Wednesday, August 12

Budaya Fitnah!!!! Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 PERLU DIUBAH.......


Sejak mutahir ini ramai sangat penfitnah muncul bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Tujuan menyebarkan fitnah hanyalah bersikap suka atau pun mempunyai kepentingan peribadi. Kerajaan Malaysia tidak bercadang menyekat laman sosial ini.

Budaya memfitnah dan berkongsi maklumat palsu kini mencapai peringkat yang menjejaskan kestabilan negara, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata memandangkan ada pihak yang kekurangan disiplin diri, kerajaan perlu bertindak serta mengkaji semula akta dan undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.



“Pindaan (terhadap akta itu) nampaknya perlu dilakukan agar SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) mempunyai mandat untuk menangani beberapa isu yang menjadi masalah.

“Ini kerana, pada akhirnya, keselamatan negara, rakyat dan kestabilan ekonomi menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah,” kata Abdul Rahman.

Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata di sesetengah negara maju, kawalan dikenakan terhadap media dalam bentuk tertentu.

Menurutnya kerajaan bertanggungjawab menyediakan akses secara stabil kepada rakyat selagi sesuatu maklumat yang dikongsi itu adalah berdasarkan fakta dan dilakukan secara beretika.

Sejajar dengan itu, katanya kerajaan bercadang menubuhkan pusat sehenti bagi menyemak fakta melalui Internet kerana setiap rakyat Malaysia berhak mengetahui fakta dan mendapat penjelasan tentang setiap tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tidak bertangungjawab.

“Kita memerlukan fakta dan kepantasan untuk menyanggah…anda tidak boleh menyalahkan kerajaan (jika berlaku kelewatan dalam memberi penjelasan) kerana apabila adanya tuduhan, ia dilakukan dengan serta-merta, sedangkan respons terhadapnya perlu dibuat berasaskan fakta,” katanya.

Wednesday, August 5

DAP Takut Dedah Sumber Dana Politik - Dato' Abdul Rahman Dahlan


Pembangkang cuba berlagak wira dengan mendakwa konon Perdana Menteri menerima sumbangan besar daripada luar negara untuk kegunaan UMNO dan BN.

Malangnya tidak ramai yang tahu, pembangkang di Malaysia juga menerima dana daripada pelbagai pihak termasuk dari luar negara sehingga ada kala jauh lebih mewah berbanding parti pemerintah sendiri.

Bagi mengupas isu itu, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, menjawab pelbagai soalan panas mengenai dana politik menerusi program Landskap Khas disiarkan TV1 RTM semalam.


Berikut ialah intipati wawancara berkenaan:

Kenapa sekarang baru timbul soal derma? Penuduh tidak perlu bukti, mereka hanya buat dakwaan. Kerajaan perlu lebih bertanggung jawab, tidak boleh jawab tanpa fakta dan siasatan.
Dalam hal 1MDB misalnya, jawapan telah diberi tetapi tidak dipercayai. Jadi PM arahkan supaya disiasat. Sama juga dalam hal dana, PM arah, ia disiasat.
Kenyataan SPRM tunjukkan akaun itu wujud. Tapi persoalan pokok, wang ini bukan hasil rompakan 1MDB atau duit rakyat sebaliknya daripada penderma. Soal siapa penderma dan bagaimana dibelanjakan, itu terpulang kepada pemilik akaun.
Paling penting tuduhan asal yang berat telah terjawab dan netizen wajar minta pembangkang mohon maaf kerana tindakan mereka jejaskan kestabilan ekonomi Malaysia.
Siapa penderma? Terserah kepada PM untuk sebut. PM telah bagi komitmen secara terbuka jika pembangkang setuju untuk buat reformasi pembiayaan politik, dia akan buat percubaan ini. Jangan pula pembangkang minta BN isytihar tetapi mereka sendiri tidak mahu isytihar. Banyak juga tuduhan mereka terima dana daripada Soros, Open Society, NED dan NDI.
DAP kata tidak pernah diminta pandangan? Dap berbohong. Saya telah sebut masa, tempat dan hari mereka keluar kenyataan kepada Transparency International dan boleh tunjuk minit, nama dan kenyataan yang diberikan secara verbatim.
Dana politik halal? Tiada larangan untuk sesiapa daripada menerima dana politik. Sama juga di luar negara. Ada yang jumlahnya jauh lebih besar dari yang diuruskan di Malaysia.
Jika parti politik setuju transformasi. Sama ada mereka boleh maklum kepada umum atau jika pembangkang tidak bersetuju, boleh juga dicadangkan agar SPRM dan polis boleh mempunyai akses kepada nama penderma dan jumlah sumbangan. Isu ini kami perjuangkan sejak tahun 2009 dan saya gembira ia dibincangkan oleh netizen. BN telah bersedia untuk transformasi ini sejak 2009.
Penggunaan akaun peribadi? Ia tidak dilarang dalam Perlembagaan UMNO dan undang-undang negara. Presiden-presiden parti politik, bukan saja UMNO, dipertanggung jawabkan untuk mencari dana dan diberikan hampir kuasa mutlak.
Dulu ada cerita dana ini diletakkan di bawah proksi dan ini merisaukan. Lebih baik letak di bawah Presiden. Tun M sendiri sebut susah untuk dapat balik duit. Bila bercerai, isteri tuntut.
Ada yang kata itu bukan harta UMNO. Tun M sendiri sebut, duit dan aset yang diserah kepada Pak Lah sebanyak RM1.4 bilion itu bukan semua. Dia masih mencari dan ada masalah untuk dapatkan semua.
Bila wang masuk pada tahun 2013, sistem akan digerakan. Dalam negara, jika nak masukkan RM50 ribu pun kena isi borang dan Bank Negara akan tahu pergerakan duit.
Tidak ada cara untuk lindungi sebab akaun atas nama PM dan duit dimasukkan di Malaysia. Jika Bank Negara tahu, maksudnya Bank Negara tahu sumber dana ini selari dengan undang-undang.
Adakah UMNO gembira dengan kenyataan SPRM? Ya, kerana tuduhan pertama yang dilemparkan kepada PM adalah beliau merompak duit rakyat, 1MDB. Sekarang SPRM dah buat kenyataan ia bukan dari 1MDB.
Jika tidak salah kenapa akaun ditutup? Soal akaun dibuka dan ditutup itu amalan biasa. Soalan pembangkang adalah untuk alihkan rakyat dari isu pokok, iaitu duit itu bukan daripada 1MDB. Mereka tidak minta  maaf atas tuduhan sebelum ini sebaliknya bangkitkan soal remeh temeh, tutup tak tutup akaun. Sekarang isu pokok telah selesai. Soal pengeluaran, ia dikeluarkan menggunakan cek dan ia boleh disemak dan disiasat.
Adakah RM2.6 bilion dana PRU13? PM sudah jelaskan ia untuk CSR dan aktiviti politik parti. Ia bukan semata-mata untuk PRU. Sepanjang tahun parti politik ada program. Lebih-lebih lagi UMNO yang ada di semua tempat di seluruh negara, kecuali Sarawak.
UMNO adalah parti yang matang dan ada rakan-rakan di seluruh negara dan dunia. Dalam soal sumbangan, misalnya, kita bantu rakyat Palestin kerana kita orang islam dan mahu bantu mereka.
Jika ada yang mahu menderma kerana hendak lihat perjuangan UMNO diteruskan, itu satu tindakan yang mulia. Ramai penderma yang rajin menderma misalnya Putera Al Walid bin Talal dan Bill Gates, yang penting tiada syarat dikenakan.
RM2.6 bilion bukan datang daripada 1MDB? Pertama 1MDB sendiri kata ia tak beri. Kedua, pelaburan sebanyak USD1.8 bilion, dapat semula USD2.3 bilion. Bagaimana nak kata hilang apabila jumlahnya bertambah. Soal lain, Jho Low, Paris Hilton dan sebagainya hanya nasi tambah untuk menyedapkan cerita.
Pembiayaan politik tidak menjadi suatu isu sebelum ini kerana semua parti menerima dana politik, cuma sama ada nak beritahu daripada siapa mereka terima dan berapa banyak jumlahnya. Dalam sejarah UMNO, tiada Presiden yang perlu cari dana untuk Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah yang bukan di bawah BN.
Bila PM cuba mencari dana saya ucapkan terima kasih kerana ia dapat menggerakkan aktiviti parti bagi mendapatkan sokongan rakyat.
Kes rasuah MB Selangor, kenapa dulu derma menjadi isu? Pertama, soal keikhlasan penderma. Kedua, dia menderma bukan untuk pulangan. Insiden dulu mungkin kerana dia memberi derma selepas dia dapat projek. Yang ini berbeza, kerana ia derma tanpa mengharapkan pulangan dari parti dan kerajaan. Hanya kerana dia selesa dengan perjuangan.
Dulu BN tak perlu sehingga RM2.6 bilion untuk PRU? Dulu pada tahun 2003, Tun M serah RM1.4 bilion kepada Pak Lah, itupun bukan semua kerana proksi tidak beri kerjasama. Kalau 12 tahun dulu UMNO ada RM1.4 bilion, sekarang dengan cabaran 4 negeri tidak di bawah BN, cabaran media sosial dan cabaran pembangkang yang kuat, RM2.6 bilion pada saya berpatutan.
Bagaimana jika BN lakukan kesalahan pilihan raya? Tindakan boleh dikenakan, tetapi sebelum itu, perlu ada siasatan. Bila pembangkang lontar tuduhan, bukan bermakna ia berasas. Bila tuduhan bahawa wang ini datang daripada 1MDB, pada hari pertama lagi, PM dan 1MDB telah menafikannya. Bila tak percaya, maka ia disiasat. Bila telah disiasat dan ada keputusan, kita kena hormat keputusan itu.
Sama ada tuduhan ini betul atau tidak kesan tuduhan kepada ekonomi negara amat besar?Ya, jika selama setahun kita dakwa RM2.6 bilion atau RM42 bilion hilang, sebenarnya kos terhadap kerajaan lebih besar daripada RM42 bilion kerana peningkatan kos meminjam, hilang peluang pelaburan dan kesan terhadap rakyat.
Sebab itu kerajaan berpesan supaya jangan terbawa-bawa kerana kita kena jaga ekonomi. Pembangkang tidak peduli malah lebih suka kerana jika ekonomi merudum ia akan menjadi modal politik mereka.
NFC misalnya, yang dipertikai RM250 juta, walaupun sebenarnya jumlahnya lebih rendah daripada itu sebab sebahagian daripada jumlah itu belum digunakan, tetapi apabila program gagal, kita terpaksa import lebih RM2 bilion daging setahun; wang yang sepatutnya masuk ke dalam poket penternak-penternak kecil dan satellite farm.
Kita marah kerana RM250 juta tetapi kesannya dalam 7 tahun, RM14 bilion mengalir ke negara luar. Sebab itu jangan kerana terbawa dengan dakwaan yang tiada asas, sehingga ganggu ekonomi dan kesannya kepada rakyat.
Isu ini juga menjejaskan keyakinan antarabangsa? Saya berterima kasih kepada masyarakat perniagaan kerana walaupun diasak bertubi-tubi, trend, indikator antarabangsa tetap beri petunjuk yang baik, memberi maksud ekonomi negara berada di landasan yang kukuh.
Pertumbuhan ekonomi kita lebih baik daripada Thailand dan Singapura. Walaupun Ringgit jatuh, tetapi jika dibandingkan dengan Australia, New Zealand, Kanada dan Rusia keadaan kita lebih baik. Jangan netizen jadikan ia fenomena yang terlalu besar sehingga mejejaskan ekonomi negara.
Bergerak ke hadapan? Walaupun BN boleh dapatkan cukup undi untuk transformasi, tapi kita mahu ia dipersetujui secara bipartisan dan kita mahu dapatkan komitmen mereka.
Alasan takut penderma tidak menderma kepada mereka adalah alasan yang lemah kerana sebagai kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang ada ramai yang akan terus menderma kepada mereka. Dana dari luar negara, Soros, misalnya tidak ada kaitan dengan kerajaan persekutuan.

Sunday, August 2

RAPID PENANG LANCAR INTERCITY KE SUNGAI PETANI @rapidpg @azmiaziz60


Kesediaan Syarikat Rapid Penang Sdn Bhd memperluaskan laluan perkhidmatan meliputi kawasan Sungai Petani, Kedah menerusi perkhidmatan Intercity dijangka bakal memberi nafas baharu kepada sistem pengangkutan awam.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mejar (B) Mohd Shukri Abdul Rahman berkata, bermula 2 Ogos 2015, Rapid Penang menawarkan perkhidmatan bas Intercity yang menghubungkan Sungai Petani ke Penang Sentral, Butterworth bermula jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Menurutnya, faktor pemilihan kawasan Sungai Petani sebagai lokasi tambahan laluan baharu diputuskan setelah Rapid Penang diminta untuk menerokai laluan perkhidmatan pengangkutan awam baharu meliputi daerah berdekatan Pulau Pinang.

“Bagi memastikan kualiti perkhidmatan kami di laluan baharu lebih lancar dan memudahkan pengguna, Rapid Penang memperuntukkan tambahan bas baharu dan ianya sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bas kami sebanyak 400 buah.

“Rapid Penang juga menyediakan 16 bas bagi setiap laluan perkhidmatan Intercity di mana lapan lokasi hentian dipilih untuk mengambil dan menurunkan penumpang di sepanjang perjalanan dari Sungai Petani ke Penang Sentral.



Caj murah

Mohd Shukri berkata, perkhidmatan bas Intercity itu dijangka mampu memenuhi keperluan penduduk Sungai Petani apabila caj tambang yang dikenakan untuk jarak keseluruhan perjalanan menghubungkan Sungai Petani ke Penang Sentral bernilai RM4.70 sahaja.

Menurutnya, jarak keseluruhan perjalanan yang turut melalui Lebuhraya Utara-Selatan dianggarkan 44 kilometer dan dijangka mengambil masa sejam untuk tiba di destinasi, bergantung kepada situasi trafik.

“Bagi memastikan perkhidmatan disediakan efisien, Rapid Penang turut menetapkan kekerapan operasi bas sekurang-kurangnya sekali pengambilan di setiap hentian dalam tempoh 30 minit hingga 40 minit, meliputi perjalanan Sungai Petani-Penang Sentral-Sungai Petani.

“Selain itu, Rapid Penang turut menjanjikan perkhidmatan selesa apabila bas dilengkapi lantai boleh laras, litar rakaman CCTV, kemudahan mesra orang kurang upaya serta teknologi GPS yang boleh menjejak kedudukan dan kelajuan bas sepanjang perjalanan,” katanya.

Promosi laluan percuma

Mohd Shukri berkata, sempena pelancaran laluan perkhidmatan bas Intercity baharu, Rapid Penang menawarkan peluang menggunakan perkhidmatan laluan baharu itu secara percuma kepada orang ramai bermula 2 Ogos hingga 6 Ogos 2015.

Selain itu, Mohd Shukri turut mengesyorkan orang ramai mendapatkan pas bulanan Rapid Intercity bernilai RM150 bagi membolehkan mereka menikmati setiap perjalanan tanpa had.

“Pada masa sama, Rapid Penang turut memerlukan tambahan 30 pemandu atau kapten bas bagi memastikan kelancaran perjalanan di dua laluan baharu ini.

"Saya mengalu-alukan permohonan penduduk Sungai Petani yang berminat untuk memenuhi kekosongan jawatan yang disediakan,” katanya.

Mohd Shukri berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan penambahan laluan perkhidmatan Intercity merangkumi keseluruhan daerah bersempadan Pulau Pinang sekiranya pelancaran laluan baharu ini mendapat sambutan penduduk.

“Justeru, kehadiran Rapid Penang diharap bukan sahaja dapat meningkatkan persaingan sihat dalam kalangan pengusaha syarikat pengangkutan bas awam, malah memaksimumkan tahap  keselesaan bas untuk kegunaan orang ramai,” katanya.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive