Wednesday, August 10

Puak Progresif (Erdogan) PAS.



Serbuan yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara (DUMC) menimbulkan pelbagai persoalan penting berkenaan visi Pas dan komitmen mereka terhadap pluralisme serta Pakatan Rakyat.

Pendekatan berbeza dua pemimpin parti itu di Selangor dengan Hassan Ali di belakang Jais, dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menentang keras serbuan Jais itu jelas menunjukkan, langkah untuk membawa mesej moderat parti Islam itu, tidak selicin yang disangka ramai.

Serbuan tersebut sememangnya meresahkan pengundi moderat seluruh negara, kerana beberapa minggu sebelumnya, kerajaan Kedah yang dipimpin Pas telah mengarahkan pusat-pusat hiburan ditutup sepanjang Ramadan, tanpa berunding dengan teman-teman Pakatan Rakyat.

Dua insiden ini memberi gambaran jelas bahawa kini terdapat pertembungan untuk menguasai roh perjuangan parti, sama ada untuk bergerak kepada pendekatan yang menyeluruh untuk seluruh rakyat Malaysia atau berlindung dengan laungan ketuanan Melayu dan Islam. Namun demikian, kita seharusnya melihat ini secara objektif.

Pertama, sebagai parti yang sebahagian besarnya Melayu, Pas tidak terkecuali daripada politik kekeluargaan dan berpuak-puak. Oleh itu, apabila penganalisis politik berbicara tentang pertikaian dalaman kita mesti berhati-hati untuk menentukan, sama ada ia pertembungan ideologi atau semata-mata bersifat dinastik dan juga mungkin serangan peribadi.

Sebagaimana kita sedia maklum, puak progresif di dalam Pas menang besar ke atas puak konservatif dalam pemilihan jawatankuasa pusat. Khalid (progresif) dan Hassan (konservatif) turut terpilih dalam jawatankuasa pusat itu. Namun, Hassan digugurkan dari jawatan Komisioner Pas Negeri Selangor ekoran beberapa tindakan beliau sebelum ini yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan Pas seperti isu penjualan arak di Selangor.

Adakah insiden ini merupakan platform yang digunakan puak ulama untuk meraih perhatian nasional? Atau adakah ini perjuangan peribadi Hassan untuk kekal berpengaruh di Selangor? Hassan menegaskan, beliau rela hilang kedudukannya dalam politik sebagai Exco Kerajaan Negeri dan mungkin juga jawatan dalam parti demi mempertahankan kesucian Islam secara tidak langsung menyerang rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat yang dahagakan pangkat dan pengaruh politik tanpa mengendahkan kepentingan agama.

Kedua, jika kita teliti, badan seperti Jais dan pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia sering bertindak secara bebas daripada kawalan politik. Badan-badan ini seolah-olah menuntut imuniti daripada undang-undang hanya kerana mereka menegakkan syiar Islam. Hakikatnya, mereka ini badan awam dan bukannya dipilih secara langsung oleh rakyat. Ada benarnya pandangan, birokrat lebih bermasalah berbanding ahli politik.

Namun, ini tidak seharusnya mengalihkan perhatian kita daripada isu sebenar yang dihadapi Pas. Hasan dan Khalid adalah antara pemimpin yang bakal mewarisi pucuk pimpinan parti daripada Hadi Awang dan Nik Aziz. Justeru, Pas perlu memutuskan dengan segera, tentang visi politik masa depan yang dimahukan parti itu jika ia benar-benar serius untuk menjadi sebuah parti arus perdana.

Jika Pas mahukan lebih pengaruh politik, ia harus mempromosikan konsep-konsep politik yang dibawanya seperti negara kebajikan dan mengurangi retorik agama dan tindakan melulu seperti serbuan ke atas DUMC.

Sesungguhnya, Pas sedang cuba bertindak untuk mengimbangkan asas sokongan parti itu- mengekalkan pengaruh mereka di kawasan luar bandar, dan pada masa sama cuba menarik pengundi bandar yang berbilang kaum dan kontemporari.

Ini sememangnya dijangka: wacana politik Melayu sememangnya berpecah antara mengekalkan tradisi atau memodenkan pemikiran bangsa.

Sementara itu, kita juga perlu bertanya mengapa PKR yang mengetuai kerajaan Selangor, kekal senyap dalam isu ini, adakah mereka dibelenggu kes mahkamah Anwar Ibrahim? Atau adakah mereka yakin untuk bergantung sepenuhnya pada sokongan bukan Melayu bagi mengekalkan Selangor pada pilihan raya depan? Kita juga perlu bertanya, adakah DAP masih lagi penggerak agenda utama Pakatan Rakyat?

Ternyata dalam lapangan politik hari ini, rakyat tidak begitu mudah memaafkan, dan akan menghukum sesiapa sahaja, baik Pas mahupun UMNO jika mereka tidak memenuhi kehendak rakyat dan tuntutan pluralisme. Seperti telah saya katakan sebelum ini, kita tidak lagi mungkin menjauhkan diri daripada konsep politik berbilang kaum.

Sama ada kita memilih untuk meneraju politik ini dan berhadapan dengan implikasi berkaitan, atau kita akan terus terasing daripada perkembangan global.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive