Mungkin mula berasa terdesak. Kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang selama dua hari ini berlangsung dalam keadaan tenang mula dicemari perbuatan khianat apabila berlaku kejadian membakar bendera Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Kampung Lembaga di sini, hari ini.
Setelah dua hari kempen bermula ternyata bahang kempen mula terasa dengan aktiviti ceramah dan menaikkan bendera serta poster calon bertanding.
Sehingga semalam ternyata jentera BN mendominasi pemasangan bendera dan poster calon di merata tempat berbanding Pas yang dilihat lebih tertumpu kepada ceramah-ceramah umum.
Malangnya suasana tenang selama dua hari mula dicemari perbuatan khianat pihak tertentu apabila terdapat beberapa bendera BN dan UMNO yang digantung di Kampung Lembaga, dibakar pada awal pagi oleh individu dipercayai daripada parti pembangkang.
Selain itu, terdapat kain rentang BN di Kampung Baru di sini yang disimbah bahan peluntur untuk melunturkan gambar pada kain rentang itu yang memaparkan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa pemimpin BN lain.
Mengulas perkara tersebut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin melahirkan kekecewaan terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Tegas beliau pihaknya kesal dengan sikap jentera kempen Pas yang datang dari luar dengan mengambil tindakan terdesak dan agresif terhadap BN sedangkan jentera BN bersikap profesional dan beretika semasa berkempen.
“Saya melihat jentera tempatan dan penyokong tempatan tak ada masalah. Mereka tak ada yang ketara sangat antara UMNO dan Pas di Gua Musang ini.
“Di sesetengah tempat mungkin ada ketegangan… pulau memulau, tapi di sini tak ada masalah, kita salam bersalaman, sembang malah boleh minum sekali”, katanya.
Bro Minaq Jinggo menunjukkan banner BN yang telah dirosakkan!
Justeru beliau percaya perbuatan khianat tersebut bukan dilakukan jentera Pas tempatan tetapi jentera Pas dari luar.
“ Mungkin mereka sendiri tak tahu sensitiviti dan tatasusila politik tempatan. Mereka terbawa-bawa dengan cara agresif di tempat lain,” ujarnya.
"aziz limau" Lambang Kemesraan
Bersama Penduduk Gua Musang
Jika disebut nama penuhnya, Abdul Aziz Yusoff mungkin tidak ramai yang kenal atau perasaan gerangan orangnya, sebaliknya beliau lebih popular dengan gelaran ‘Aziz Limau’ di Gua Musang ini. Itulah kelebihan calon yang ditampilkan BN bagi mengalas harapan untuk merampas kembali kerusi DUN Galas 4 November ini.
Abdul Aziz Yusoff atau ‘Aziz Limau’ bukanlah asing bagi masyarakat Gua Musang, sebaliknya sudah lama dikenali di sini. Nama timangan itu diberikan masyarakat setempat memandangkan beliau pernah bertugas sebagai kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di RPT Limau Kasturi.
Jalinan kemesraan yang terjalin antara beliau dengan penduduk di sini dapat dilihat ketika Abdul Aziz menjalankan kempennya dan melawat setiap kedai yang ada di Bandar Lama di sini.
“Eh, awak jadi calon kat sini ke? Bagus-bagus, saya pasti akan sokong awak.” Demikian reaksi spontan seorang pemilik kedai elektrik, Lee Weng Chong, 69, ketika Abdul Aziz datang ke premisnya.
Weng Chong ternyata terkejut kerana tidak menyangka rakan yang telah dikenalinya selama lebih 20 tahun itu terpilih menjadi calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.
Weng Chong ketika ditemui wartawan selepas itu kelihatan amat ceria dan bersemangat kerana warga emas ini sebelum ini tidak menyangka Abdul Aziz itu adalah Aziz Limau yang dikenalinya.
“Ya, saya mula-mula tidak tahu siapa dia calon BN. Tapi bila dia datang sendiri cakap saya pun terkejut dan gembiralah sebab ini kawan lama saya di sini. Dia memang baiklah. Lebih 20 tahun kami berkenalan sebagai kawan dan dia juga pelanggan tetap saya selama ini,” kata Weng Chong yang telah berniaga di situ sejak 38 tahun lalu.
Dalam masa yang sama, beberapa penduduk lagi yang ditemui berkata, panggilan Aziz Limau memang telah lama diberikan masyarakat di sini terhadap calon BN itu terutama yang pernah berurusan dengan beliau.
Kebanyakan mereka amat gembira dan menganggap Abdul Aziz seorang individu yang baik dan banyak membantu ketika masih berkhidmat dengan Kesedar.
No comments:
Post a Comment