RAPID

Wednesday, June 17

CINA BUTA & PASMA BERSAMAAN BUTA PERUT

Demi kasih sayang dan cinta pada PAS, nampaknya hanya Datuk Phahrolrazi Zawawi dan rakan-rakan seperjuangannya dalam Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) sahaja dilihat calon terbaik menjadi ‘Cina Buta’ menjodohkan kembali PAS dengan DAP.

Ini kerana PasMa sejak mula penubuhannya tahun lalu melaungkan matlamat utamanya ialah untuk merapatkan lagi hubungan politik ketiga-tiga parti kerabat Pakatan Rakyat.

Kerja ini serius kerana dalam perbalahannya dengan PAS, parti dominasi Cina itu nampaknya sudah banyak belajar memahami pemikiran PAS dan selok-belok agama Islam.

Misalnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang apabila melihat jalan buntu dalam memulihkan hubungan partinya dengan PAS, menyimpulkan bahawa pilihan yang tinggal ialah untuk “mentalkin dan mentahlil” Pakatan Rakyat.

Sementara ahli exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim pula menrumuskan bahawa kini PAS dan DAP sudahpun bercerai talak tiga. DAP tahu bahawa untuk membatalkan hukum cerai itu DAP berkahwin dengan calon lain terlebih dulu. Ini namanya Cina buta.

Rumusan sinis Kit Siang itu tidak mendapat reaksi PAS yang memutuskan dalam muktamarnya lalu bahawa ia tetap bersama dalam Pakatan Rakyat. Lantas tidak timbul soal perlu talkin atau tahlil untuk pakatan politik berusia enam tahun itu.

Kini terpulang pada kebijaksanaan PasMa mengotakan katanya mempererat hubungan politik di kalangan PKR, PAS dan DAP. Ia harus sedar pendiriannya bukan satu retorik, jika tidak, ia akan bermula dengan langkah yang salah.

PasMa harus menjadi ‘rumah penyejuk politik’ bagi Pakatan Rakyat. Pemimpin kumpulan profesional yang tewas dalam pemilihan muktamar PAS lalu boleh tumpang berteduh seraya merawat amarah dan kekecewaan mereka.

Justeru bila bertenang dan insaf betapa 52 peratus pengundi Malaysia mahu pakatan itu memimpin Malaysia dalam pilihanraya umum lalu, mereka harus kembali ke pangkuan PAS dan turut menunaikan amanah yang diberikan.

Hakikatnya ialah, PAS dan DAP sudah bercerai talak tiga. Dalam proses perceraian itu DAP sudah banyak mengungkit mbangkit status quo betapa ia (DAP) adalah parti paling banyak kerusi parlimen dalam pakatan itu.

PAS, bak kata PKR, haruslah jangan mudah tersinggung dengan kenyataan DAP itu kerana maklumlah bila ada sengketa dalam rumah tangga pelbagai ungkitan dan tuduhan akan dibuat.

PasMa perlu mansuhkan perceraian PAS-DAP dengan segera menikahi DAP yang menjadikan golongan profesional PAS yang tewas dalam pemilihan 4 Jun lalu sebagai anak-anak tiri Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Tentu PasMa faham peranan Cina Buta.

Bagaimanapun PasMa tidak boleh lupa diri bila sudah tidur sebantal dengan DAP bahawa peranannya sebagai ‘Cina Buta’ itu tidak harus berkekalan. Matlamatnya ialah untuk menjodohkan kembali DAP dengan PAS.

Namun dalam perkahwinan lazimnya tidak semua perancangan menjadi. Mungkin PasMa leka, alpha dan lupa jalan pulang. Ini kerana khabarnya, PasMa pun ada merancang menghuni rumah baru bersama DAP sebelum ini.

Sosek politik berkata bahawa parti KITA yang didaftarkan di bawah nama bekas menteri Umno, Datuk Zaid Ibrahim akan menjadi teratak mastautin tetap PasMa dan anak-anak tiri DAP. Harap-harap PasMa tidak lupa diri.

Phahrolrazi harus insaf jika PasMa tidak bertindak segera, perkahwinan politik PAS-DAP mungkin tidak dapat diselamatkan. Ini kerana anak-anak buah Kit Siang sudah ramai bertanya bila PAS mahu meninggalkan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sudah pun diberi kata-dua – kekalkan DAP dalam kerajaannya atau bentuk perikatan bersama PAS -- oleh Ketua DAP Selangor Tony Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu bersetuju dengan penegasan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, bahawa Azmin mesti menentukan pendirian PKR berikutan perhubungan PAS-DAP sudah terputus secara sah.

“Saya setuju. PAS mahu Azmin memutuskan di mana pendiriannya. DAP berpendapat sama juga. Maka Azmin mesti membuat keputusan,” kata Pua di luar Dewan Rakyat.

Namun PAS bersedia melawan api dengan api. Dewan Ulama PAS Selangor mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memecat kesemua ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan di negeri pimpinannya.

Setiausahanya, Muhammad Najhan Halim berkata, ia susulan tindakan pemimpin DAP yang gopoh menggesa kepimpinan baru PAS mengarahkan wakil partinya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang melepaskan jawatan.

"Sekiranya DAP benar-benar ingin melihat PAS tiada dalam kerajaan Pulau Pinang, lebih senang, cepat dan lebih profesional Lim Guan Eng sendiri sebagai Ketua Menteri memecat semua Ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Najhan berkata, ahli atau wakil PAS dalam pentadbiran di Pulau Pinang tidak perlu panik dengan kenyataan Guan Eng itu.

Ini kerana, katanya, isu berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sebelum keputusan muktamad dibuat.
 
Sehingga itu, katanya, PAS tetap bersama Pakatan Rakyat dalam meneruskan tahaluf siyasi dan kerajaan PKR di Selangor tidak terjejas dengan usul tersebut.

"Segala urusan kerajaan di Selangor hendaklah diteruskan seperti biasa demi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor," katanya.

Namun DAP tetap menyeringaikan taring politiknya. Ahli parlimennya, Lim Lip Eng dengan nakal bertanya Naib Presiden baru PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad bila beliau dan rakan-rakannya akan meletakkan jawatan di Selangor.


Katanya, meletakkan jawatan adalah tindakan beretika bagi Iskandar dan lain-lain Exco dari PAS memandangkan jawatan mereka adalah hasil kerjasama dengan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Sebenarnya, adakah Iskandar sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor bersetuju dengan usul memutuskan hubungan dengan DAP diluluskan tanpa debat di muktamar PAS minggu lalu?

“Jika tidak, teruskan duduk di pejabat Exco. Atau mungkin Iskandar tidak kisah dengan usul itu dan hanya mahu mengekalkan jawatannya?” Lim bertanya.

Namun yang membingungkan ialah apabila bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Hanipa Maidin, melontarkan pandangan bahawa PAS perlu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) agar tidak dituduh hipokrit.

"Kalau mereka tidak berani bertegas dengan pendirian keras mereka seperti yang dijelmakan di pra muktamar dan masih mahu terus ingin bersama Pakatan (tanpa DAP) mereka pasti akan ditertawakan.

"Mereka juga mungkin sukar melarikan diri dari tuduhan bahawa segala apa yang dicakap dan dibuat sebelun muktamar hanya semata-mata untuk menang dalam muktamar," katanya.

Keadaan semakin haru dalam PAS. Jika benar PasMa sayangkan PAS, eloklah ia menawarkan menjadi ‘Cina Buta’ bagi mengizinkan PAS dan DAP bergabung kembali. Namun persoalannya, mahukah ulama?

1 comment:

Anonymous said...

PASMA untuk mereka yang rela berterusan menjadi balachi dan pak turut upahan DAPIGS.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive