Wednesday, December 14

CEO Wanita Malaysia Bertaraf Dunia #Prasarana @NancyShukri @hjhrohanikarim @MyRapidKL


Masnizam Hisham berkongsi pengalamannya mengetuai projek tren Al-Mashaer Al-Mugadassah Metro Southern Line (MMMSL) yang beroperasi pada musim haji baru-baru ini.

“MINTA maaf ya...saya asyik tangguhkan perjumpaan,” ujar wanita itu dengan nada lembut. Perjumpaan untuk bertemu wanita serba boleh itu sudah tertangguh beberapa kali kerana beliau begitu sibuk dengan tugas yang dipikulnya.

Jika tidak berada di pejabat yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur, Masnizam Hisham, 44, berada di kota Mekah, Arab Saudi. Ulang-alik dari Mekah ke Kuala Lumpur atau dari Kuala Lumpur ke Mekah sudah menjadi perkara biasa baginya.

Saat menemu bual wanita itu, beberapa kali anak buahnya meminta izin untuk bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn. Bhd. (Prime) itu pada kadar segera.

Hal itu tidak dapat disangkal lagi apabila wanita berkulit cerah itu merupakan tonggak utama yang menggerakkan jentera perkhidmatan tren Al-Mashaer Al-Mugadassah Metro Southern Line (MMMSL) yang berpusat di Mekah.

MMMSL hanya beroperasi pada musim haji sejak tahun 2010. Tren itu beroperasi dari Arafah-Muzdalifah-Mina dengan berhenti di sembilan stesen di sepanjang laluan.

Prasarana dianugerahkan kontrak untuk beroperasi dan menyelenggara MMMSL pada tahun 2015 hingga 2018, mengambil alih tugas dari China Railway Construction Consortium (CRCC) yang ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 2014.

Menyentuh mengenai kejayaannya mengendalikan tren MMMSL di Tanah Suci yang berjaya membawa hampir dua juta jemaah haji selama tujuh hari, ia merupakan pengalaman manis yang terpahat dalam diari hidupnya.

“Saya tidak tidur hampir 36 jam. Saya perlu cekap memberi arahan dari dalam bilik kawalan yang dilengkapi skrin televisyen yang menyalurkan imej lebih 1,000 televisyen litar tertutup.

“Saya perlu memantau pergerakan tren dan jemaah. Jika sesebuah tren itu sesak, saya akan memberi arahan supaya ketua stesen bertindak mengikut pelan-pelan yang telah disusun,” ujarnya. yang berada di Arab Saudi selama sebulan.

Berada di Arab Saudi selama sebulan, beliau mengakui menguruskan jumlah penumpang yang sangat ramai merupakan satu cabaran. Selain jumlah dan halangan bahasa, jemaah yang berumur dan pertama kali menggunakan perkhidmatan tren juga menguji dirinya.

Masnizam memberitahu, saat diberitahu oleh ketuanya bahawa beliau bakal mengendalikan pengangkutan terpenting itu, dia menangis.

“Saya masih ingat pada 9 Ogos 2016, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz memberitahu bahawa saya yang akan mengetuai MMMSL.

“Saya menangis sebab sukar untuk seorang wanita mahu mengetuai dan bekerja di Arab Saudi,” katanya. Namun, beliau tidak keseorangan. Seramai 400 kakitangan dari Malaysia juga terlibat mengendalikan tren tersebut yang datang secara berperingkat-peringkat. Namun, Azmi meyakinkan beliau kemampuannya melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

Bagaimanakah seorang wanita boleh bekerja di Arab Saudi sedangkan di sektor-sektor profesional di negara itu tiada seorang pun wanita yang memegang jawatan utama.

Tentunya Masnizam berasa janggal kerana keadaan tersebut jauh berbeza dengan persekitaran di Malaysia wanita dan lelaki sama-sama memegang tampuk tertinggi dalam sesebuah organisasi.

Sambil mengimbau saat itu, beliau membayangkan kebengisan masyarakat Arab, besar dan tinggi badan mereka manakala dirinya seorang wanita kecil dari Malaysia.

“Awak rasa mereka nak dengar ke cakap saya? Mereka nak percaya ke apa yang saya lakukan,” katanya sambil tertawa kecil.

Bagaimanapun, persepsi Masnizam terhadap orang Arab berubah apabila beliau menjalankan tugasnya. Mereka bukan saja mendengar arahannya, bahkan banyak memberi kerjasama sekali gus melancarkan tugas-tugasnya. Berbeza dengan sikap segelintir masyarakat Arab yang tidak suka merakam foto, lain pula ceritanya dengan pasukan beliau yang sudi berswafoto dengannya.

“Mereka ini pantang nampak saya datang, dari jauh lagi sudah panggil saya. Ingatkan ada sesuatu yang hendak diberitahu, rupanya ingin mengambil gambar bersama-sama.

“Lucu juga, macam saya ini selebriti,” katanya yang mempunyai kakitangan yang fasih bertutur dalam bahasa Arab dan bertindak sebagai penterjemah.

Masalah teknikal

METRO Mekah telah membawa hampir dua juta jemaah haji musim lalu.

Masnizam turut memberitahu, setiap kali dia ingin memasuki bangunan kerajaan di Arab Saudi beliau sering ditahan di pintu hadapan bangunan itu kerana disangka orang luar.

Malah, setiap kali ke tandas, Masnizam akan meminta bantuan rakannya untuk menunggu di luar kerana tandas wanita juga digunakan kakitangan lelaki di pejabat itu.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya sebagai Ketua Pengarah Projek MMMSL. Malah, beliau lebih ke depan daripada apa yang disangkakan dan mereka yang skeptikal dengan kerjayanya.

Perkara itu terbukti apabila Masnizam berjaya menangani beberapa masalah teknikal dalam tempoh masa yang minimum.

Saat tren berkenaan beroperasi pada musim haji lalu, beliau berjaya membuatkan perkhidmatan berkenaan berjalan lancar bersama pasukannya sehingga Gabenor kota Mekah merangkap penasihat kepada raja Arab Saudi, Putera Khaleed Al-Faisal, menganugerahkan perkhidmatan terbaik dalam sejarah MMMSL kepada Malaysia tahun ini.

Malah, paling membanggakan, apabila beliau tahu setiap perincian dan permasalahan yang terdapat pada MMMSL kerana sebelum ini beliau pernah memegang beberapa jawatan yang berkait rapat dengan projek berkenaan.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Ketua Jabatan Undang-undang merangkap Setiausaha Syarikat RapidKL, Pengurus Besar Perolehan RapidKL, Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan Prasarana dan Pengarah Kumpulan Perkhidmatan Infrastuktur Prasarana sebelum memegang jawatan terkini.

Walaupun begitu, sebelum beliau menyertai bidang pengangkutan, Masnizam merupakan graduan undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Ibu kepada lima cahaya mata Nuwairah Iman, 19; Muhammad Mukmin, 16; Muhamad Salihin, 12; Latifah Zahra, 9, dan Muhammad Ihsan, 3, pernah memegang jawatan sebagai peguam di sebuah syarikat guaman terkenal iaitu Shearn Delamore & Co di Kuala Lumpur pada tahun 1997 hingga 2004. Pada masa itu, beliau merupakan antara salah seorang peguam Melayu yang berjaya memasuki firma berkenaan.

“Firma berkenaan amat terkenal dan untuk bekerja di syarikat itu ia sangat memerlukan daya saing yang kental,” jelas anak kelahiran, Parit, Perak itu. Menurut Masnizam, tugasnya yang sentiasa sibuk menyebabkan keluarga terutama suami, Muhamad Faris Othman, 48, dan anak-anak amat memahami tuntutan tugasnya.

“Disebabkan saya selalu sibuk, jadi keluarga tidak merungut jika saya diarahkan bertugas di luar daerah atau ke luar negara,” jelasnya yang gemar melayan keluarga melalui masakan.

Penghijrahannya dari bidang undang-undang ke industri rel memerlukan beliau mempelajari asas teknikal dan berteknologi tinggi. Justeru, beliau perlu berusaha untuk memahami industri tersebut.

Melihat kepada prospek kerjayanya, sejak awal lagi Masnizam sudah biasa mengetuai sesebuah kumpulan. Apakah yang membuatkannya beralih kerjaya?

Katanya, bekerja sebagai peguam, beliau tidak nampak perkembangan dalam kerjayanya. Peguam hanya menguruskan pelanggan dan selepas selesai kes, tamat semuanya.

Berbanding di Prasarana, dia dapat melihat perkembangan daripada pengangkutan rel yang dahulu tiada kepada ada.

“Di Kumpulan Prasarana saya sudah bekerja selama 11 tahun, dalam tempoh itu saya dapat melihat pengangkutan bas yang semakin bagus, penambahan kereta api baharu, pemanjangan jajaran rel dan banyak lagi.

“Impak perkembangan ini memberi kehidupan yang lebih baik kepada jutaan rakyat Malaysia,” jelas Masnizam yang mahu melihat pengangkutan di Malaysia terus berkembang.

Beliau berharap dapat membantu perjalanan orang awam dengan meminimumkan waktu perjalanan agar lebih banyak perkara bermanfaat boleh dilakukan rakyat negara ini berbanding berada di atas jalan raya dalam tempoh yang lama.

sumber KOSMO

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive