Friday, February 25

Pas buang masa bertanding PRK Kerdau, Merlimau


Keyakinan Pas untuk menawan kedua-dua kawasan terbabit ibarat 'katak puru yang yakin kulitnya akan licin apabila bunyi guruh' tetapi keyakinan itu tidak pernah menjadi realiti sejak turun temurun.


Di Kerdau, daripada 8,451 pengundi berdaftar, sebanyak 89.04% adalah Melayu, 5.62% Cina, 3.59% India dan 1.75 % lain-lain bangsa manakala di Merlimau daripada 10,471 pengundi berdaftar, sebanyak 64.69% adalah Melayu, 21.11% Cina, 14.16% India dan 0.04% adalah bangsa-bangsa lain. Maknanya di kedua-kedua kawasan itu, majoritinya adalah penduduk Melayu.


Seandainya Pas meletakkan calon di kedua-dua kawasan dan diatur pula dengan siri kempen oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, penulis yakin jumlah majoriti UMNO/BN akan meningkat dengan banyaknya kerana orang Melayu pasti tidak akan lupa dengan pengakuan Nik Aziz yang tidak bangga menjadi Melayu dan dilahirkan sebagai Melayu.


Orang Melayu juga pasti tidak mahu bersekongkol dengan parti yang dipimpin dan dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam yang menganggap sesiapa tidak menyokongnya tidak layak masuk ke syurga. Kenyataan itu jelas ditujukan kepada mereka yang mengundi calon UMNO/BN tetapi pada masa yang sama, boleh pula bekerjasama, malah boleh 'tunduk' kepada parti yang pemimpinnya anti-Islam secara terang.


Harus diketahui oleh para pemain politik dan parti politik, pengundi sekarang bukan cetek ilmu pengetahuan dan maklumat macam dulu, malah di Kerdau mahupun di Merlimau, yang lebih berilmu dan lebih beriman serta bertakwa daripada Nik Aziz ada berlambak-lambak, cuma mereka tidak tonjol diri, apatah lagi menggazetkan diri mereka sebagai 'tok guru', 'ulamak', 'mua'lim', 'maulana' dan sebagainya kerana mereka tidak ada kepentingan politik.


Ertinya, ekoran keceluparan Nik Aziz yang bersifat strategi politik kepartian bagi menarik pengundi bukan Melayu dan pengundi bukan beragama Islam sehingga sanggup menyatakan beliau tidak bangga dilahir dan menjadi Melayu, ia menjadi suatu wabak, virus dan sindrom yang boleh menyebabkan Pas kehilangan sokongan Melayu, malah parti itu bukan sahaja akan tumpas pada pilihan raya-pilihan raya kecil tetapi juga pasti akan tumpas pada pilihan raya umum nanti.


Kalau pihak pembangkang letak calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP, calon-calon dari parti-parti berkenaan juga akan kecundang kerana pendekatan politik mereka tidak ada beza, yakni sama-sama sekularisme.


Ertinya pihak pembangkang sama ada mempertaruhkan calon Pas atau PKR atau DAP, mereka hanya akan membuang masa, wang dan tenaga untuk bertanding di Kerdau dan Merlimau. Lebih baik wang itu digunakan oleh Pas untuk membantu fakir miskin termasuk memberi subsidi harga barangan keperluan harian kepada rakyat di negeri-negeri yang diperintah.


Dengan majoriti yang dipungut oleh Allahyarham Zaharudin Abu Kassim di Kerdau sebanyak 1,615 selepas memungut 4,132 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), manakala lawannya dari Pas hanya memungut 2,520 undi, adalah amat sukar bagi Pas untuk menumbangkan UMNO/BN.
Penulis yakin jumlah majoriti penyokong UMNO/BN akan meningkat lebih tinggi memandangkan UMNO/BN sedang berdepan dengan revolusi dan reformasi pemulihan sokongan yang amat ketara, terutama di kalangan orang Melayu. Harus diingat faktor yang menyebabkan UMNO/BN gagal mendapat majoriti 2/3 pada PRU-12 bukan kerana sokongan terhadap UMNO merosot, sebaliknya yang tumpas adalah parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN atas beberapa faktor yang kini sudah dikenal pasti dan diatasi oleh pimpinan BN.


Keinginan Pas atau mana-mana parti pembangkang untuk menawan Merlimau juga ibarat sang pungguk yang mahu ke bulan. Ini kerana kalau difikirkan secara waras, bukan mudah untuk Pas atau mana-mana parti pembangkang menambah pungutan undi lebih daripada 5,087 undi berbanding dengan undi yang diperoleh pada PRU-12, yakni jumlah majoriti yang dipungut oleh Allahyarham Datuk Mohd. Hidhir Abu Hassan.


Apa pun jentera UMNO/BN tidak boleh leka dan ambil mudah dalam menghadapi lawan, sebaliknya kena bekerja kuat bukan untuk menang kerana insya-Allah kemenangan sudah dalam genggaman. UMNO/BN perlu bekerja kuat untuk meningkatkan jumlah majoriti yang dipungut.


Jangan ikut rentak lawan yang menabur fitnah, provokasi dan fakta yang diadakan-adakan ketika berkempen, sebaliknya berpolitiklah secara sihat dan yang dihalalkan oleh Islam supaya UMNO/BN tidak akan dikifarah sebagaimana Pas sedang berdepan dengan siri kifarah kerana pendekatan politik pimpinan parti berkenaan tidak sama antara yang diucap pada mulut dan yang terselit di hati.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive