Jangan ingat boleh 'buat-buat lupa' selepas memburukkan nama baik agensi kerajaan. Itu peringantan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kini sedang menimbang bentuk tindakan terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin (gambar) kerana melemparkan tuduhan berat ke atas kerajaan berhubung Program 6P.
Ketua Setiausaha KDN Tan Sri Mahmood Adam berkata sehingga kini masih tiada laporan polis dibuat bagi mengemukakan bukti berkaitan dakwaan beliau wujud "skrip bersumpah" yang perlu dibaca pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika berdaftar pada Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).
Beliau berkata tindakan yang dipertimbangkan itu adalah sama ada membuat laporan polis terhadap Zuraida, melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atau mengemukakan saman terhadap beliau.
"KDN mungkin memilih satu antaranya tetapi tidak menolak untuk melakukan ketiga-tiganya sekaligus, dengan mengambil kira tuduhan berat yang dilemparkan Ketua Wanita tersebut bahawa inisiatif kerajaan menerusi Program 6P ini sebagai cubaan untuk menjual kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan, di sini.
Minggu lepas, Zuraida mendakwa bahawa hasil siasatan PKR mendapati Program 6P mensyaratkan PATI supaya membaca 'skrip bersumpah' menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional sebagai sebahagian proses pemutihan.
Zuraida mendakwa kononnya Program 6P adalah muslihat kerajaan untuk mengumpul pengundi bagi pilihan raya umum akan datang.
Mahmood berkata Program 6P adalah inisiatif nasional yang tidak bermotifkan politik, sebaliknya ia bertujuan mendapatkan data biometrik setiap PATI untuk rasional keselamatan, khususnya dalam menangani masalah membabitkan kes pemalsuan identiti dan dokumen perjalanan antarabangsa.-
No comments:
Post a Comment