Malang sungguh nasib Suraini Abdullah,10.
Sudah tiga tahun dia belajar di sebuah sekolah rendah di sini namun tiba-tiba pada penghujung sesi persekolahan tahun lalu, kanak-kanak malang itu tiba-tiba dihalang ke sekolah. Malah Suraini diarah pulangkan semula semua buku teks.
Alasannya, maklumat peribadi Suraini tidak lengkap dan dia juga tidak memiliki surat beranak.
“Tindakan itu sangat mengejutkan kerana anak saya sudah tiga tahun bersekolah di sekolah itu, tiba-tiba saja dia ditegah bersekolah,” kata ibu angkat Suraini, Zaleha Sudin, 46.
Menurutnya, pihak sekolah meminta dia mengemukakan dokumen hak penjagaan yang sah daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai syarat untuk Suraini dibenarkan bersekolah semula.
“Saya pergi ke sekolah dan berasa amat terkejut apabila diberitahu, anak saya tidak dibenarkan ke sekolah sehinggalah saya dapat kemukakan dokumen penjagaan daripada JPN.
“Masalahnya, arahan itu datang secara tiba-tiba dan anak saya terus dilarang ke sekolah. Sedangkan untuk mendapatkan dokumen penjagaan daripada JPN, prosesnya memakan masa antara sebulan hingga enam bulan,” katanya.
Zaleha berkata, dia dapat merasai bagaimana kejadian itu benar-benar memberi tekanan kepada anaknya. “Saya sendiri dapat rasa tekanan yang dihadapi, dan bagi seorang kanak-kanak, dia tentu lebih terasa lagi. Saya sangat bimbang jika insiden ini menjejaskan keyakinan dirinya terutama untuk berhadapan dengan rakan-rakan,” katanya.
Menurut Zaleha, selama ini iaitu selepas mendapat hak penjagaan terhadap Suraini sehingga kanak-kanak itu berumur 18 tahun yang diberikan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 14 November 2002, dia dan suaminya, Md Saad Kasim, 52, tidak tahu bahawa mereka masih perlu mendapatkan dokumen daripada JPN.
“Kami ingatkan keputusan mahkamah sudah cukup untuk kami disahkan sebagai penjaga Suraini, tak tahu kena minta dokumen daripada JPN pula,” katanya.
Malangnya kata Zaleha, anaknya terus tidak dibenarkan ke sekolah sedangkan proses untuk mendapatkan dokumen itu agak lama.
Pada 23 November 2010, Zaleha ke JPN Bandar Perda dekat sini untuk memohon dokumen hak penjagaan ke atas Suraini.
“Apabila diberitahu tempohnya agak lama, saya bimbang pelajaran anak saya terjejas dan buat rayuan tetapi gagal,” katanya.
Usaha Zaleha bagaimanapun tidak sia-sia apabila campur tangan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Tengah akhirnya membolehkan Suraini bersekolah semula.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Mohamad Fauzi Sharif berharap JPN dapat menyegerakan dokumen penjagaan sah Suraini kepada keluarganya bagi mengelak masalah itu berulang.
“Kita tidak mahu disebabkan masalah ini, murid tersebut tidak dapat meneruskan persekolahan pada masa akan datang seterusnya tercicir dalam pelajaran,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan wang tunai untuk keperluan persekolahan kepada Suraini.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Ibrahim Mohamad ketika dihubungi memberitahu, Suraini sudah memulakan persekolahannya sejak semalam dan menerima skim pinjaman buku teks semula.
“Kes ini boleh diselesaikan dengan cepat sekiranya pihak pengurusan sekolah dan keluarga angkat murid itu menemui Pegawai Pelajaran Daerah,” katanya.
No comments:
Post a Comment