exponegaraku

Tuesday, September 26

Bas Perantara Khas @MyRapidKL untuk F1 di Sepang #F12017 @F1


Para peminat sukan pemotoran yang ingin menyaksi edisi terakhir acara Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix, yang akan berlangsung hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) disaran menggunakan perkhidmatan bas perantara khas untuk perjalanan selesa dan lancar.

Disediakan oleh Rapid Bus Sdn Bhd, perkhidmatan bas khas itu akan beroperasi selama tiga hari berturut-turut mulai Jumaat ini (29 September), yang merupakan hari pertama acara 2017 Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix dan edisi ke 19 acara berkenaan diadakan di SIC.


“Seperti tahun-tahun lepas, Rapid KL adalah Penyedia Perkhidmatan Bas Rasmi untuk acara ini. Rapid KL bukan saja akan menyediakan perkhidmatan perantara antara Kuala Lumpur dan KLIA2, tetapi juga menyediakan perkhidmatan sokongan atau ‘feeder service’ di sekitar kawasan litar.

Sebagai edisi F1 yang terakhir, kami menjangkakan sambutan memberangsangkan daripada para peminat sukan pemotoran untuk acara yang bersejarah ini. Kerana ramai yang pergi ke SIC, cara terbaik untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara ini, yang akan  mempunyai jadual tersusun dan diberikan prioriti dan keistimewaan dalam perjalanan masuk dan keluar daripada kawasan litar oleh pihak berkuasa,” kata Encik Mohd Azam Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad.


Katanya, selepas berbakti untuk temasya Sukan SEA ke 29 dan Sukan Para Asean 2017, Rapid KL akan terus menyokong agenda pembangunan sukan negara dengan menjadi Pengangkutan Rasmi untuk acara Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix dan juga untuk acara Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix, yang akan hujung bulan depan.  

Sebagai edisi yang ke 19 dan yang terakhir, 2017 Formula Petronas Malaysia Grand Prix ini dijangka mendapat sambutan dengan puluhan ribu peminat membanjiri Litar Sepang untuk menyaksikan acara berprestij itu.

Mengambil kira jumlah kenderaan persendirian yang akan menuju ke kawasan litar dan jumlah parkir yang dijangka terhad, para peminat digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya Rapid KL untuk perjalanan yang selesa dan selamat ke Sepang.


Perkhidmatan bas khas ini akan bermula pada hari pertama acara pada 29 September dengan bas pertama berlepas daripada tempat naik dan menurunkan penumpang di tiga lokasi iaitu KL Sentral, KLCC dan KLIA 2; dengan bas yang terakhir pada 1 tengahari untuk ketiga-tiga hari.

KL Sentral dipilih sebagai salah satu lokasi adalah kerana ia adalah hub pengangkutan awam bandaraya Kuala Lumpur dengan kemudahan silih-hubungan dengan LRT Laluan Kelana Jaya, MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, KLIA Ekspres dan ERL, KL Monorel, KTM Komuter serta perkhidmatan ETS.    

Tempat mengambil dan menurunkan penumpang di KLCC adalah di hab bas KLCC, yang terletak berdekatan dengan stesen LRT KLCC; manakala KLIA 2 akan memberi kemudahan kepada mereka yang berkunjung ke Sepang dengan menaiki pesawat tambang murah dari dalam dan luar negara.

Tiket-tiket bas berharga RM20 untuk perjalanan sehala dari KLCC atau KL Sentral dan sebaliknya; dan RM35 untuk perjalanan pergi balik. Untuk perjalanan dari KLIA2 pula, harga tambang adalah RM12.

Kekerapan bas adalah antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada keadaan trafik.

Untuk perjalanan daripada SIC, bas pertama akan meninggalkan kawasan litar pada 4 petang untuk ketiga-tiga hari. Waktu untuk bas terakhir, bagaimanapun, tidak sama dengan bas terakhir pada hari Jumaat ditetapkan pada pukul 7 malam.

Untuk hari Sabtu dan Ahad, bas terakhir dilewatkan kepada 10 malam bagi menyediakan kemudahan kepada para peminat yang ingin pulang lewat khususnya untuk menyaksikan konsert selepas perlumbaan pada hari Ahad.

Tiket-tiket bas boleh dibeli ketika mengambil perkhidmatan  berkenaan di lokasi-lokasi yang ditetapkan. Tiket-tiket juga boleh dibeli awal di stesen-stesen LRT Masjid Jamek, KLCC dan KL Sentral.

Selain aksi-aksi hebat di litar termasuk perlumbaan sokongan, para peminat turut berpeluang berseronok dengan pelbagai tarikan seperti jualan pelbagai merchandise F1 dan sukan pemotoran di samping acara-acara karnival dan sukan lasak, yang akan diadakan sepanjang tiga hari itu.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive