Monday, September 25

Prasarana dan SMRT menandatangani MoU untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) perkhidmatan, iaitu Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System Link (RTS Link OpCo).


KETUA Pegawai Eksekutif, Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif SMRT Corporation, Desmond Kwek (dua dari kanan), sambil diperhatikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (kanan) pada majlis MOU antara Pasarana Malaysia Berhad dan SMRT Corporation Ltd di Menara UOA Bangsar.

Kajian reka bentuk baharu jambatan bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang turut mengambil kira cadangan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, dijangka siap dalam tempoh sebulan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata penjajaran semula reka bentuk jambatan yang akan menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands, Singapura, dilakukan selepas beliau menghadap baginda, minggu lalu.

Katanya, selepas kajian reka bentuk baharu itu selesai, ia akan dibentangkan kepada pihak Singapura untuk dibincang dan diputuskan sebelum Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian RTS Link pada Disember depan.


"Saya menghadap Sultan Ibrahim minggu lalu dan memberi penjelasan sebenar memandangkan beberapa persepsi baginda berhubung RTS Link diperoleh daripada pihak ketiga.

"Pada masa sama, kami mengambil beberapa pandangan baginda, khususnya berhubung penjajaran reka bentuk jambatan. Secara umumnya, baginda setuju projek ini bernilai pada kedua-dua negara dan ia harus dilaksanakan secepat mungkin.

"Saya juga menyatakan komitmen kepada untuk memberi maklum balas dari masa ke masa secara terus kepada baginda," katanya ketika sidang media Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan SMRT Corporation Ltd (SMRT) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai maklum balas Sultan Ibrahim dalam pertemuannya dengan baginda susulan Sultan Johor tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk jambatan bagi projek RTS Link.

Dalam satu temu ramah eksklusif dengan BH dan New Straits Times (NST) bulan lalu, Sultan Ibrahim bertitah beliau menyambut baik projek RTS Link, namun tidak bersetuju dengan cadangan reka bentuk trek rel yang melengkung, selain jambatannya yang mungkin mencapai ketinggian 30 meter di bahagian tengahnya.

Abdul Rahman berkata, pihaknya masih belum dapat memuktamad kos pembinaan RTS Link yang diketuai Malaysia, kerana ia bergantung pada reka bentuk baharu yang akan diputuskan nanti. Sebelum ini, projek itu dianggarkan bernilai RM11 bilion.

Ditanya sama ada kos itu akan ditanggung secara 50:50, Abdul Rahman berkata kedua-dua negara setuju dan memahami bahawa satu pihak perlu menanggung lebih berbanding pihak lain, namun ia masih pada peringkat perbincangan.

Abdul Rahman berkata, selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian, tender terbuka akan dilaksanakan, sebelum pembinaan dijangka bermula pada 2019 dan selesai pada 2024.

Terdahulu, Prasarana dan SMRT menandatangani MoU untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) perkhidmatan, iaitu Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System Link (RTS Link OpCo).

RTS Link OpCo akan bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, membiaya, menjalankan operasi, mengekalkan dan memperbaharui aset RTS Link seperti tren, trek dan sistem.

Selain Abdul Rahman, yang turut hadir menyaksikan MoU itu ialah Pengerusi Prasarana, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengerusi SMRT, Seah Moon Ming.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai pilihan kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari. Apabila siap nanti, RTS mampu menampung pergerakan 10,000 pengguna setiap jam.

RTS Link juga akan bersambung dengan sistem aliran massa (MRT) Singapura laluan Thomson-Pantai Timur (TEL) yang akan dibina. Projek TEL dengan 31 stesen itu akan dibuka dalam beberapa fasa antara 2019 hingga 2024.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive