RAPID

Monday, June 1

@NajibRazak Lancar Bas Elektrik Pertama Negara @MyRapidKL @azmiaziz60 @liowtionglai @NancyShukri @IdrisJala #BRTSunway


Pengangkutan awam menggunakan teknologi mesra alam pertama negara, sistem Bas Rapid Transit Laluan Sunway (BRT-Laluan Sunway) membuka lembaran baharu dalam perkhidmatan pengangkutan awam negara.
   
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sistem pengangkutan BRT-Laluan Sunway yang dibangunkan Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway itu merupakan projek pengangkutan awam yang mencapai piawaian antarabangsa dan amat membanggakan negara.
   


"Projek ini memenuhi hasrat kerajaan untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien, boleh diharap dan selesa," katanya semasa merasmikan sistem BRT-Laluan Sunway di Kompleks BRT Sunway dekat sini, hari ini.

video

Najib turut melancarkan bas elektrik pertama pada majlis itu yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai bas elektrik pertama negara yang digunakan untuk sistem pengangkutan awam.
   
Beliau berkata, apa yang dicapai hari ini merupakan teknologi pintar dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan pengurangan pelepasan gas karbon.
   

Katanya bagi meningkatkan minat masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu, tiada bayaran dikenakan mulai esok untuk tempoh dua bulan.

Perdana menteri berkata, sistem BRT-Laluan Sunway ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan lagi penggunaan teknologi hijau dan gaya kehidupan baharu yang mesra alam dalam perkhidmatan pengangkutan awam.
   
Najib turut memuji kaedah pelaksanaan projek BRT yang merupakan kerjasama awam-swasta (PPP) antara Kumpulan Prasarana dengan Kumpulan Sunway, dan berharap lebih banyak kerjasama dapat dilakukan dalam memajukan pengangkutan awam negara.

video

Beliau berkata, pelaksanaan sistem pengangkutan itu merupakan capaian penting negara ke arah mengajak masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dengan lebih kerap dan mengurangkan penggunaan kereta persendirian seperti dilakukan di negara maju.
   
"Ada sesetengah negara maju yang penduduknya menyimpan kenderaan di 'country side' dan menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana. Kita juga boleh melakukannya jika mempunyai sistem pengangkutan awam yang bersepadu dan masalah ini telah dikenal pasti kerajaan, " katanya.

Beliau berkata, untuk itu sistem pengangkutan awam, khasnya di Lembah Klang, perlu diselaraskan, dan BRT perlu diperluaskan di projek pengangkutan awam yang lain.

Najib berkata, kerajaan tanpa ragu telah meletakkan pembangunan sistem pengangkutan awam sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerana sedar dan peka bahawa ia merupakan cabaran penting dalam Pelan Transformasi negara.
   
"Kita letakkan pengangkutan awam dalam NKRA sebab selama ini kita gagal wujudkan pengangkutan awam yang bersepadu. Oleh kerana itu, kita wujudkan Kumpulan Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk melaraskan pengangkutan awam negara," katanya.


Najib berkata, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM23 bilion untuk pembinaan jajaran transit aliran massa (MRT) yang baharu bakal menghubungkan Sungai Buloh ke Putrajaya.
   
Pada masa sama, kerajaan juga telah mengumumkan pembinaan jajaran sistem transit aliran ringan (LRT) ketiga bernilai RM9 bilion bagi menghubungkan Bandar Utama, Shah Alam dan Klang, katanya.
   
Najib kemudian menaiki bas elektrik mengelilingi kawasan sekitar selama 30 minit.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.
   
Sistem BRT-Laluan Sunway menjadi perkhidmatan bas pertama menggunakan 'elevated track' atau laluan bertingkat sekali gus memastikan perjalanan dapat dirancang hingga waktu terakhir.
   
Ia juga merupakan perkhidmatan bas awam henti-henti pertama yang menggunakan bas elektrik sepenuhnya di negara ini. Kos pembinaan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam itu sebanyak RM634 juta.
   

Sistem BRT-Laluan Sunway yang meliputi laluan bertingkat sejauh 5.4 kilometer itu menempatkan tujuh buah stesen dari Sunway-Setia Jaya sehingga USJ7, Subang Jaya, dan akan dihubungkan ke stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Setia Jaya dan sistem LRT yang sedang dibina di USJ 7 yang akan dibuka tahun depan.
   
Sementara itu Ismail dalam ucapan alu-aluannya berkata BRT-Sunway Line akan beroperasi mulai esok di tujuh stesen iaitu Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dengan USJ7 sebagai stesen terakhir dengan kemudahan 'park and ride' turut disediakan.
   
Katanya 15 bas mesra alam akan digunakan dengan setiap bas boleh memuatkan 67 orang, termasuk penumpang berdiri, pada satu-satu masa.
   
Beliau berkata, BRT-Sunway Line akan memberi perkhidmatan kepada 500,000 penduduk di Bandar Sunway dan Subang Jaya.
   
Ismail berkata, dijangkakan 2,400 penumpang setiap jam akan menggunakan perkhidmatan itu tahun ini dan jumlah itu diramalkan meningkatkan kepada 5,200 orang pada tahun 2035.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive