Sunday, December 11

PERJALANAN LANCAR DENGAN BAS PENGANTARA UNTUK LALUAN AMPANG HARI INI


Dibuka lewat tiga jam hari ini untuk membolehkan penyiapan kerja-kerja menaik-taraf sistem pengisyaratan, para pengguna perkhidmatan LRT Laluan Ampang Rapid KL tetap menikmati perjalanan lancar dan selesa dengan penyediaan bas pengantara percuma di tujuh stesen LRT yang terbabit sekitar Pandan, Cheras dan Ampang.

Seawal 6 pagi staf dan kakitangan Rapid KL daripada kedua-dua perkhidmatan bas dan rel, serta Polis Bantuan sudah ditempatkan di kawasan pintu masuk stesen-stesen LRT Ampang, Cahaya, Cempaka, Pandan Indah, Pandan Jaya, Maluri dan Miharja untuk membantu para pengguna awal perkhidmatan LRT Laluan Ampang hari ini.

Stesen-stesen berkenaan dibuka untuk perkhidmatan pada 9 pagi ini. LRT Laluan Sri Petaling antara Putra Heights dan Sentul Timur; dan Laluan Kelana Jaya antara Gombak dan Putra Heights beroperasi seperti biasa dengan bermula pada 6 pagi ini.

Rata-rata, majoriti penumpang yang ditemui mengetahui dengan pembukaan lewat stesen-stesen berkenaan dan melahirkan rasa gembira atas perkhidmatan bas pengantara percuma yang disediakan oleh Rapid KL, yang menghubungkan mereka ke Stesen LRT Chan Sow Lin bagi meneruskan perjalanan mereka menaiki perkhidmatan LRT.


“Saya terpaksa awal kerana ada janji nak jumpa kawan di Subang Jaya pagi. Kerana itu, terpaksa keluar juga pagi ini walaupun tahu perkhidmatan LRT Ampang ini akan hanya dibuka pada 9 pagi. Tetapi, saya tahu perkhidmatan bas disediakan. Kerana itu, saya datang ke sini pagi ini,” kata usahawan Puan Anis Nashrul, yang merupakan seorang pengguna tegar perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL.

Untuk ke Subang Jaya, Anis menaiki bas percuma ke stesen LRT Chan Sow Lin sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki LRT Laluan Sri Petaling dan menuju ke stesen integrasi Putra Heights dan menaiki tren LRT Laluan Kelana Jaya untuk ke Subang Jaya.

Cik Anna Razali, yang bekerja sebagai penyelia, juga merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Rapid KL kerana menyedia bas pengantara percuma untuk kemudahan perjalanan beliau hari ini.

“Saya hendak ke bandaraya hari ini. Ada kerja sikit. Okay-lah, ada bas pengantara percuma. Kenalah tunggu sekejap; tetapi ok. Senang naik LRT kalau nak ke pusat bandaraya. Sebab itu, saya buat keputusan untuk tetap naik LRT walaupun hari ini, perkhidmatan kat Ampang ni mula lewat sikit. Okay jugak, sekali sekali naik bas percuma,” kata Anna.

Cik Masmira Mohd Isa, yang bertugas sebagai jurujual di Kompleks Membeli-belah Sogo Kuala Lumpur dan menuju ke Stesen LRT Bandaraya, pula berterima kasih kepada Polis Bantuan dan staf yang membantu memberi maklumat tentang perjalanan hari ini di stesen-stesen.

“Saya tidak sedar pula hari ini perkhidmatan LRT Ampang ini dibuka lewat. Saya ada terbaca notis, tetapi terlupa ianya pada hari ini. Nasib baik ada staf Rapid KL yang membantu memberi info di stesen. Tetapi, saya memang selalu keluar cepat. Jadi, tak ada masalah. Sampai KL, lepak minum dulu kat Pertama sebelum masuk kerja pukul 10 pagi. Banyak masa lagi,” katanya.

Beroperasi dengan 20 unit bas dan kekerapan antara 15 hingga 30 minit, perkhidmatan bas pengantara khas hari ini beroperasi dalam tiga zon dengan Zon 1 menyediakan perkhidmatan untuk stesen-stesen Ampang dan Cahaya sebelum terus ke stesen Chan Sow Lin dan kembali ke Ampang.

Zon 2 pula meliputi stesen-stesen Cempaka, Pandan Indah dan Pandan Jaya sebelum terus ke Stesen Chan Sow Lin manakala Zon 3 pula menyediakan perkhidmatan untuk para pengguna di stesen Maluri dan Miharja sebelum meneruskan perjalanan ke stesen Chan Sow Lin.

Mengulas operasi hari ini, Ketua Pegawai Operasi Rapid KL LRT Laluan Ampang – Sri Petaling, Encik Abdul Hadi Amran melahirkan rasa puas hati atas segala kerja-kerja menaik-taraf sistem pengisyaratan, yang bermula pada jam 12 tengah malam.

“Kerja-kerja utama yang dilaksanakan adalah penukaran trek ‘mainline’ dan kerja-kerja penaikan taraf berkaitan untuk trek yang terbabit. Pada masa yang sama, kontraktor kami turut menjalankan kerja-kerja penaikan taraf ‘software’ untuk sistem CBTC (Communication Based Train Control). Secara umum, kerja-kerja penaikan taraf ini berjalan dengan baik dan lancar; dan telah disiapkan mengikut masa yang telah diberikan. Hanya mengambil masa lebih sikit untuk membersihkan trek bagi memastikan keselamatan di tahap tertinggi.

“Apapun, masih terdapat kerja-kerja pengakhiran atau ‘finishing works’ yang masih perlu dilaksanakan. Ini, bagaimanapun, akan dibuat pada waktu selepas penutupan perkhidmatan atau ‘engineering hours’; dan tidak akan menggangu masa perkhidmatan harian,” kata Hadi, yang turur merakamkan ucapan terima kasih kepada Rapid Bus untuk perkhidmatan bas pengantara yang disediakan hari ini.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive