DS NAJIB melambai tangan ke arah orang ramai sebaik turun dari bas Klinik Bergerak 1Malaysia
di Kampung Orang Asli Pos Raya, Gopeng semalam.
IPOH - Klinik Bergerak 1Malaysia akan memberi kemudahan rawatan percuma kepada penduduk di pedalaman yang belum mendapat kemudahan sepenuhnya di klinik-klinik bergerak yang dikendalikan Kementerian Kesihatan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, konsep itu diperkenalkan bagi memastikan 25 peratus lagi kawasan pedalaman seluruh negara yang berada di luar lingkungan 25 kilometer dari pusat perubatan dan kesihatan terdekat menikmati kemudahan kesihatan.
Katanya, konsep klinik bergerak sudah disediakan Kementerian Kesihatan sebelum ini dengan 171 buah klinik udara, air dan darat iaitu 60 buah di Semenanjung, 13 di Sabah dan 98 di Sarawak yang memberi perkhidmatan kepada lebih 1,600 buah kampung pedalaman.
"Klinik Bergerak 1Malaysia adalah perkongsian antara Yayasan 1Malaysia Development Berhad (IMDB) dengan Kementerian Kesihatan. IMDB menyediakan bas manakala kementerian menyediakan doktor dan perubatan," katanya ketika melancarkan Klinik Bergerak 1Malaysia di Kampung Orang Asli Pos Raya, Gopeng dekat sini semalam.
No comments:
Post a Comment