Showing posts with label mukhriz mahadir. Show all posts
Showing posts with label mukhriz mahadir. Show all posts

Thursday, July 26

Mukhriz Mahathir MB,Kedah BN Punya Betoi Ka?


Umno dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan merampas kembali beberapa negeri yang ditadbir pembangkang, demikian menurut kajian yang dilakukan beberapa ahli akademik.

Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kajian itu, yang dilakukan terhadap 1,400 responden di Kedah dan Selangor pada Mac hingga Mei tahun ini, menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia setakat ini memilih BN.

"Di Selangor, pengundi cenderung untuk memilih BN manakala di Kedah kedudukannya 50-50 tetapi ia mungkin berubah," katanya pada Perbincangan Meja Bulat 'PRU 13: Malaysia Pilih Siapa' anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) di sini hari ini.

Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran UKM itu berkata PRU 13 merupakan satu kemuncak kepada penilaian prestasi bagi BN dan pakatan pembangkang di empat negeri sama ada mereka boleh kekal memerintah ataupun BN berjaya merampas kembali keempat-empat negeri berkenaan.

Secara keseluruhannya, beliau berkata 69.6 peratus responden menyatakan bahawa BN akan memenangi PRU 13 iaitu 37.5 peratus menyatakan bahawa BN akan menang dengan 2/3 majoriti manakala 32.1 peratus pula menang dengan majoriti mudah.

"Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), 54.1 peratus responden akan memilih BN, 14.4 peratus (PAS), tiga peratus (PKR) dan selebihnya tidak pasti, manakala di peringkat Parlimen, 57 peratus memilih BN, 20.6 peratus (PR) dan 22.4 peratus tidak pasti," katanya.

Di Selangor, Dr Fuad berkata kajian simulasi berdasarkan kepada keputusan PRU 11 dan PRU 12, profil pemilih berdaftar terkini dan reputasi BN mendapati bahawa BN akan menang di 40 kerusi DUN.

Di Kedah, seramai 50.7 peratus responden memilih PAS untuk menang di peringkat DUN, 49.3 peratus (BN) dan selebihnya tidak pasti, katanya.

Beliau berkata kepimpinan dan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima dan terus mendapat sokongan juga menjadi antara faktor kelebihan BN untuk memenangi PRU 13.

"Purata 87.4 peratus mereka yang berumur 21 hingga 60 tahun menyokong kepimpinan Najib. Tujuh puluh enam peratus menyatakan imej Najib amat baik berbanding Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Beliau berkata sokongan golongan muda pada tahun 2008 agak merosot, justeru, Najib membuat pendekatan 'modul magnet' bagi menarik semula sokongan dengan melakukan pembaharuan yang bersifat populis dan praktikal menerusi media sosial dan transformasi politik.

Profesor Madya Dr Rohana Yusof dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menjalankan kajian ke atas 10,800 responden di Kedah pada November 2011 sehingga Februari 2012 menunjukkan bahawa rakyat Kedah menolak kerajaan PAS Kedah kerana gagal menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.

"Sebanyak 54 peratus responden menyatakan bahawa kerajaan PAS sedia ada tidak wajar dikekalkan manakala 58 peratus mengatakan bahawa kerajaan BN di peringkat persekutuan perlu dikekalkan," katanya.

Rakyat Kedah kini lebih menerima dasar-dasar kerajaan persekutuan berbanding kerajaan negeri dan cara terbaik ialah dengan memberi ruang kepada BN untuk kembali memerintah Kedah, katanya.

Rohana berkata mereka juga memerlukan seorang Menteri Besar yang mampu menyelesaikan masalah rakyat, mudah dihubungi dan rajin turun padang bertemu rakyat dan ini memberi gambaran terhadap ketidakupayaan Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Azizan Abdul Razak melaksanakan tanggungjawab yang diharap oleh rakyat.

"Calon Menteri Besar Kedah yang dipilih sekiranya Umno berjaya merampas Kedah ialah rata-rata memilih Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir.

Ini menunjukkan bahawa mereka perlukan muka baru yang lebih muda untuk mentadbir negeri," katanya.

Friday, June 15

MUKHRIZ TUN MAHADIR DAN POLITIK JELAPANG PADI.

 
Hari ini tak ramai rakyat Malaysia termasuk kalangan orang Melayu yang tahu perkataan lama seperti jelapang yang bermaksud kepuk, rengkiang atau juga lumbung. Maksud perkataan jelapang yang diberikan laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, adalah lebih aneh daripada perkataan jelapang itu sendiri.

Zaman sudah banyak berubah. Dulu orang bercakap kiraan hasta dan cupak tapi hari ini meter dan kilogram. Dulu, kereta paling mewah yang dikenali orang Melayu ialah Mercedes. Hari ini, sudah ada beberapa orang Melayu memandu kereta jenis Bugatti Vyron.

Sebelum ini, ketika menulis kolum di akhbar Straits Times, Tun Dr Mahathir membuktikan sebab penanam padi, ketika itu disebut sebagai pesawah bukan sahaja gagal menyerlah dari segi ekonomi tetapi sebaliknya hidup secara sederhana.

Ini gara-gara komoditi penghasilan mereka dikawal orang tengah. Hari ini kos menanam padi lebih tinggi daripada pulangannya dan mengakibatkan lambakan beras import yang dijual di pasaran harga jauh lebih murah.

Namun apa pun, Kedah masih lagi Jelapang Padi iaitu menurut definisi piawaian, ‘tempat penyimpanan/penghasilan beras’ bagi negara kita. Sama ada masalah ekonomi pesawah ini
diberikan fokus secukupnya atau kian dihimpit faktor kos tempatan yang tidak terkawal, Kedah sudah pun menghasilkan dua Perdana Menteri (PM) yang bertaraf ikonik – Almarhum Tunku Abdul Rahman dan dan Mahathir.

Masalah berkaitan penanaman padi sebenarnya bukanlah seratus-peratus kesilapan kerajaan BN. Tetapi, ia cukup menyeronokkan Pas kerana permasalahan masyarakat sub-urban yang kurang pendedahan dunia luar ini adalah jelapang modal insan pengundi yang penting buatnya. Inilah mengapa Pas boleh memberikan saingan politik di Kedah pada PRU umum lalu.

Dua puluh tahun lalu, tokoh ulung pemimpin dari Kedah, Tan Sri Sanusi Junid pernah mengingatkan selagi ada bendang selagi itu ada pengaruh Pas". Kebetulan sahaja Sanusi pernah menjadi Menteri Pertanian dan mampu melihat politik ‘jelapang’ dengan visi yang menjangkau jauh dari sekadar keluasan bendang yang ‘saujana mata memandang’.

Begitu pun Pas di Kedah hampir pada masa yang sama denganUmno, iaitu kira-kira sedekad sebelum merdeka gagal melahirkan tokoh yang berjaya memberikan impak peringkat negeri dan nasional berbanding Umno yang melahirkan keluarga Shahabuddin yang menduduki kerusi MB Kedah; kalangan menteri kabinet seperti Kadir Sheikh Fadzil, Dr Afifuddin Omar dan Tun Daim Zainuddin serta tokoh bilionair Melayu seperti Syed Mokhtar al-Bukhari.

Begitulah hebat orang Kedah yang mencorakkan dunia politik dan korporat negara. Bukan sekadar ‘Jelapang Padi’ tetapi juga ‘jelapang tokoh’.

Tunku memiliki kehebatannya tersendiri. Namun bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Dr. Mahathir bersifat fenomena. Orang luar tidak melihat Mahathir sebagai pemimpin Kedah tetapi mengenalinya sebagai PM Malaysia. Tapi sekilas pandang orang tahu Mahathir orang Kedah kerana loghatnya sampai kini masih tak berubah.

Cuma kalau dari segi sumbangan ke atas negeri asalnya itu, Langkawilah satu-satu yang menampakkan hasil tangan mantan PM itu. Pekan Rabu di Alor Setar hanyalah sebuah bazar yang kurang meyakinkan berbanding Lot 10 ataupun Midvalley di ibu kota. Hari ini Langkawi menjadi pusat pelancongan bertaraf dunia jauh lebih hebat dari Bali ataupun Phuket.

Mungkin disebabkan Kedah begitu sinonim dengan padi dan dari padi datangnya beras yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, maka mungkin juga peribahasa. ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ mempunyai akar atau asal-usul dari Kedah juga.

Mungkin, secara kebetulan,dua PM yang ikonik adalah dari Kedah dan hanya keluarga dari Kedah sahaja yang mengukir sejarah mempunyai tiga MB dari puak sama. Mungkin ini juga membuatkan ada pihak yang meramalkan Datuk Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun dan juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dikatakan bakal menjadi PM Malaysia satu hari nanti.

Sementara ramalan sedemikian sedap didengar penyokong Mukhriz dan tidaklah boleh dianggap sebagai sesuatu yang keterlaluan, tetapi ia bukanlah sesuatu pelayaran mudah bagi Mukhriz. Ini kerana ada yang merasakan Mukhriz perlu mencapai tingkat tertinggi dalam Umno negeri sebelum boleh dipertimbangkan untuk impian lebih tinggi.

Mukhriz menghabiskan banyak masa di luar Kedah. Justeru tentulah dia kurang dikenali secara peribadi rakyat Kedah berbanding, katakan, Ketua Perhubungan Umno, Datuk Ahmad Bashah Hanipah ataupun Datuk Seri Johari Baharom.

Bagaimanapun perhatian atau spotlight terhadap Mukhriz kembali menghantui sebilangan kecil pemimpin di Kedah apabila namanya disebut sebagai calon favourite untuk jawatan MB Kedah - itu pun jika BN menang.

Perbualan mengenai siapa selepas Datuk Seri Azizan Razak kini memasuki dimensi baru dengan isunya kini diperkatakan secara terbuka. Mereka yang tak mahukan Mukhriz menambahkan rencah dengan memasukkan 'perasa' kepada personaliti ini seperti menganggap dia terlalu muda dan tidak berpengalaman. Setengah mengandaikan adalah tidak adil, calon yang bukan bergelar Ketua Bahagian turut dipertimbangkan.

Apakah hal seperti ini menyukarkan PM merangkap Presiden Umno membawa Mukhriz pulang ke Kedah? Apa pun ia dilihat sebagai masalah dalam iaitu suatu perkembangan kurang selesa dari segi kesatuan atau uniti Umno Kedah.

Pada masa sama Umno Kedah perlu menumpukan segala fokus dan usaha ke arah menurunkan kerajaan Pakatan Rakyat pada PRU13. Nampaknya apabila ‘jelapang’ menyimpan terlalu banyak tokoh, ia juga akan menimbulkan kesulitan. Atau mungkin juga ia memerlukan masa sebelum ‘kuah tumpah ke nasi’.SH

MKP ayat sempoi : Sebelum ini artikel bongkar rahsia berkenaan kepimpinan Kedah telah MKP keluarkan impaknya ada yang melompat sakan akan tetapi kini bunyian kumbang riang kembali kedengaran bergema.Perlukah semboyan ditiup sekali lagi?   

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive