Showing posts with label tabung haji. Show all posts
Showing posts with label tabung haji. Show all posts

Saturday, November 4

Tabung Haji nafi hubungi pendeposit, untuk laksana transaksi pindahan wang


Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Lembaga TH dalam satu kenyataan berkata peraturan pengeluaran atau pindahan wang juga tidak boleh dilaksanakan melalui panggilan telefon.

Sila klik PORTAL TABUNG HAJI UNTUK MAKLUMAT LANJUT.

"TH telah menerima aduan daripada pendeposit, terdapat sindiket yang menyamar sebagai  kakitangan TH telah menghubungi mereka dan memaklumkan berlaku transaksi pindahan wang dari akaun TH kepada pihak ketiga melalui sebuah bank komersial tempatan.

"Untuk melakukan pengesahan transaksi tersebut, pemanggil memaklumkan akan mengalih panggilan tersebut ke Balai Polis Kota Kinabalu, di mana pegawai balai akan mendapatkan maklumat akaun pendeposit," kata kenyataan itu Jumaat.

Justeru, TH menasihatkan para pendeposit agar tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon yang mendakwa sebagai kakitangan TH berhubung transaksi pemindahan wang.

Para pendeposit  juga dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak menuruti arahan pemanggil atau mendedahkan maklumat akaun mereka kepada orang tidak dikenali.

Pendeposit boleh menghubungi talian 03-62071919 untuk sebarang pertanyaan.

Tuesday, May 30

MAJLIS IKRAR BEBAS RASUAH @Tabung_Haji @AzeezPutera @NajibRazak


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menganjurkan Majlis Menandatangi Ikrar Bebas Rasuah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bertempat di bangunan TH, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Majlis yang diadakan ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Tabung Haji.

Majlis turut disertai oleh YBhg. Datuk Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan YBhg. Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji.

Penganjuran majlis ini menyatakan sokongan berterusan Tabung Haji dalam memerangi rasuah sejajar dengan amalan serta tadbir urus korporat yang terbaik.


Majlis turut dihadiri oleh Ahli-ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji, wakil daripada anak-anak syarikat Tabung Haji, pesuruhjaya-pesuruhjaya SPRM dan pengurusan kanan Tabung Haji.

Wednesday, January 27

BILA PAKAR KEWANGAN FACEBOOK BERBICARA........ @azeezputera @drasyrafwajdi

STRATEGI FITNAH MASA KINI SEBARKAN DOKUMEN DAN MENGHUKUM BERSANDARKAN MAKLUMAT SEPARUH MASAK

Saya dihubungi banyak pihak mengenai penyebaran surat Bank Negara kepada Menteri dan Pengerusi Tabung Haji mengenai pendekatan Tabung Haji memberikan bonus dan dividen yang tinggi sepanjang 2012-2014 hingga menyebabkan kejatuhan nilai rizab Tabung Haji. Hanya bersandarkan surat ini, maka ramai telah menjatuhkan hukuman dan mencetuskan polemik fitnah seolah-olah KONONNYA Tabung Haji mengalami kerugian, dividen tidak mampu dibayar, pengurusan kewangan Tabung Haji lemah hinggalah kepada serangan-serangan peribadi bersifat ghibah dan fitnah terhadap beberapa individu pengurusan tertinggi Tabung Haji.

Saya tidak berhasrat untuk buat penjelasan satu persatu tuduhan yang dilemparkan kepada Tabung Haji kerana pihak Tabung Haji telahpun diarahkan untuk mengeluarkan kenyataan penjelasan terperinci mengenai isu yang dibangkitkan pada hari ini.

Walaubagaimanapun, nasihat saya kepada 'pakar-pakar kewangan segera' Facebook dan media2 sosial lain, eloklah ambil kira beberapa point dan garis panduan berikut sebelum buat ulasan mahupun komentar berbaur fitnah berasaskan surat Bank Negara Malaysia yang difahami diluar konteks dan sewenangnya disebarkan:

1. Kena faham apa maksud rizab? Apa beza rizab dan fungsinya bagi sebuah institusi kewangan seperti bank dengan institusi pelaburan seperti Tabung Haji. Kesannya juga berbeza.

2. Kena faham model perniagaan (business model) sebuah bank dengan model perniagaan Tabung Haji. Bank buat duit dengan bagi pinjaman dengan menggunakan modal daripada wang2 para pendeposit, sedangkan Tabung Haji menjana keuntungan melalui pelbagai bentuk pelaburan termasuk dalam bidang hartanah, pasaran saham, dan pemilikan syarikat dan subsidiary yang menjalankan pelbagai perniagaan termasuk Bank Islam.

3. Kena faham beza struktur Balance Sheet sebuah Bank dengan Balance Sheet Tabung Haji. Ini termasuklah komponen aset dan liabiliti dalam Balance Sheet sebuah bank dengan komponen aset dan liabiliti Balance Sheet Tabung Haji.

4. Memahami struktur Balance Sheet Tabung Haji dan bezanya dengan sebuah bank akan membantu kita memahami apa bentuk risiko yang dihadapi oleh bank berbanding Tabung Haji yang menjadi kebimbangan Bank Negara.

5. Harus juga tahu bahawa Tabung Haji tidak dikawal selia Bank Negara. Namun keprihatinan Bank Negara ada asasnya jika Tabung Haji rugi hingga terpaksa guna wang negara untuk tanggung kerugian Tabung Haji jika ia berlaku, waiyyazubillah. Walaubagaimanapun, persoalannya apakah benar Tabung Haji rugi?

6. Kena membaca dokumen kewangan atau Balance Sheet dan Profit/loss Statement Tabung Haji secara keseluruhannya bukan bergantung kepada satu bahagian sahaja seperti bahagian liabiliti dan rizab.

7. Mesti memahami peraturan-peraturan perakaunan antarabangsa yang baru sebagaimana dikehendaki dalam IFRS (International Financial Reporting Standard) terutamanya aspek penilaian rizab, aset dan liabiliti yang digunakan.

Semua garis panduan diatas perlu diambil kira sebelum kita buat ulasan yang akhirnya menyebabkan kita begitu mudah menjatuhkan hukum bahkan sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah dan tohmah tanpa rasa sedikitpun khuatir akan dosa jariah dan muflis akhirat yang diamarankan Junjungan Nabi Muhammad SAW.


STRATEGI FITNAH MASA KINI SEBARKAN DOKUMEN DAN MENGHUKUM BERSANDARKAN MAKLUMAT SEPARUH MASAKSaya dihubungi banyak...
Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on 25hb Januari 2016

Sunday, September 13

AL-FATIHAH JENAZAH JEMAAH INSIDEN KREN TUMBANG DITEMUI


Alhamdulillah hari ini lima (5) lagi jemaah haji yang dirawat di Pusat Rawatan TH telah dibenarkan pulang ke penginapan masing-masing. Manakala lima (5) lagi jemaah Haji – tiga di hospital Arab Saudi dan dua di Pusat Rawatan TH dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan masing-masing.

InsyaAllah kesemua sepuluh jemaah haji ini akan dapat menjalani ibadah haji mereka dan berwuquf di Arafah pada 22 September 2015 dibawah pemantauan pasukan perubatan.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari pertama Lembaga Tabung Haji (TH) dibenarkan untuk membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 gambar yang dipaparkan.


Pasukan Perubatan TH telah dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk proses pengecaman pada jam 10.30 pagi  (waktu Saudi) atau 3.30 petang waktu Malaysia. Proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod  kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah dan ujian DNA, sekiranya perlu.

Hari ini satu jenazah Jemaah Haji Malaysia telah dikenalpasti iaitu  Allahyarhamah Rusiah Suar, 56 tahun dari Sungkai, Perak.

Saya bagi pihak YAB Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan TH ingin mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarhamah. Kami semua amat berdukacita dan bersimpati dengan ahli keluarga waris, serta menasihati mereka untuk bersabar dan tabah dengan dugaan ini.

Marilah kita bersama-sama mendoakan roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Pada masa yang sama kami berharap waris-waris yang lain akan terus bersabar dan berdoa kerana TH akan terus berusaha sedaya upaya untuk terus mencari mangsa-mangsa di hospital-hospital berdekatan serta memastikan segala proses-proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin. TH akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

TH ingin menasihati kepada semua jemaah haji Malaysia di Tanah Suci untuk turut bertenang dan bersabar. Terus menumpukan perhatian kepada ibadah bagi menghadapi hari wuquf serta menjaga kesihatan dan keselamatan.

TH juga ingin mengingatkan para Jemaah untuk memakai segala pengenalan diri yang diberi sepanjang masa. Ini adalah bagi memastikan keselamatan para Jemaah.

Saya dan YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez akan berangkat ke Tanah Suci esok bagi melihat sendiri keadaan di sana serta membantu memastikan usaha-usaha mencari para jemaah yang hilang selesai secepat mungkin.

LEMBAGA TABUNG HAJI

Saturday, September 12

RAKYAT MALAYSIA CUMA CEDERA #PrayForMakkah


DS Jamil Khir juga menasihati rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak memburukkan lagi keadaan dengan menyebarkan berita yang tidak sahih.Dapatkan berita dari sumbaer yang sahih dan sah.

Insiden Kren tumbang di Masjidil Haram berlaku pada hari Jumaat, jam 5.00 petang waktu Saudi, 11 September 2015.


Bermula dengan ribut pasir dan hujan lebat. Kren yang tumbang berhampiran pintu As Salam bersebelahan bangunan Sa’ie. Kren yang tumbang telah menimpa Bangunan Sa’ie tersebut dan sebahagian daripada rangkanya telah jatuh di bangunan Sa’ei  berdekatan  dengan mataf.


Pasukan mencari dan menyelamat TH seramai 30 orang yang terdiri daripada Pasukan Perubatan, Kebajikan dan Peronda dikerahkan ke tempat kejadian sebaik sahaja berita diterima daripada pasukan peronda bertugas di dalam Masjidil Haram.

Hasil operasi tersebut telah mengenal pasti seramai 10 Jemaah haji Malaysia terlibat dalam kemalangan.

Pasukan mencari dan menyelamat TH telah memberi bantuan kepada para Jemaah Haji dan juga memberi rawatan di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Pasukan ini masih memantau situasi dan mengenal pasti jumlah sebenar Jemaah Haji Malaysia yang terlibat.

Pasukan Perubatan TH juga telah pergi kesemua Hospital Arab Saudi bagi mengenal pasti sekiranya terdapat Jemaah Haji Malaysia yang terlibat dihantar ke Hospital Arab Saudi untuk rawatan.

Operasi mencari dan menyelamat ini selesai pada jam 11.45 malam apabila semua kawasan di dalam dan sekitar masjid diperiksa dengan rapi.

Seramai 3 Jemaah Haji Malaysia kini di rawat Hospital Arab Saudi; 6 di Pusat Rawatan TH dan 1 telah dibenarkan pulang ke bilik penginapan.

Kesemua Jemaah Haji yang terlibat dengan kemalangan ini dilaporkan stabil.

Pada masa yang sama Pengurusan Maktab telah membuat semakan dari bilik ke bilik pada jam 10.00 malam bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia selamat.

Pada jam 4.00 pagi waktu Saudi 12 September 2015 didapati 6 orang jemaah haji masih belum dapat di kesan iaitu 2 lelaki dan 4 perempuan.

TH sedang bekerjasama dengan pihak Muasassah Asia Tenggara bagi mencari jemaah haji tersebut.  Operasi ini diteruskan sehingga Jemaah tersebut ditemui/dikenal pasti.

Pada masa kini mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, seramai 107 kematian dan 238 kecederaan.

Marilah kita bersama-sama berdoa dan mohon ke hadrat Illahi akan keselamatan semua Jemaah, khususnya Jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Saturday, May 9

SINDIRAN PEDAS @azeezputera PADA PEMUDA UMNO @Khairykj @azwanbro


Konsep simpanan di TABUNG HAJI adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah. Ia merupakan kontrak simpanan yang dibuat di antara pemilik (pendeposit) barang (wang) di mana pendeposit menyimpan wangnya dan TABUNG HAJI sebagai penjaga (custodian) bersetuju untuk menjaga wang tersebut. 

Sebagaimana yang telah termeterai di dalam aqad di antara pendeposit dan TABUNG HAJI, pendeposit telah memberi keizinan kepada TABUNG HAJI untuk menguruskan wang mereka bagi apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Syariah. 

Sebagai kesan daripada kebenaran yang diberikan, TABUNG HAJI akan menjamin nilai pokok wang yang diletakkan di bawah jagaannya.


Lembaga Tabung Haji (TH) perlu membuat pelaburan supaya hasilnya boleh menampung kos haji yang meningkat setiap tahun.

Contohnya kos mengerjakan haji pada tahun ini ialah sebanyak RM17,270 seorang tetapi TH hanya mengenakan bayaran sebanyak RM9,980 sahaja.

"Perbezaannya adalah RM7,290 dan TH memerlukan peruntukan minimum sebanyak RM120 juta untuk disubsidi kepada jemaah haji.

"Bagaimana TH mampu memberi subsidi jika TH tidak melabur, andai kata TH menaikkan RM3,000 lagi mesti orang marah," kata Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada sidang akhbar bagi menjelaskan pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad.

Tanah yang dibeli oleh TH pada harga RM188.5 juta itu dirancang untuk dibangunkan kediaman.

Tambahnya, pasaran nilai bagi harga kelapa sawit dan getah jatuh dan hartanah merupakan antara aset yang memberi pulangan baik, justeru tidak salah jika hartanah menjadi tumpuan pelaburan TH.

Beliau mengaku terkilan kerana isu pembelian tanah itu diperbesar-besaran sehingga kebaikan dan sumbangan TH selama ini tidak dihargai.

Katanya, TH sentiasa memperbaiki pengagihan dividen daripada 4.7 peratus dinaikan kepada 5 peratus, 5.5 peratus dan pada tahun kewangan 2013 dan 2014, pendeposit masing-masing menerima agihan sebanyak 8 peratus dan 8.25 peratus.

Untuk membayar agihan kepada 8 juta pendeposit, TH perlu mencatatkan keuntungan sebnayak RM3.248 bilion.

"Bayangkanlah kalau TH tidak berniaga macam mana kami mahu bayar agihan dan menampung kos haji?," tambahnya.

Thursday, May 7

NAK FITNAH @Tabung_Haji BLOGGER BIARLAH CERDIK SIKIT @azeezputera


Sejak malam semalam tersebar di media sosial mendakwa Tabung Haji membeli dua bidang hartanah di kawasan Segitiga Emas KL dari 1MDB untuk menyelamatkan 1MDB. Satu bidang hartanah untuk Residential Tower yang bernilai RM 188.5 juta dan satu bidang untuk Signature Tower yang bernilai RM 577 juta.

Itu adalah satu laporan yang tidak benar yang cuba membakar sentimen pendeposit-pendeposit TH.
Dakwaaan tersebut tidak benar 100 %.

Tanah tersebut tidak dibeli oleh Tabung Haji (TH). Ianya dibeli oleh Tabung Haji Properties (THP). Sebuah anak syarikat TH yang beroperasi dalam bidang hartanah. Di sini orang ramai perlu faham perbezaan antara TH dengan THP. Bidang THP adalah beli tanah, jual tanah, bina bangunan, beli bangunan dan jual bangunan. Pernahkah anda dengar pendeposit-pendeposit pergi menyimpan duit di THP ? Pernahkah anda dengar THP yang menguruskan jemaah-jemaah haji ke Tanah Suci ?

THP tidak membeli kedua-dua bidang tanah seperti yang didakwa. THP hanya membeli SEBIDANG SAHAJA untuk pembangunan Residential Tower dengan harga RM 188.5 juta. Pembelian itu dibuat setelah THP membuat kajian dengan teliti merangkumi pelbagai aspek. Selain daripada untung rugi sebarang aspek bisnes melibatkan THP antara yang utama diambil kira adalah urusniaga yang dijalankan adalah mestilah mengikut syarak.

Kenapa THP membeli tanah 1MDB ?

Perniagaan melibatkan hartanah adalah perniagaan teras THP. Apabila ada peluang yang baik untuk mendapat untung maka sudah tentulah peluang harus diambil.

Tanah yang ditawarkan berada di kawasan Segitiga Emas yang mana ianya tanah yang bernilai tinggi dan peluang mendapat untung yang lumayan. Pelabur-pelabur lain daripada dalam dan luar negara berebut-rebut membeli tanah di kawasan berkenaan dengan harga yang lebih tinggi kerana potensi pulangan yang lumayan. Salahkah jika sebuah agensi umat islam membeli tanah dikawasan yang menjadi rebutan pelabur ?

Tambahan pula THP ditawarkan dengan harga yang lebih rendah. THP telah melantik sebuah penilai bebas untuk menilai pasaran di kawasan berkenaan. Kajian yang dijalankan mendapati apabila siap kelak nilai bangunan itu RM 828 juta. Manakala modal yang THP keluarkan untuk pembelian tanah (RM 188.5j) dan modal pembinaan bangunan (RM 456j), dimana kos keseluruhannya RM 644.5j. THP akan mendapat untung RM 183.5j dalam masa 3 tahun.

Dimana dengan wang keuntungan RM 183.5j , ianya boleh menanggung seramai 25’171 orang subsidi jemaah haji.

Disini umat islam perlu faham, setiap tahun kos menunaikan haji semakin meningkat. Di Malaysia jemaah kali pertama hanya perlu membayar RM 9980.00 untuk menunaikan haji. Sedangkan kos sebenar untuk menunaikan haji sekarang adalah RM 17’270.00 seorang. TH perlu menanggung subsidi sebanyak RM 7290 seorang jemaah. Bayangkan sebanyak 40 ribu jemaah yang perlu ditanggung. Kosnya mencecah 300 juta setahun. Itu belum diambil kira lagi kos petugas, pembimbing haji, kesihatan dan sebagainya. Subsidi hanya untuk menanggung penginapan dan pengangkutan sahaja.

Atas dasar itulah anak-anak syarikat TH termasuklah THP perlu agresif mencari peluang-peluang perniagaan yang menguntungkan. Kerana setiap tahun setiap anak syarikat akan membayar dividen kepada syarikat induk iaitu TH. Wang itu yang digunakan untuk menanggung subsidi haji serta membayar dividen yang mencecah 8 % setahun kepada penyimpan.

Jika tidak ada perniagaan bagaimana mahu membuat untung. Jika tidak membuat untung bagaimana mahu menolong umat-umat islam di Malaysia menunaikan haji ? Bagaimana mahu membayar dividen kepada penyimpan ?

Jika THP menolak tawaran yang ditawarkan 1MDB mereka telah terlepas satu peluang perniagaan yang menguntungkan. Perlu diingat bukan senang untuk anak-anak syarikat TH mencari perniagaan. Kerana mereka terikat dengan syarak. Setiap sen yang dilaburkan mereka perlu tahu halal haram kerana wang itu akan digunakan untuk jemaah haji.

Ada dakwaan yang mengatakan 1MDB mendapat tanah tersebut dengan harga yang lebih murah dan dijual kepada THP dengan harga yang lebih mahal. Untuk pengetahuan, dalam perniagaan hartanah atau perniagaan apa-apa sekalipun, kita tidak boleh mengambil kira berapa modal penjual. Kita perlu tahu berapa modal kita dan berapa kita akan dapat untung. Jika kita rasa menguntungkan kita maka kita boleh beli.

Bagaimana pula dengan anak orang kampung yang mendapat tanah percuma daripada bapa mereka kemudian hendak dijual dengan harga yang mahal ? Bolehkah kita pertikaikan ? Dalam hal ini THP telah melantik penilai untuk menilai tanah tersebut sebelum membelinya. Tanah yang dijual 1MDB telah ditukar status dan siap dengan infrasuktur. THP hanya beli dan boleh terus bina bangunan.

Kesimpulannya dalam kes ini tidak ada apa-apa isu . THP tidak menyelamatkan mana-mana syarikat (bailout). THP hanya membeli aset dimana untuk mereka mendapat untung dan akhirnya untung itu akan dinikmati oleh bakal jemaah-jemaah haji serta pendeposit.

Isu ini sengaja dipolitikkan untuk tujuan politik. Semoga Allah membuka pintu hati mereka.

Monday, September 22

TABUNG HAJI BAKAL SAMAN PEMBAWA FITNAH...... @azeezputera


Sejak dua hari lepas ada mamat sengal yang kurang cerdik mengherdik pihak Tabung Haji membuat pelaburan haram hartanah di Detroit, Amerika Syarikat. Penfitnah tersebut telah membua satu fenomena didalam media sosial. Pada mulanya ramai yang telah menganggap mamat nie adalah hero yang hebat kerana telah membongkar penyelewengan wang haram untuk kegunaan peribadi. 
Isu ini didedahkan oleh juru blog Outsyed The Box semalam dengan mendakwa Tabung Haji bakal menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat pelaburan rumahan bagi pembangunan hartanah di Detroit, Amerika Syarikat. 
Cadangan pelaburan dalam bidang hartanah sehingga berjumlah beratus juta ini sangat misteri kerana nilai hartanah di Detroit jatuh dengan begitu mendadak sehinggak terdapat rumah di jual antara USD 1,000 sahaja.
Tapi sayangnya artikel fitnah ini hanyalah seketika dan pada saat ini telah dipadam. Mungkin mamat nie telah mengetahui bahawa pihak Tabung Haji bakal menyaman beliau. Semalam MKP telah menghubungi sendiri pihak yang mempunyai kaitan rapat dengan Tabung Haji.Pihak Tabung Haji bakal menyaman pembawa fitnah ini.

Kena ingat!!! Nak buat kerja POW-POW pun bukan dengan Tabung Haji, Tabung Haji adalah satu indentiti yang banyak membantu Umat Islam di Malaysia mengerjakan Haji serta UMRAH. Pihak Tabung Haji bukan mudah membuat pelaburan sebegini kerana wang yang dimiliki adalah dari Rakyat Marhaen.

TABUNG HAJI MENAFIKAN PELABURAN DI AMERIKA SYARIKAT

KUALA LUMPUR, Isnin, 22 September 2014: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini
menyatakan rasa kesal atas kenyataan berbentuk spekulasi mengenai pelaburan TH di
Amerika Syarikat baru-baru ini. TH sehingga kini tidak membuat sebarang komitmen
pelaburan di Detroit atau mana-mana bandar lain di Amerika Syarikat.

Tidak ada sebarang transaksi atau pembayaran telah dibuat bagi tujuan pelaburan di
Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, orang ramai sewajarnya tidak mempercayai
sumber-sumber tidak rasmi yang hanya berbentuk spekulasi yang tidak mencerminkan
keadaan sebenar.

Untuk makluman, TH setakat ini telah membuat pelaburan di Arab Saudi, United
Kingdom, Australia dan negara-negara Asia untuk mempelbagaikan pelaburannya.

Berikutan pulangan yang memberangsangkan daripada pelaburan di negara-negara
tersebut, TH akan terus mencari peluang pelaburan yang serupa di negara-negara lain
berdasarkan kepada rangka kerja Strategi Alokasi Asetnya. Pelaburan luar negara,
sebagaimana pelaburan domestik, adalah tertakluk kepada proses kelulusan
pelaburan yang ketat.

TH sentiasa menekankan kepentingan Ummah dan para pendeposit dalam semua
aktiviti-aktiviti pelaburannya.

Friday, June 6

TABUNG HAJI Debit-i-Mastercard APA YANG PERLU ANDA TAHU... @Azeezputera



Tabung Haji Debit-i MasterCard adalah kad debit Islamik patuh Shariah. Tabung Haji Debit-i MasterCard berfungsi sama seperti tunai atau cek peribadi tetapi dalam bentuk kad.

Tidak seperti kad kredit yang bersifat "bayar kemudian"; Tabung Haji Debit-i MasterCard adalah cara "bayar sekarang" tanpa menggunakan tunai ditangan. Apabila menggunakan Tabung Haji Debit-i MasterCard, wang Pemegang Kad secara automatik ditolak daripada Akaun Tabung Haji.

MANFAAT KAD

1. KEMUDAHAN AKSES KEPADA AKAUN SIMPANAN TABUNG HAJI

2. RANGKAIAN TERIMAAN KAD YANG LUAS di lebih 38 juta lokasi premis perniagaan yang       menerima MasterCard di seluruh dunia

3. KEMUDAHAN PEMBAYARAN DEBIT TERUS daripada Akaun Simpanan Tabung Haji

4. KEMUDAHAN PENGELUARAN TUNAI di lebih 2.5 juta ATM di seluruh dunia

5. KEMUDAHAN TRANSAKSI PEMBELIAN DAN PENGELUARAN TUNAI ketika Haji dan       Umrah

6. CIRI KESELAMATAN DENGAN "CIP KESELAMATAN PINTAR"
    HAD PERBELANJAAN HARIAN




KAD DEBIT-i INI BOLEH DIGUNAKAN BAGI TRANSAKSI BERIKUT

1. Melakukan urusan bayaran secara debit daripada Akaun Simpanan Tabung Haji

2. Pengeluaran Tunai di dalam dan luar negara • ATM yang mempamerkan logo MasterCard dan Cirrus

3. Melakukan pembelian runcit di lebih 38 juta lokasi premis perniagaan yang menerima MasterCard di seluruh dunia

4. Melakukan pembayaran bil dan pembelian melalui internet

MAKLUMAT AM

1. Tabung Haji Debit-i MasterCard adalah berasaskan tandatangan di mana untuk pembelian runcit di premis saudagar (merchant), pelanggan tidak perlu memasukkan nombor PIN untuk pengesahan transaksi.

2. Sebaik menerima Tabung Haji Debit-i MasterCard di kaunter Pejabat cawangan Tabung Haji, kad tersebut aktif dan boleh digunakan. Pemegang Kad walau bagaimanapun hendaklah membuat penukaran nombor PIN yang diterima melalui kiriman pos (PIN mailer) dengan SEGERA di mesin ATM Bank Rakyat. Sekiranya penukaran PIN tidak dilakukan, Pemegang Kad tidak boleh melakukan pengeluaran tunai menggunakan Tabung Haji Debit-i MasterCard.

3. Pemegang Kad adalah bertanggungjawab untuk mematuhi terma dan syarat bagi penggunaan Tabung Haji Debit-i MasterCard.

4. Pemegang Kad hendaklah bertanggungjawab atas penggunaan Tabung Haji Debit-i MasterCard termasuk tidak menggunakannya untuk aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang. Transaksi di premis saudagar (merchant) yang tidak halal seperti kedai jualan minuman keras, pusat urut, pusat-pusat perjudian seperti kasino dan pertaruhan.

5. Tabung Haji dan pihak pengeluar kad iaitu Bank Rakyat tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kerugian yang ditanggung akibat kecuaian Pemegang Kad.

6. Tabung Haji dan pihak pengeluar kad iaitu Bank Rakyat tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami oleh Pemegang Kad akibat daripada perbuatan atau kesilapan mana-mana saudagar (merchant) yang sah atau MasterCard International. Pemegang Kad boleh mengemukakan sebarang tuntutan atau pertikaian secara terus dengan saudagar (merchant).

7. Tabung Haji dan /atau pihak pengeluar kad iaitu Bank Rakyat mengikut budi bicara mutlaknya dengan memberi notis terlebih dahulu atau atas sebab berhak:
• Menyekat atau mengehadkan perbelanjaan harian Pemegang Kad atau menahan akaun Pemegang Kad 
• Menyemak akaun pemohon untuk permohonan mendapatkan kad dan akaun Pemegang Kad pada bila-bila masa yang dianggap perlu 
• Tabung Haji dan pihak pengeluar kad berhak untuk menamatkan kemudahan kad sekiranya Pemegang Kad gagal mematuhi terma dan syarat berhubung penggunaan Tabung Haji Debit-i MasterCard
8. Semua transaksi yang dilakukan di luar Malaysia adalah tertakluk kepada tukaran wang semasa yang ditetapkan oleh MasterCard International termasuk 1.25% caj administrasi pada tarikh urusniaga dilakukan dan kemudiannya akan ditukarkan secara lani kepada Ringgit Malaysia pada tarikh urusniaga dimasukkan ke dalam akaun. Semasa proses urusniaga dimasukkan ke dalam akaun Pemegang Kad, nilai caj administrasi akan dilepaskan dan nilai sebenar transaksi berdasarkan kadar pertukaran semasa pada tarikh kemasukan akan didebitkan daripada akaun Pemegang Kad.

9. Pemegang Kad boleh membuat pertikaian transaksi sekiranya transaksi yang dibuat gagal diproses. Borang Aduan boleh didapati di mana-mana pejabat cawangan Tabung Haji. Amaun akan dikembalikan kepada Pemegang Kad dalam masa tidak lebih dari 30 hari bekerja dari tarikh transaksi dibuat. Pemegang Kad dinasihatkan untuk mengemukakan bukti transaksi gagal diproses kepada pihak Bank seperti Deraf Jualan, pengesahan transaksi internet, slip langganan dan sebagainya bagi mempercepatkan proses.

10. Pemegang Kad juga boleh memohon agar transaksi berulang ditolak semula dari akaun Tabung Haji Debit-i MasterCard Pemegang Kad dengan mengisi borang aduan yang boleh didapati di mana-mana pejabat cawangan Tabung Haji terdekat. Borang aduan tersebut akan diproses untuk penyiasatan.

11. Tempoh sah Tabung Haji Debit-i MasterCard ialah selama satu (1) tahun.

12. Pemegang Kad perlu mengunjungi mana-mana pejabat cawangan Tabung Haji untuk menutup atau membatalkan kad.

CAJ PRA-GUNA

Transaksi yang dilakukan di tempat berikut akan dikenakan caj melebihi amaun sebenar bagi tujuan kelulusan sahaja. Amaun sebenar akan dicaj ke akaun Pemegang Kad sebaik sahaja transaksi dibilkan.


FI DAN CAJ

Yuran yang dikenakan adalah oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia:


KELAYAKAN / SYARAT PERMOHONAN

Permohonan Tabung Haji Debit-i MasterCard boleh dibuat di mana-mana kaunter pejabat cawangan Tabung Haji di seluruh negara. Kelayakan adalah seperti di bawah:

1. Berumur 18 tahun dan ke atas

2. Mempunyai Akaun Tabung Haji

3. Deposit minima sebanyak RM200 di dalam akaun semasa permohonan Tabung Haji Debit-i MasterCard

4. Dokumen yang diperlukan:Dokumen yang diperlukan:
• Borang permohonan yang lengkap dan ditandatangani 
• Kad pengenalan
Tabung Haji Debit-i MasterCard boleh diambil di Pejabat cawangan Tabung Haji sebaik sahaja pemohon menerima kiriman pos PIN (pin mailer) ke alamat yang dinyatakan dalam borang permohonan.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Tabung Haji Debit-i MasterCard sila hubungi 03-6207 1919 (8:00 pagi - 9:00 malam / Isnin – Jumaat)

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive