Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) diminta jangan mengugut kerajaan dengan bekerja mengikut peraturan sepanjang musim perayaan ini, sebaliknya bertugas dengan mengutamakan kepentingan rakyat yang mahu pulang berhari raya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata kesatuan tidak wajar berbuat demikian kerana masih ada ruang untuk membincangkan desakan supaya kerajaan menamatkan kontrak Presiden KTMB, Dr Aminuddin Adnan.
“Saya amat berharap kesatuan menarik balik hasrat mereka kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya merugikan rakyat dan KTMB. Sebagai pekerja KTMB, kita seharusnya mengutamakan tanggungjawab terlebih dulu dan isu lain yang berbangkit cuba diselesaikan secara baik,” katanya sepertik yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian.
KPPKTMB memberi kata dua sama ada kontrak Dr Aminuddin ditamatkan atau mereka bekerja mengikut peraturan yang dijangka menjejaskan perjalanan kira-kira 50,000 penumpang tren yang mahu pulang berhari raya. Selain itu, ahli kesatuan memberi amaran enggan bekerja lebih masa jika KTMB tidak mengambil sebarang tindakan terhadap permintaan itu.
Pematuhan semua prosedur atau `work- to- rule' itu termasuk pemeriksaan tren hampir sejam seperti ditetapkan dalam perkhidmatan KTMB bagi mengesan kerosakan sistem enjin, brek dan elektrik pada tren dan tidak memulakan perjalanan sehingga kerosakan diatasi sepenuhnya.
Cho Ha juga berkata, beliau tidak mempunyai kuasa berhubung pelantikan semula Dr Aminuddin sebagai Presiden KTMB kerana ia dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan, tetapi bersedia menemui KPPKTMB dan berbincang dengan mereka.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Mohamed Shafie BP Mamal berkata, pihaknya amat berharap isu berkenaan diselesaikan segera.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Sekerja Dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Mohamed Shafie BP Mamal berkata, pihaknya amat berharap isu berkenaan diselesaikan segera.
“Sudah tiba masanya kerajaan campur tangan menyelesaikan masalah ini. Jika berlarutan kita bimbang ia memberi implikasi besar kepada pelbagai pihak,” katanya.
Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sudah merangka beberapa pelan tindakan sekiranya Ahli Kesatuan Pekerja KTMB (KPPKTMB) tetap dengan pendirian mereka untuk bekerja mengikut peraturan sepanjang musim perayaan ini.
KTMB dalam kenyataan kepada Berita Harian, semalam berkata penumpang perkhidmatan itu tidak perlu khuatir atau panik dengan tindakan kesatuan kerana langkah tertentu akan diambil bagi memastikan perjalanan tren tidak mengalami sebarang gangguan.
“Pihak pengurusan KTMB sudah bersiap sedia dengan beberapa pelan bagi menangani situasi berkenaan sekiranya ia berlaku. Kita yakin bahawa ia berada dalam kawalan dan impak dari tindakan itu, akan dapat diminimumkan dalam memastikan perkhidmatan tren terus beroperasi seperti biasa,” katanya.
Kenyataan itu berkata, pada masa sama, KTMB turut optimis bahawa penambahan koc bagi perjalanan ke Pantai Timur sempena musim perayaan ini akan dapat dilaksanakan berdasarkan kerja baik pulih koc yang sedang dijalankan dan dijangka siap dalam sedikit masa lagi.
No comments:
Post a Comment