Tuesday, September 22

CABARAN MENANTI PETUGAS #MakkahMetro @NajibRazak @azmiaziz60 #ProudtoBeMalaysian


Memasuki operasi hari kedua pada 8 Zulhijjah hari ini, cabaran yang menanti para petugas Al Mashaaer Al Muggaddasah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Tanah Suci Makkah dijangka jauh lebih mencabar daripada semalam.

Biarpun bermula dengan pergerakan normal untuk berhenti di semua stesen sehingga 7 malam (waktu Arab Saudi), ada di kalangan para jemaah yang dijangka bergerak ke stesen Arafah 1, 2 dan 3 untuk sampai awal bagi ibadat Wukuf di Padang Arafah.


“Berdasarkan pengalaman lepas, peningkatan jumlah jemaah ke Arafah akan berlaku secara berperingkat. Jumlah besar jemaah akan datang ke Arafah selepas kami memulakan Pergerakan B,” kata Pengarah Operasi MMMSL, Muhammad Burhanordin Ismail.

Sementara Pergerakan A melihat tren berhenti di semua stesen, Pergerakan B, yang bermula 8 malam ini (waktu Arab Saudi) sehingga 10 pagi keesokan hari (9 Zulhijjah), akan menyaksikan tren berhenti untuk mengambil penumpang di Mina 1, Mina 2 dan Muzdalifah 3 dan menurunkan mereka di stesen-stesen Arafah 1, Arafah 2 dan Arafah 3.

“Kita akan melihat sesuatu yang jauh berbeza dengan pergerakan penumpang pada hari pertama semalam. Hari pertama lebih merupakan perkhidmatan pengenalan dan lebih digunakan untuk mobilisasi para petugas di stesen-stesen.

“Apapun, semua para petugas sudah bersedia untuk melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin. Mereka sudah diberikan latihan secukupnya untuk tugasan masing-masing,” tambah Burhanordin.

Secara keseluruhan, perkhidmatan MMMSL menggunakan lebih 7,000 petugas dalam pelbagai kategori untuk melaksanakan operasi rel yang dianggap paling mencabar dalam industri ini kerana pergerakan yang padat dalam tempoh yang singkat.

Menghubungkan tiga lokasi wajib Haji – Arafah, Muzdalifah dan Mina, perkhidmatan rel MMMSL beroperasi hanya tujuh hari dalam setahun khusus untuk urusan pengangkutan awam di musim haji.

Umat Islam di seluruh bandar suci Makkah akan berhimpun di Padang Arafah esok (9 Zulhijjah) bagi menyempurnakan salah satu daripada rukun haji sebelum bergerak ke Muzdalifah pada hari yang sama.

Ketua Stesen Arafat 1, Muhammad Fauzi Abdul Manap berkata para jemaah dijangka mula masuk ke Arafah selepas solat Asar hari ini (kira-kira pukul 4 petang waktu Arab Saudi)

Sementara menunggu banjiran jemaah itu, Fauzi berkata, para petugas menggunakan peluang untuk membuat persiapan terakhir termasuk memberikan taklimat kepada para petugas tentang tugas-tugas mereka dan cara-cara menangani para jemaah.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive