Thursday, December 28

PERKHIDMATAN LRT, MRT, MONOREL DIPERAKUI BERKELAS DUNIA DENGAN SIJIL ISO9001:2015


Perkhidmatan LRT, MRT dan monorel, yang dikendalikan Rapid Rail Sdn Bhd – hari ini menerima persijilan ISO terkini daripada SIRIM QAS International sekali gus mengesahkan kualiti perkhidmatan-perkhidmatan rel urban negara itu adalah berkelas dunia.

Ketika menerima pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001:2015 di pejabatnya di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman berkata pengiktirafan daripada badan akreditasi itu mengukuhkan lagi status Rapid Rail dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai penyedia perkhidmatan berkelas dunia berdasarkan pelbagai anugerah-anugerah antarabangsa yang diterima pada masa-masa lepas.

Pengiktirafan antarabangsa terbaru yang diterima oleh Prasarana adalah daripada European Society for Quality Research (ESQR), yang menganugerahkan buat kali kedua berturut-turut an Anugerah Berlian Antarabangsa bagi Kecemerlangan Kualiti di Vienna pada 9 Disember lepas. Ia dianugerahkan atas kecemerlangan Prasarana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan metro haji di Arab Saudi.

Mengulas penerimaan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001:2015 itu, Zohari berkata persijilan berkenaan mengantikan sijil ISO9001:2008, yang telahpun dimiliki oleh Rapid Rail sejak beberapa tahun lepas.  

“Kami di Rapid Rail sentiasa meningkatkan dan memantapkan sistem pengurusan, tahap kemahiran dan tahap kualiti dalam apa jua kami lakukan bagi memastikan perkhidmatan  berkualiti kepada para pelanggan kami. Syarat-syarat untuk sijil baru ISO9001:2015 adalah jauh lebih ketat; tetapi kami tetap gigih untuk  mencapai piawaian yang diperlukan.

“Bagi saya, pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini amat bermakna kerana keistimewaan badan ini sendiri. Bukan saja ia adalah badan akreditasi nasional, yang diiktiraf oleh Jabatan Standards Malaysia, tetapi juga oleh UKAS, yang merupakan badan akreditasi antarabangsa,” kata Zohari.

Beribupejabat di Britain, UKAS atau United Kingdom Accreditation Service adalah badan akreditasi yang menilai kewibawaaan organisasi yang memberikan perakuan dan pengiktiraf untuk persijilan, ujian, pemeriksaan dan perkhidmatan kalibrasi (calibration).

Berucap pada majlis berkenaan, wakil SIRIM QAS International, Puan Nor’afiza Saim, berkata persijilan yang dikeluarkan oleh organisasinya diiktiraf di 37 negara lain, yang berpayung di bawah IQNet, atau International Certification Network, yang berpengkalan di Switzerland.

Kata beliau, sebagai rakan kongsi kepada IQNet, sistem pengurusan persijilan yang dilaksanakan oleh SIRIM QAS International diperakui di serata dunia; sekali gus memberi faedah kepada perkhidmatan dan hasil produk para penerima persijilannya untuk memasuki pasaran antarabangsa.

“Berdasarkan kepada pengalaman kami dalam memberikan pensijilan sistem pengurusan kepada organisasi-organisasi daripada pelbagai sektor, ianya bukanlah perkara mudah untuk memenuhi keperluan pensijilan sistem pengurusan ISO 9001 dan  melaksanakannya dalam organisasi.

“Pensijilan ISO 9001:2015 yang diterima oleh Rapid Rail hari ini tidak akan terhasil tanpa wujudnya komitmen tinggi, yang diberikan oleh pihak pengurusan dan seluruh warga kerja Rapid Rail,” kata Nor’afiza, yang merupakan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan SIRIM QAS International.  

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Abdul Hadi Amran dan Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya, Haji Ismail Abdullah dan para pegawai tinggi Rapid Rail lain.

Thursday, December 21

Sidang Media Tan Sri Shahrir Samad Jawab Isu Semasa Felda



FELDA akan berusaha sedaya mungkin dalam memastikan tanah mereka yang hampir tergadai dalam projek Kuala Lumpur Vertival City (KLVC) dikembalikan hak dan kuasa kepada FELDA semula.

Bercakap kepada wartawan dalam satu sidang media di Menara FELDA, Tan Sri Shahrir Samad menegaskan bahawa segala proses mengembalikan tanah tersebut telah dilakukan termasuk laporan polis keatas Syarikat Synergy Promenade.

Tanah berkeluasan 16.43 ekar (Pecah 4 Perjanjian Jual Beli) yang bernilai RM270 juta itu dipindah milik kepada syarikat berkenaan. 

“Saya terpegun kerana tanah milik Institusi Kerajaan(FELDA) begitu senang proses penjualan dan pindah milik.

Apa yang menarik dari nilai jualan itu, tiada satu transaksi berlaku yang membawa maksud FELDA belum terima apa-apa duit hasil penjualan Tanah”, Tan Sri Shahrir Samad.

Berita Harian hari ini mendedahkan pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Cor-poration Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wira Razali Ibrahim berkata, Perdana Menteri maklum akan hal ini pada Febuari yang lalu dan telah menasihatkan beberapa perkara dalam memastikan tanah tersebut dikembalikan.

Laporan Polis dibuat tidak dinamakan sesiapa didalam Lembaga Pengarah ketika itu kerana kita telah berunding dengan Syarikat berkenaan tetapi gagal mencapai sebarang keputusan.

“Saya ingin tegaskan ada 3 perkara mustahak yang rakyat perlu tahu dalam kes ini, yang pertama kita telah “Private Caveat” tanah tersebut ,yang kedua laporan polis telah dibuat keatas syarikat terbabit kerana rundingan untuk serah semula gagal, yang ketiga audit penuh keatas segala hal yang berkaitan penjanjian dan penjualan tanah tersebut”, Datuk Wira Razali Ibrahim.

Beliau turut menegaskan, FELDA tidak berminat dalam soal urusan wang dan pembangunan ditanah tersebut kerana apa yang menjadi keutamaan sekarang hak Tanah tersebut dikembalikan kepada FELDA.

Urustadbir Mengelirukan- FELDA Berisiko Hilang Hak Tanah Jalan Semarak


FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati Menara KLVC Tower1A sudah diluluskan untuk dimajukan dengan bangunan pejabat 68 tingkat meliputi 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat termasuk parkir, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat parkir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.

Sumber memberitahu BH, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Cor-poration Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Urus tadbir mengelirukan

Menurut sumber itu, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

“Ia agak mengelirukan dari segi urus tadbir kerana Lembaga Pengarah FELDA tak tahu siapa sebenarnya buat keputusan, sama ada FIC atau FELDA kerana ketika itu ada orang yang sama duduk dalam FIC dan dalam FELDA.

“FELDA keluarkan surat kuasa wakil kepada syarikat pemaju untuk bangunkan kawasan terbabit, namun tanah berkenaan kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015,” katanya.

Carian BH di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga mendapati satu daripada tanah iaitu lot 390 seluas 16 hektar yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat lama FELDA, Anjung FELDA dan Wisma FELDA ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama projek itu pada 21 Julai 2016.

Difahamkan, sehingga kini tiada pengumuman dikeluarkan FELDA berhubung pemindahan hak milik tanah itu atau transaksi pengambilalihan tanah antara FELDA dengan pemilik baharu tanah itu.

BH turut bertemu pemaju itu di pejabatnya untuk mendapatkan penjelasan lanjut, tetapi seorang pengarah syarikat terbabit enggan memberi sebarang komen.

Mengikut laporan media pada 14 Mei 2014, kawasan itu mulanya dirancang dimajukan sebagai projek pembangunan bercampur komersial dan kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM500 juta oleh anak syarikat FIC, iaitu ENCORP Bhd.

Namun, pada 6 November 2014, DBKL menerima permohonan kebenaran merancang kawasan sama daripada pemaju utama KLVC dan bukan ENCORP.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati kontraktor utama projek KLVC adalah sebuah syarikat baharu yang hanya ditubuhkan Januari lalu.

Sumber Berita Harian

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive