Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meluluskan semua permohonan kerajaan pusat untuk membina rumah mampu milik di negeri ini sekiranya ikhlas untuk membantu rakyat.
Abdul Rahman berkata kerajaan negeri pimpinan DAP tidak akan rugi satu sen pun sekiranya meluluskan permohonan itu.
Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya memberi ruang seluas-luasnya untuk membina rumah mampu milik, sebagaimana yang diberikan kepada pemaju-pemaju di negeri ini.
"Saya minta Lim luluskan semua projek pembinaan rumah mampu milik oleh kerajaan pusat esok sekiranya beliau jujur ingin membantu rakyat Pulau Pinang untuk memiliki rumah," katanya.
Tambahnya, kerajaan pusat melalui agensi-agensinya seperti JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) membuat banyak permohonan itu sejak tiga bulan lepas namun sehingga sekarang pihak kerajaan negeri masih enggan meluluskannya atas alasan tidak mematuhi syarat.
Abdul Rahman berkata, hasil kajian yang dibuat kerajaan mendapati 30,000 penduduk Pulau Pinang sedang menunggu rumah mampu milik yang bukan hanya rumah kos rendah, tetapi termasuk rumah kos sederhana rendah dan kos sederhana.
"Walaupun BN tidak memerintah Pulau Pinang, kami ikhlas untuk membantu penduduk Pulau Pinang tetapi kuasa untuk meluluskannya di tangan kerajaan negeri," katanya.
Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata Lim ini terlalu sibuk berpolitik sehingga mengabaikan isu perumahan penduduk Pulau Pinang.
Beliau berkata, pengundi Permatang Pauh seharusnya mengambil peluang Pilihan Raya Kecil (PRK) ini untuk memberikan Pakatan Pembangkang ini satu tamparan politik kerana gagal dalam menyelesaikan masalah rakyat.
"Saya berharap penduduk Permatang Pauh ini harus bangun dan bertindak terhadap permainan politik pembangkang dengan mengundi BN kerana hanya kerajaan BN yang betul-betul ikhlas dalam membantu untuk menyelesaikan masalah mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment