RAPID

Sunday, August 14

TUN MAHADIR SUKA LUDAH LANGIT JATUH KE MUKA SENDIRI....?


Ketika menyahut cabaran parti Semangat 46 yang ditubuhkan pada 1988 dengan matlamat menguburkan Umno, presiden Umno, Datuk Seri Mahathir Mohamad menggelar parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah itu sebagai serpihan Umno.

Beliau mendakwa Semangat 46 sebenarnya hanya serpihan perjuangan Umno yang gagal dikuasai oleh Tengku Razaleigh apabila tewas dalam perebutan jawatan presiden dengannya pada 1987.

Dr Mahathir menyifatkan Semangat 46 tiada halatuju kecuali ingin melunaskan dendam kesumat Tengku Razaleigh yang sebelum itu dua kali kecundang merebut jawatan Timbalan Presiden Umno ketika menentang  Tun Musa Hitam.

Secara sinis Mahathir juga memperli usaha politik Semangat 46 sebagai strategi cacamarba kerana cuba menjalin kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain terutama PAS tanpa platform politik yang disepakati.

Itu adalah kisah politik 28 tahun lalu. Ketika itu Dr Mahathir berkuasa penuh dalam parti Umno Baru yang didaftarkan berikutan pengharaman Umno dek masalah pengurusan pemilihan parti.

Malah dalam kerajaan ketika itupun Dr Mahathir tiada saingan. Pembangkang seperti PAS dan DAP terlalu kerdil di segi bilangan kerusi yang dimiliki dan tersergap dalam klise politik sebagai “cauvinis” dan “ekstremis” agama.

Cita-cita Semangat 46 untuk menjadi parti dominan dalam politik Malaysia tidak kesampaian. Jodoh kerjasama dengan PAS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) juga tidak panjang.

Kejayaan paling besar Semangat 46 ialah membantu PAS merampas Kelantan dalam pilihanraya umum 1990. Sehingga kini negeri itu masih diperintah PAS.

Kini keadaan sudah agak terbalik. Mahathir pula menubuhkan parti politik baru – Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) – untuk menumbangkan Umno seperti yang pernah diusahakan oleh Tengku Razaleigh melalui Semangat 46.

Namun Tengku Razaleigh tidak pula teruja episod perjuangan politiknya itu diulangi. Malah beliau kini lebih waras dan ‘berpijak di bumi nyata’ dengan ikrar kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Umno.

Bagi Ahli Parlimen Gua Musang itu, Bersatu bakal berhadapan kesukaran menarik orang ramai menyertai parti itu.

Pandangan itu bersandarkan pengalamannya menegakkan parti Semangat 46 ketika Mahathir adalah perdana menteri dan presiden Umno. Kini pembangkang berhadapan dengan Najib yang juga perdana menteri dan presiden Umno.

"Bukan mudah (tubuh parti baru) tapi Mahathir dengan pengaruhnya dan kedudukannya mungkin dapat menarik ramai orang untuk menyokongnya.

“Tetapi seperti yang kita tahu, kerajaan akan menggunakan kemampuan yang ada untuk menyekat orang menyokong pembangkang," katanya.

Tambahan pula, katanya, kini pembangkang sedang berdepan konflik sesama sendiri yang boleh menggugat kepercayaan penyokong terhadap mereka.

"Pembangkang sekarang pun dilihat tidak bersatu, berpecah belah dan pimpinannya tidak memberi hala tuju yang menentu yang boleh menarik minat rakyat untuk menyokongnya.

"Jadi oleh kerana itu saya rasa susah jugalah sesiapa di pihak pembangkang untuk menarik sokongan orang ramai. Apatah lagi tindakan-tindakan itu tidak menjurus kepada perpaduan rakyat secara keseluruhan," ujarnya.

Katanya, faktor lain, seperti hakikat bahawa Umno masih utuh dan masyarakat bukan Melayu tidak layak menjadi ahli Bersatu adalah antara halangan dan cabaran untuk parti baru itu.

Tengku Razaleigh tidaklah ‘memulangkan paku buah keras’ dengan memperli Bersatu sebagai parti serpihan Umno dan terpasung pada politik cacamarba sepertimana pernah Mahathir ‘mengejek’  perjuangan Semangat 46.

Usia mungkin menyebelahi pertimbangan Tengku Razaleigh dan menjadikan beliau lebih berimbang dalam menegur atau mengkritik.

Bagaimanapun yang agak mengelirukan ialah pendirian PKR yang pernah  menjadi peneraju Pakatan Rakyat ketika Anwar menjadi Ketua Umumnya. Tiba-tiba PKR menyokong kehadiran Bersatu dalam blok pembangkang.

Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dan kemarahannya terhadap cara Mahathir memperlakukan Anwar dan keluarganya, tidak istiqamah pendirian politiknya.

Selain membuat komen kecil falsafah Bersatu pimpinan Mahathir yang dianggap eksklusif untuk pribumi sahaja, Azizah masih mahu menjalin hubungan politik dengan parti baru Mahathir.

“PKR sentiasa terbuka (kepada idea bekerjasama dengan Parti Pribumi),” kata Azizah dalam sidang medianya kelmarin.

Azizah mungkin bercakap dalam konteks untuk menggembleng kekuatan pembangkang bagi memberi cabaran berkesan terhadap Umno-BN.

Bagaimanapun ini menimbulkan persoalan mengapa Anwar Ibrahim berusaha menulis warkah dari penjara mengingatkan pimpanan PKR agar tidak ‘terlalu terkesima’ dengan pendekatan politik Mahathir.

Ketika Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh, Anwar adalah di antara pemimpin muda yang paling tegas membela Mahathir. Bagaimanapun apabila Anwar dilihat lebih menonjol kepimpinannya, beliau dijadikan sasaran oleh ‘pemakan dedak Mahathir’ untuk dijatuhkan.

Hingga hari ini Anwar mendakwa bahawa beliau difitnah oleh Mahathir dan konco-konconya dalam kes meliwat pemandu isterinya hingga diperosok dalam penjara dari 1999 hingga 2004.

Kenyataan Azizah mungkin cuba membina diplomasi bermakna bagi pembangkang, namun sikap lunak itu ‘diraikan’ oleh kumpulan dalam PKR sendiri sebagai menyokong pendirian mereka untuk merapati politik Mahathir.

Sekaligus ini mengukuhkan lagi kempen golongan dalam PKR itu yang yakin mereka lebih ‘sesuai dan berkesan’ untuk memimpin parti dan bukan Azizah yang sudah menjawat kedudukan presiden sejak 18 tahun lalu.

Ketidakseragaman pemikiran dan pendekatan politik dalam PKR ini juga terpancar dalam hubungan parti itu dengan PAS dan DAP.

Selepas PRN Sarawak dan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, hubungan PKR dengan PAS dan DAP kelihatan masih belum betah. Hubungan ini kemudian dicalar dengan pendirian PKR tidak menyokong PRN Pulau Pinang diadakan.

Pemerhati politik seperti Tun Musa Hitam meramalkan bahawa dalam keadaan agak ‘gawat’ pembangkang ini, kerajaan Umno-BN mungkin menggerakkan PRU ke-14 dalam tempoh terdekat.

Rasional beliau ialah Umno-BN mungkin menyambar peluang kerapuhan kerjasama pembangkang untuk meminimumkan cabaran yang mampu pembangkang berikan.

Soalnya, sempatkah Mahathir merendahkan sedikit ego politiknya dan Muhyiddin Yassin mengendurkan sikap aristokratnya dan menjadi lebih peramah dan jelas pemikiran politiknya seperti Anwar Ibrahim?

Dalam banyak hal sikap feudalistik Mahathir masih tebal seolah-olah kepemimpinan adalah hak mutlaknya. Adakah beliau berhasrat menggantikan Anwar sebagai demang politik pembangkang?

Pemuda DAP pula awal-awal lagi sudah membuat pendirian keberatan bekerjasama dengan parti Mahathir yang dianggap rasis itu.

Sebaliknya jika pilihanraya umum disegerakan, dan Umno bersikap lebih budiman dan sematang PAS dalam menilai kepentingan Melayu-Islam, tidakkah Bersatu akan turut ‘mati berangan’?

3 comments:

Anonymous said...

Tun M tak suka ludah sebab dia bukan jenis pengotor dan penjilat

Anonymous said...

Tuduh 1mdb...
Pelaburan forex rugi rm30b..
Skandal BMF sampai saksi mati...
Skandal PKZF...rugi berbillion2 ringgit..
Perwaja Steel...rugi berbillion2 ringgit...
Hakim kena singkir..
Bailout guna wang rakyat...berbillion2 ringgit tak diganti...
Perjanjian tol n ipp berat sebelah...tanpa rundingan
Ada lagi...tolong tambah...malaslah nak sebut...
Betul2 meludah ke langit org tua tu...munafik!!!!

Anonymous said...

Dia la paling pengotor dan penjilat kpd komunis limsial...hati pon masok kuman asyik klr masok ijn. Terang lagi bersuluh. Buta!

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive