Sunday, August 6

Boleh bawa basikal naik LRT RapidKL


Basikal kini dibenarkan dibawa menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) setiap Ahad minggu pertama dan ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid KL, Datuk Zohari Sulaiman berkata, kebenaran itu diberikan dalam usaha menyokong program ‘KL Car Free Morning’ yang bertemakan ‘Go Green and Stay Healthy’.

"Sebelum ini hanya basikal lipat sahaja dibenarkan dibawa menaiki tren pada waktu tertentu tetapi kini basikal bersaiz penuh pula dibenarkan bermula 6 pagi hingga 10 pagi.


"Basikal dengan panjang tidak melebihi dua meter dan tinggi tidak melebihi 1.2 meter dibenarkan dibawa menaiki tren LRT empat gerabak di laluan Kelana Jaya dan tren LRT enam gerabak laluan Ampang/Sri Petaling," katanya selepas merasmikan program Bike & Ride LRT Rapid KL di stesen LRT Bandaraya di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Zohari, sebelum pelaksanaan itu, pihaknya sudah menjalankan kajian menerusi laman Twitter @MyRapidKL.

"Menerusi kajian itu, 80 peratus pengguna bersetuju dan menyokong usaha itu khususnya aktiviti sihat seperti berbasikal,” katanya.

Setakat ini, pelaksannan ini dicuba di tren LRT dan jika mendapat sambutan pengguna akan dilaksanakan di MRT juga, katanya

"Selain itu, Rapid KL juga menjalankan beberapa siri kayuhan simulasi dengan kerjasama Kelab Berbasikal Prasarana dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD)," katanya.

Thursday, August 3

PAK LAH AJAK RAKYAT MALAYSIA TURUN PADANG SOKONG ATLIT NEGARA


Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi berharap seluruh rakyat Malaysia akan bangkit bersama-sama untuk memberi sokongan bagi menyemarakkan semangat juang atlit-atlit negara pada temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (KL2017) yang  bakal bermula pertengahan bulan ini.

Tun Abdullah, yang mengunjungi Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil di sini hari, turut merakamkan rasa kekaguman atas transformasi yang telah dilakukan terhadap kompleks sukan berkenaan khususnya Stesen LRT Bukit Jalil, yang kini berwajah baru.

Tun Jeanne Abdullah bersama Kapten Tren LRT Siti Nur Asnene bt Tajuddin

Memperagakan imej sukan dengan ungkapan kata-kata semangat sebagai hiasan dalaman, Tun Abdullah, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah, memuji langkah Rapid KL menghiasi stesen berkenaan khususnya dalam memberikan imej sukan kepada fasiliti pengangkutan awam itu.

Diringi oleh isterinya, Tun Jeanne Abdullah dan disertai oleh beberapa anggota keluarga lain, rombongan Perdana Menteri Malaysia kelima itu pergi ke kompleks sukan berkenaan dengan menggunakan perkhidmatan Rapid KL LRT Laluan Sri Petaling, yang dijangka menjadi mod pengangkutan awam utama untuk ke temasya sukan berkenaan.


Naik dari Stesen LRT Hang Tuah, Tun Abdullah menyatakan rasa gembira terhadap perkhidmatan berkenaan dan menyarankan para peminat yang ingin ke Kompleks Sukan Bukit Jalil untuk datang ke acara-acara yang dipertandingkan di sana.

Selain menjadi gelanggang utama untuk trek dan balapan di Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil yang turut acara pembukaan dan penutup temasya sukan berkenaan, acara-acara lain yang akan diadakan di sekitar Bukit Jalil adalah akuatik, badminton dan hoki padang.

Wednesday, August 2

STAF PRASARANA TERUJA KENDALI TREN HAJI MMMSL DI MEKAH


Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus menggiatkan usaha sebagai persiapan menjelang bermulanya operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), yang bakal bermula pada 29 Ogos ini di Tanah Suci Mekah, Arab Saudi.

Dengan cabaran yang dijangka lebih getir ekoran cuaca yang lebih panas berbanding dengan dua tahun lepas ketika Prasarana mula mengendalikan projek ini, staf dan kakitangan yang sedang dan bakal bertugas di sana diingatkan supaya sentiasa mengambil air yang banyak dan mengambil langkah-langkah menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Sebenarnya, ini adalah tahun ketiga untuk saya bertugas di Mekah untuk operasi tren haji ini. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat di sana dan amat berterima kasih kepada Prasarana kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya,” kata Mohamad Fardzreen Abdul Razak, yang berangkat ke Arab Saudi petang semalam dari KLIA bersama-sama dengan 21 rakan kerja yang lain.

Bertugas dalam bahagian kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, Fardzreen berkata kesemua mereka yang akan bertugas dalam operasi MMMSL ini telah dimaklumkan tentang cabaran-cabaran di sana khususnya mengenai cuaca yang panas dan mengendalikan sebilangan besar daripada jemaah yang menggunakan perkhidmatan itu adalah warga tua dan yang tidak pernah menaiki tren.

“Kerja-kerja mengurus penumpang di sana adalah jauh lebih berbeza dan jauh lebih mencabar daripada apa yang kami lakukan di sini sama ada untuk LRT, monorel ataupun MRT di sini. Pergerakan penumpang adalah secara serentak dan pada tempoh-tempoh tertentu yang singkat berdasarkan kepada urusan ibadat haji.

“Pada Hari Wukuf pada 9 Zulhijjah, umpamanya, semua jemaah akan berpusu-pusu ke Arafah untuk berkumpul di sana. Menjelang tengah malam, kesemua mereka akan bergerak pula ke stesen Mudzalifah sebelum bergerak pula ke Mina. Untuk tujuh hari berturut-turut termasuk dua hari sebelum Hari Wukuf, kami semua di sana bertugas tujuh hari berturut-turut tanpa henti.

“Justeru itu, adalah penting untuk setiap seorang daripada kami yang bertugas di sana memastikan tahap kesihatan kami adalah di tahap yang baik. Kerana, kami perlu sihat dan cergas untuk memastikan dapat menguruskan jemaah sebaik mungkin. Waktu rehat adalah amat minima,” kata Fadzreen, yang bertugas dengan Laluan Monorel di Kuala Lumpur.

Siap dibina pada tahun 2009 oleh Kerajaan Arab Saudi dan mula beroperasi sepenuhnya pada 2010, Jajaran MMMSL sepanjang 18.1km itu menghubungkan stesen-stesen di Arafah, Muzdalifah dan Jamrah untuk kegunaan jemaah yang berkhemah di kawasan berdekatan dengan laluan berkenaan.

Kedudukan khemah-khemah jemaah haji di kawasan Tanah Suci Mekah ditetapkan berdasarkan lokasi negara-negara. Kerana kedudukan khemah mereka, hanya para jemaah dari negara-negara Timur Tengah dan Asia Selatan seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka yang berpeluang menggunakan perkhidmatan ini. Para jemaah Malaysia menginap terlalu jauh untuk dapat menggunakan perkhidmatan MMMSL; dan akan terpaksa berjalan kaki tidak kurang daripada 8km untuk sampai ke stesen-stesen ini.

Prasarana dianugerahkan kontrak mengendalikan penyelenggaraan dan operasi MMMSL ini selama tiga tahun bermula pada 2015. Musim ini adalah tahun ketiga untuk Prasarana mengendalikan projek ini. Kira-kira 350,000 jemaah haji menggunakan perkhidmatan MMMSL ini.

“Jika ditanya tentang harapan saya, selain daripada dapat menjalankan kerja sebaik; dan menunaikan amanah yang diberikan dengan baik lancar dan sempurna untuk memberikan kemudahan kepada para jemaah menunaikan haji, harapan saya adalah untuk Prasarana akan terus mendapat kontrak ini dan saya dapat terus datang ke Mekah untuk menabur bakti kami.

“Saya sendiri, dan juga rakan-rakan kerja yang lain, cukup gembira, terharu dan teruja dengan pelbagai komen baik dan ucapan tahniah yang diberikan kepada jemaah kepada kami. Mereka bukan memuji Prasarana; tetapi memuji Malaysia. Kami di sana menyebarkan nama baik Malaysia dan rakyatnya. Ini amat membanggakan saya dan rakan-rakan saya yang lain.

“Kerana itu, saya sentiasa bersedia untuk pergi bertugas di Mekah dan mengendalikan operasi haji ini pada tahun-tahun akan datang. Susah dan payah, cuaca yang panas, kerja yang panjang ini, kami lupakan kerana peluang berkhidmat untuk memudahkan tetamu Allah melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.

“Dari segi bisnes, saya rasa ia cukup menguntungkan Malaysia. Kerana Prasarana membawa nama baik dan kepakaran Malaysia ke Arab Saudi dan Timur Tengah dan ini akan membuka peluang-peluang baru kepada Prasarana dan juga syarikat-syarikat Malaysia yang lain pada masa akan datang,” kata Fardzreen.

Perasaan teruja bertugas di Mekah untuk operasi haji ini turut dirasai oleh rakan sejawat, Saiful Ezani Ibrahim, yang mendapat peluang untuk bertugas untuk operasi MMMSL buat pertama kali untuk bergandingan dengan Fadzreen mengendalikan urusan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

“Saya amat terharu untuk akhirnya mendapat peluang bertugas di Mekah. Bukan mudah untuk terpilih kerana kami perlu membuat permohonan dan ditapis oleh pihak pengurusan Rapid Rail. Ini adalah kerana Rapid Rail mahu memastikan bahawa operasi di Kuala Lumpur ini terus berjalan dengan lancar.

“Kerana itu, saya sangat gembira kerana mendapat jemputan ini. Saya akan cuba berikan khidmat yang sebaik mungkin, bukan saja untuk menjaga reputasi Prasarana dan Rapid Rail; tetapi lebih penting lagi, para jemaah dapat menunaikan ibadat haji mereka selesa dan selamat. Insya-Allah,” kata Ezani.

Di Mekah sekarang, staf yang bertugas di MMMSL sedang sibuk menjalani ujian operasi atau ‘trial operation’ berdasarkan 19 kes ujian yang ditetapkan bersama-sama dengan Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan perkhidmatan mantap bila operasi sebenar dilaksanakan.
Ujian simulasi itu akan turut mengandungi dua sesi pelan latihan kecemasan dengan agensi-agensi keselamatan tempatan pada 23 dan 24 Ogos ini.

Demi mengurangkan sandaran kepada tenaga kerja Rapid Rail, operasi MMMSL musim ini lebih banyak menggunakan tenaga para pesara berpengalaman daripada Prasarana dan KTMM khususnya di bidang teknikal dan sebagai pemandu tren.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive