Operasi memindahkan gerai peniaga oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan PDC Setia Urus di konkos aras tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kecoh selepas seorang peniaga mengamuk apabila gerainya ‘diusik’ oleh penguat kuasa.
Peniaga barangan kulit, Mohamed Ghani Abdul Jiman, tidak berpuas hati dengan tindakan penguat kuasa yang cuba mengalihkan gerainya tanpa memberi sebarang notis terlebih dahulu.
Beliau yang berang melihat gerainya cuba dialihkan penguat kuasa, mencabar beberapa pegawai Kerajaan Negeri untuk bertarung dan berdebat dengannya sebelum meneruskan operasi berkenaan.
Ghani yang juga Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar berkata, selama ini beliau tidak pernah dijemput oleh mana-mana pihak untuk berbincang mengenai perkara itu sebaliknya hanya mengetahui tindakan berkenaan selepas dimaklumkan pekerjanya awal pagi semalam.
“Saya tak dipanggil untuk bermesyuarat dan notis mengenai perpindahan ini juga saya tak terima. Ini bermakna gerai saya tidak terlibat dengan perpindahan ini. Jadi kenapa mereka perlu ganggu gerai saya.
“Saya bayar sewa dan semua barang di sini adalah milik saya. Jadi mereka tidak ada hak untuk mengalihkan barang saya sesuka hati tanpa memberi sebarang notis,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Mohamed Ghani berkata, pada 28 Februari lalu, Kerajaan Negeri menjemput peniaga untuk berbincang mengenai perkara itu namun hanya menjemput 16 peniaga sedangkan 17 peniaga yang terlibat.
Dalam mesyuarat itu, Kerajaan Negeri pada mulanya mengarahkan semua peniaga berpindah ke aras empat namun mengubah fikiran sebaliknya meminta peniaga berpindah ke kawasan lain di aras tiga.
READ MORE.
No comments:
Post a Comment