PELANCARAN Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat satu lagi usaha murni berterusan pihak kerajaan untuk membantu rakyat negara ini yang masih tergolong dalam kategori berpendapatan rendah.
Skim ini diyakini mampu memberi manfaat besar kepada lebih 100,000 isi rumah berpendapatan rendah dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing. Melalui skim tersebut, mereka yang layak akan diberi peluang membuat pelaburan sebanyak RM5,000 dalam Amanah Saham 1Malaysia iaitu salah satu produk Permodalan Nasional Berhad (PNB) sama ada melalui simpanan peserta atau dalam bentuk pinjaman.
Mengikut kelayakan yang ditetapkan, pemohon skim tersebut perlulah terdiri daripada isi rumah berpendapatan antara RM500 hingga RM3,000 sebulan, hasil kombinasi pendapatan antara suami dan isteri atau ibu bapa tunggal.
Terdapat beberapa elemen menarik tentang skim ini. Antaranya, jika pemohon layak tidak mempunyai simpanan mencukupi, mereka diberi peluang dan kemudahan untuk membuat pinjaman RM5,000 daripada bank-bank yang mengambil bahagian.
Manakala dari segi pulangan pendapatan pula, peserta yang menyertai skim ini dijamin memperoleh pulangan RM134 sebulan sekiranya tidak membuat pinjaman. Jika meminjam, mereka tetap memperoleh imbuhan RM50 sebulan selepas RM84 ditolak sebagai bayaran balik pinjaman.
Pelancaran skim ini bukanlah suatu keputusan baru atau mengejut kerana cadangan untuk memperkenalkan dan melaksanakan Skim Sara 1Malaysia ini sebenarnya telah diumumkan terdahulu oleh Najib yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2012 tahun lalu. Justeru, pelancaran skim ini membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Najib sentiasa berpegang pada janji yang diberikan kepada rakyat.
Ini kerana, terdahulu kerajaan juga menunaikan janji dengan mengagihkan bantuan persekolahan RM100 untuk seorang murid yang dapat meringankan perbelanjaan persekolahan ibu bapa, baucar buku bernilai RM200 untuk pelajar IPT dan terkini mula agihkan pula Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 ke bawah.
Apa yang penting sekarang ialah rakyat layak menikmati skim baru ini perlu segera merebut peluang keemasan yang disedikan kerajaan demi manfaat masa depan masing-masing.
Kita berharap sangat agar peserta layak akan segera memohon untuk menyertai skim ini. Bagi yang tidak mempunyai wang simpanan, kita berharap sangat agar pihak bank terlibat dalam skim ini sebagai pemberi pinjaman akan memudahkan segala prosedur pinjaman supaya rakyat yang layak dapat menyertai skim ini dengan segera.
Dalam soal ini jabatan kerajaan yang terlibat perlu memantau secara rapi agar tidak ada sebarang bentuk karenah birokrasi mahupun undang-undang dan peraturan pinjaman yang akan menyusahkan rakyat kelak. Perlu dipastikan agar semua isi rumah yang layak dapat menyertai dan memperoleh manfaat yang disediakan melalui skim ini.
Komitmen dan kesungguhan Najib serta kerajaan pimpinannnya dalam usaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah cukup terserlah dan sememangnya tidak dapat dinafikan. Apa yang dapat dilihat ialah kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi agenda perjuangan utama Najib sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Saya percaya kesemua usaha ini mampu menzahirkan impian kita untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, sekali gus diyakini mampu merapatkan jurang perbezaan pendapatan dalam kalangan rakyat negara ini.
Beto Kusyairy Berdepan Cabaran Fizikal Dalam Filem Biopik Gayong
-
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Beto Kusyairy mendedahkan beliau kini
menghadapi masalah sakit tulang belakang (slip disc) yang membataskan
pergerakan teru...
No comments:
Post a Comment