Sunday, September 13

AL-FATIHAH JENAZAH JEMAAH INSIDEN KREN TUMBANG DITEMUI


Alhamdulillah hari ini lima (5) lagi jemaah haji yang dirawat di Pusat Rawatan TH telah dibenarkan pulang ke penginapan masing-masing. Manakala lima (5) lagi jemaah Haji – tiga di hospital Arab Saudi dan dua di Pusat Rawatan TH dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan masing-masing.

InsyaAllah kesemua sepuluh jemaah haji ini akan dapat menjalani ibadah haji mereka dan berwuquf di Arafah pada 22 September 2015 dibawah pemantauan pasukan perubatan.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari pertama Lembaga Tabung Haji (TH) dibenarkan untuk membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 gambar yang dipaparkan.


Pasukan Perubatan TH telah dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk proses pengecaman pada jam 10.30 pagi  (waktu Saudi) atau 3.30 petang waktu Malaysia. Proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod  kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah dan ujian DNA, sekiranya perlu.

Hari ini satu jenazah Jemaah Haji Malaysia telah dikenalpasti iaitu  Allahyarhamah Rusiah Suar, 56 tahun dari Sungkai, Perak.

Saya bagi pihak YAB Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan TH ingin mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarhamah. Kami semua amat berdukacita dan bersimpati dengan ahli keluarga waris, serta menasihati mereka untuk bersabar dan tabah dengan dugaan ini.

Marilah kita bersama-sama mendoakan roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Pada masa yang sama kami berharap waris-waris yang lain akan terus bersabar dan berdoa kerana TH akan terus berusaha sedaya upaya untuk terus mencari mangsa-mangsa di hospital-hospital berdekatan serta memastikan segala proses-proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin. TH akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

TH ingin menasihati kepada semua jemaah haji Malaysia di Tanah Suci untuk turut bertenang dan bersabar. Terus menumpukan perhatian kepada ibadah bagi menghadapi hari wuquf serta menjaga kesihatan dan keselamatan.

TH juga ingin mengingatkan para Jemaah untuk memakai segala pengenalan diri yang diberi sepanjang masa. Ini adalah bagi memastikan keselamatan para Jemaah.

Saya dan YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez akan berangkat ke Tanah Suci esok bagi melihat sendiri keadaan di sana serta membantu memastikan usaha-usaha mencari para jemaah yang hilang selesai secepat mungkin.

LEMBAGA TABUNG HAJI

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive