perjalanan Pengguna Rapid KL.

Panduan perjalanan tersebut boleh dimuat turun menerusi laman web rasmi Sukan SEA 2017, Kementerian Belia dan Sukan dan media sosial Rapid KL.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd. Datuk Ir Zohari Sulaiman.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive