Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pengambilan Tanah di Kampung Genting, Shahril Ahmad berkata, surat yang ditulis Presiden AWLU, Barbara Hou itu telah dihantar kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan itu.
Shahril berkata, surat bertarikh 11 Julai itu menyatakan bahawa AWLU menolak pengambilan tanah tersebut atas dasar prihatin tentang kesulitan yang akan timbul kerana tanah itu adalah milik sah penduduk beserta geran.
Menurutnya, AWLU enggan berdepan dengan sebarang masalah pada masa hadapan namun berasa hairan dengan tindakan kerajaan negeri yang seolah-olah mengenepikan kepentingan penduduk negeri itu
“AWLU hendakkan tanah yang kosong daripada kerajaan negeri bukan tanah yang ada penduduk," katanya
Shahril berkata, rentetan daripada surat penolakan itu, pertemuan telah diadakan pada 22 Julai lalu dengan pemilik tanah di Pejabat Daerah Barat Daya untuk menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mencadangkan kepada AWLU supaya memilih tanah yang lain.
Guan Eng turut memberitahu penubuhan AWLU di Kampung Genting akan diubah di Pondok Upeh.
Terdahulu kerajaan negeri bercadang untuk membuat pengambilan tanah seluas 100 ekar di kawasan kampung Genting untuk dibangunkan IPTS.
Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, tindakan Guan Eng yang cuba menjadi hero dalam isu ini amat memalukan kerana dia bukanlah hero sebenar kepada penduduk Kampung Genting sebaliknya hanya memutar belitkan fakta apabila AWLU tidak bersetuju untuk membina universiti di kawasan tersebut.