Tuesday, June 28

600,000 Penumpang Setiap Hari, LRT Kelana Jaya & Ampang @AzmiAziz60 @NajibRazak


Projek Sambungan Laluan LRT (LEP) dari Kelana Jaya ke Ampang, yang melibatkan kawasan baharu, termasuk Putra Heights, Subang Jaya dan Puchong, dijangka mencatat tambahan 300,000 penumpang harian apabila ia mula beroperasi sepenuhnya Khamis ini.

Ketika ini, laluan lama yang turut melibatkan perkhidmatan monorel, digunakan 600,000 penumpang setiap hari, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Azmi Abdul Aziz.


Menurut beliau, dengan wujudnya landasan sambungan bagi laluan Kelana Jaya,  170,000 penumpang lagi dijangka menggunakan perkhidmatan itu setiap hari, manakala laluan Ampang pula akan menyaksikan tambahan 130,000 penumpang harian.

Kata Azmi, laluan sambungan itu, yang mempunyai 25 stesen baharu di kawasan yang tinggi kepadatan penduduk, diunjurkan mencapai peningkatan besar jumlah penumpang.

Beliau berkata laluan sambungan itu diharapkan dapat memenuhi permintaan penduduk yang semakin bertambah di Lembah Klang, yang dijangka mencapai 10 juta menjelang 2020.

"Objektif utama kami ialah untuk memenuhi keperluan sejuta penumpang setiap hari menjelang 2020, memandangkan bandar raya lain di Asia seperti Tokyo, sudah mencapai kadar lebih dua juta penumpang sehari dan kami sedang membuat persiapan ke arah itu," katanya.

Mulai Khamis ini, penduduk Putra Heights, USJ, Subang Jaya, Puchong, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil boleh berulang alik setiap hari ke Kuala Lumpur dengan menggunakan LRT - satu daripada inisiatif pembangunan negara oleh kerajaan bagi memantapkan dan mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan awam bandar, yang merupakan satu daripada bidang keberhasilan utama negara di bawah program transformasi kerajaan.

Dibina dengan peruntukan RM8 bilion, rangkaian sambungan ini meliputi jarak 46.4 kilometer, yang merentasi kawasan padat dengan penduduk.

Azmi berkata perkhidmatan sambungan baharu itu akan memberi kemudahan dan keselesaan pada kadar tambang yang tidak membebankan penumpang, sebagai contoh, perjalanan dari Putra Heights ke KLCC hanya mengambil masa sejam dengan kadar tambang RM3.40 bagi setiap perjalanan.

"Dari stesen bersepadu Putra Heights ke Gombak, penumpang hanya perlu membayar tambang RM4.40, Putra Heights ke KL Sentral (RM3.20) dan dari Putra Heights ke Plaza Rakyat pula hanya RM3.20," katanya.

"Sekiranya kita kaji kebaikan antara menggunakan LRT dan memandu, kita akan dapati penggunaan LRT akan menjimatkan bayaran tol, bahan bakar dan paling penting, masa kerana ia tidak akan menempuh kesesakan trafik," katanya.

Menurut beliau, sebagai langkah memantapkn lagi perkhidmatan LRT, Prasarana sedang menaik taraf sistem semboyan bagi Aliran Ampang untuk meningkatkan keutuhan dan kecekapannya.

Di samping itu, kata beliau, Prasarana menggantikan tren sedia ada bagi Aliran Ampang dengan 30 tren enam gerabak baharu dan akan menambah 20 tren enam gerabak lagi bagi laluan sambungan untuk meningkatkn keupayaannya.

"Apabila siap, projek LEP memberi kesan yang cukup besar. Ia akan menjadi pemangkin bagi pembangunan seterusnya, dan Malaysia, terutama Greater Klang Valley, akan menikmati sistem pengangkutan awam yang lancar serta bersepadu," katanya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive