RAPID

Wednesday, September 24

BILA MUSIM MENGUNDI BARU DILULUSKAN PROJEK "GULA-GULA" PENGUNDI #PRKPengkalanKubur @MpKotaBelud


Sehari suntuk saya berada di Pengkalan Kubor (PK) hari ini berkempen untuk calon BN. Saya umumkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta untuk projek-projek infrastruktur dan penyelenggaraan di DUN PK.

Dalam sidang media saya di penghujung program, media ada bertanya apa komen saya mengenai tuduhan sesetengah pihak kononnya BN hanya umum projek bila ada pilihanraya kerana wakil rakyat sesuatu kawasan itu meninggal dunia.


Saya tidak setuju dengan pandangan itu. Setiap tahun kerajaan menyediakan bajet negara. Dalam bajet itu ada senarai projek-projek yang ingin dilaksanakan di seluruh kawasan di negara kita untuk sepanjang tahun.

Projek-projek yang diumumkan oleh kerajaan dalam pilihanraya kecil sebenarnya sudah diputuskan awal. Dan oleh kerana para pengundi di kawasan pilihanraya kecil itu bakal membuat perhitungan, sudah tentu kerajaan mahu umumkan apa yang telah dan bakal dilaksana di kawasan tersebut.

Takkan lah kerajaan berdiam sahaja sehinggakan rakyat di situ tidak tahu mengenai rancangan kerajaan BN. Sudah tentu kerajaan BN mahu rakyat memilih calon BN berdasarkan perancangan kerajaan BN yang telah dan bakal dibuat di kawasan tersebut. Caranya ialah untuk mengumumkan projek-projek tersebut.

Saya bagi contoh kementerian saya. Sebelum ini arwah YB Datuk Moor Zahidi Omar ada mengemukakan permohonan untuk pembangunan infrastruktur kepada Jabatan Kerajaan Tempatan di bawah kementerian saya. Kementerian saya telah menerima dan meluluskan permohonan itu sebelum arwah meninggal dunia lagi.

Apakah saya hanya berdiam diri dan tidak memaklumkan kepada pengundi di situ, sedangkan sebahagian permohonan itu adalah dari permohonan langsung dari arwah dan sebahagiannya memang dirancang oleh kementerian saya untuk kawasan Pengkalan Kubor?

Kalau saya tidak umumkan sudah tentu pengundi di situ akan menyalahkan kerajaan BN kerana tidak bertindak terhadap permohonan arwah YB Datuk Noor Zahidi. Saya tidak mahu mengambil risiko itu sedangkan kelulusan telah diberi lebih awal lagi!

Sebenarnya pengumuman seperti ini adalah perkara biasa. Saya masih ingat dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor tahun 2010. Kerajaan negeri Pakatan juga umumkan macam-macam projek dan peruntukan kepada pengundi di Hulu Selangor.

Yang lebih teruk lagi ialah bila ada parti yang janjikan syurga kepada pengundi mereka. Bayangkan, mereka tabur janji masuk syurga sedangkan saya cuma umumkan peruntukan bersihkan longkang dan baiki jalan. Kenapa janji syurga itu tidak dipertikaikan?

Dato' Abdul Rahman Dahlan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive