Rapid

Tuesday, October 24

SPAD IKTIRAF RAPID RAIL PEMACU INOVASI DALAM INDUSTRI REL URBAN


Dengan suntikan semangat daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD, Rapid Rail Sdn Bhd – anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan melipatkan ganda usaha dalam memperkasakan penginovasi untuk industri rel urban. 

Dalam menyatakan tekad ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato’ Ir Zohari Sulaiman berkata syarikat itu dengan giat mendokumentasikan segala hasil inovasi yang dicipta oleh staf dan kakitangan teknikalnya di samping terus menggalakkan budaya inovasi dalam kerja mereka.

“Bagi pihak Rapid Rail, saya mengucapkan terima kasih kepada SPAD atas pengiktirafan kepada kami pada majlis LPT Gala Dinner & Industri Award 2017 pada Ahad lepas. Sememangnya, kami di Rapid Rail amat menggalakkan budaya inovasi di kalangan staf bagi meningkatkan produktiviti dan memantapkan keselamatan serta keselesaan para penumpang.


“Mana-mana hasil inovasi yang layak dipatenkan dan yang berpotensi untuk dipasarkan untuk kegunaan industri akan kami ketengahkan untuk kemajuan menyeluruh industri rel urban negara. Budaya memperkasakan inovasi di Rapid Rail bukan sesuatu yang baru; tetapi telah bermula sejak kami mula beroperasi. Ada di kalangan inovasi yang dihasilkan kerana keperluan kerana kesukaran mendapatkan barang ganti termasuk ada yang sudah ‘obsolete’.

“Walaupun ketika Anugerah Inovasi Industri Rel 2017 daripada SPAD menyebut pada malam itu pengiktirafan untuk projek mencipta peralatan bagi menguji kipas dan sistem penyejukan Linear Induction Motor (LIM) untuk tren LRT Laluan Kelana Jaya, tetapi ia sebenarnya adalah pengiktirafan kepada seluruh inisiatif inovasi yang dilaksanakan oleh Rapid Rail,” kata Zohari.

Selain Anugerah Inovasi Industri Rel 2017, Rapid Rail turut menerima dua anugerah lain melalui dua stafnya – Encik Saravanan Subramaniam dari Laluan Monorel dan Cik Suryati Sukiman dari LRT Laluan Ampang, yang masing-masing menerima Anugerah Staf Cemerlang untuk Industri Rel.

Menurut Zohari, projek Peningkatan kipas LIM dikemukakan dalam kertas pencalonan untuk Anugerah berkenaan kerana syarat yang memerlukan semua pencalonan mengemukakan satu projek secara terperinci.

“Projek kipas LIM ini adalah antara projek-projek inovasi cemerlang daripada Rapid Rail dan telah memenangi pelbagai anugerah inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kami mempunyai banyak lagi projek inovasi; tetapi memilih projek ini, yang membolehkan Syarikat membuat penjimatan menyeluruh bernilai RM1,300,000 setahun,” katanya.

Sebelum inovasi ini dihasilkan, kipas LIM perlu diuji pada tren, yang memerlukan tren berkenaan bergerak di landasan, yang sekali gus bermakna, tren berkenaan tidak boleh digunakan untuk perkhidmatan sepanjang ujian berkenaan.

Kini, dengan penciptaan alat penguji oleh gandingan enam jurutera Muhammad Firdauss Ab Jalil, Muizzuddin Mohamad, Ahmad Mahazam Mat Zaid, Mohd Nazri Bin Ismail, Muhammad Nor Ahmad Shupi dan Fahkri Nor Ramli, sesi ujian ini boleh dijalankan tanpa menggunakan tren sebenar.

“Masa ujian turut dikurangkan daripada 3 jam kepada hanya 30 minit, di samping memberikan hasil yang berkualiti,” kata Zohari, sambil menambah bahawa tugas mendokumentasi dan memberi tenaga sokongan kepada inisiatif penginovasian ini diberikan kepada Akademi Rel.

Sementara Suryati menerima anugerah atas kecekapan beliau memberikan rawatan kecemasan untuk menyelamatkan seorang penumpang yang mendapat serangan jantung di stesen pada 22 Mei lepas, kebijaksanan Sarayanan pula diperakui kerana tindakan pantasnya semasa bertugas dengan MRT Bangkok.

Merasakan sesuatu yang tidak kena pada tren MRT yang diuji, Saravanan bertindak untuk  segera memberhentikan tren berkenaan, yang sekali gus menggelakkan tren berkenaan daripada terbabas kerana bahagian tayarnya mengalami kerosakan.

Anugerah-anugerah telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive