SEPANG: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh tengah malam tadi yang ditujukan kepada anggota Pemuda Umno yang akan menyertai perhimpunan 9 Julai ini.
SMS itu, yang diterima jam 12.18 tengah malam dari nombor yang tidak dikenali turut mengandungi kata-kata kesat yang mengugut untuk 'menyembelih' anggota Pemuda Umno yang ditemui di perhimpunan itu nanti.
Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad, Khairy berkata laporan polis mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh setiausaha pergerakan itu Datuk Megat Firdouz Megat Junid, yang turut menerima SMS serupa dari nombor yang sama.
"Saya nampak ini perkara yang amat bahaya sekali dan mengancam keselamatan dan seolah-olah memberi satu ancaman terhadap mana-mana anggota Pemuda Umno yang ingin turun pada 9 Julai.
"Saya harap polis boleh mengambil tindakan sebab ini adalah perkara yang serius," katanya.
Mengenai penganjuran perhimpunan tersebut, Khairy berkata pihaknya masih belum menerima panggilan daripada Bukit Aman untuk memberi sebarang keterangan mengenainya.
Sementara itu, Megat Firdouz yang dihubungi berkata satu laporan polis telah dibuat mengenai perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya jam 12.15 tengah hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan menerima SMS ugutan bunuh, juga mengenai perhimpunan haram yang dianjurkan Bersih pada hari yang sama. BERNAMA
No comments:
Post a Comment