Mula-mula, sempena Ramadan al-Mubarak, kita bercakap mengenai mercun. Dulu, kini – mungkin selamanya! – bulan puasa dan raya telah diterima sebagai musim mercun. Sepatah kata Saloma: “Dam, dam, dum, mercun berdentum...”
Sebenarnya lirik lagu itu sudah tidak relevan, sebab sejak lebih sedekad lalu mercun telah diharamkan di negara kita. Adalah menjadi kesalahan – boleh dihukum denda dan penjara – bagi siapa sahaja yang menjual, menyimpan atau bermain mercun.
Mengimport mercun dan bunga api adalah dilarang di bawah Butiran 34, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008, kecuali dengan permit import yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, itu pula hanya untuk dua jenis mercun iaitu PoP PoP dan Happy Boom.
Bukan tidak ada usaha menyekat mercun masuk ke negara ini. Polis Kelantan menubuhkan skuad khas bagi memantau kegiatan penyeludupan mercun. Minggu lalu mercun bernilai hampir RM180,000 yang cuba diseludupkan masuk berjaya dirampas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan.
Di Ipoh, Kastam merampas 1,190 karton mercun dan bunga api bernilai RM744,315, dipercayai rampasan terbesar tahun ini. Tetapi nampaknya si penyeludup lebih cekap berbanding pihak berkuasa. Jumlah yang berjaya diseludupkan jauh lebih besar daripada yang dirampas.
Buktinya mercun meletup berdentum-dentam sana-sini setiap kali musim raya.Nyata sekali pengedar dan penjual mercun tidak takut pada undang-undang. Benda haram itu dijual secara terbuka di pasar malam dan bazar Ramadan, sama seperti menjual ayam percik atau air tebu.
Mereka berani, sebab tidak ada tindakan pihak berkuasa. Siapa sahaja boleh main mercun, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, termasuk di kawasan perumahan polis. Maknanya, anak dan suku-sakat polis pun main mercun!
