Wednesday, October 20

Pembangkang Caca-Marba, PenglipurLara Dongengkan Cerita – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengibaratkan parti-parti pembangkang sebagai caca-marba dan mudah melupakan matlamat asal parti masing-masing semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara.
Timbalan Presiden UMNO menegaskan, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing.
‘‘Mereka caca marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipurlara yang mendongengkan cerita.
‘‘Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,’’ tegasnya.
‘‘Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa dan mencerca sesama bangsa,’’ tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC di sini malam ini.
Turut hadir pemimpin tiga sayap iaitu Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Muhyiddin berkata, ada kalangan parti politik pembangkang yang segan silu untuk berbicara mengenai matlamat parti mereka.
Mereka katanya, berbuat demikian kerana takut kehilangan sokongan rakan dan penyokong yang baru.
‘‘Malah mereka sanggup berdolak-dalik. Kepada penyokong setia berkata lain, kepada rakan baru berkata lain.
‘‘Walaupun berbeza pandangan dan prinsip dalam banyak perkara, mereka sanggup berdiam diri dan mengalah saja.
‘‘Malah mereka memberikan pelbagai alasan untuk membela rakan-rakan bersekedudukan. Dulu musuh ketat, dituduh kafir dan keparat, kini jadi sahabat, dipeluk rapat-rapat,’’ tegasnya
Menurut beliau lagi, parti politik ini juga berlumba-lumba membongkar korpus-korpus perbendaharaan politik Islam bagi menghalalkan tahalluf siasiy- persefahaman politik sementara bagi mencapai matlamat sebenar.
Mereka kata Muhyiddin, menggunakan kaedah sirr iaitu merahsiakan niat sebenar dan matlamat perjuangan serta prinsip maslahah siasah iaitu melakukan sesuatu demi kepentingan politik.
‘‘Ada pula yang sanggup berpegang kepada konsep taqiyyah, berpura-pura bagi menyembunyikan matlamat utama yang hendak dicapai.
‘‘Tindakan mereka ini tidak ubah seperti pepat di luar runcing di dalam,’’ tegasnya.
Muhyiddin turut melontarkan beberapa pertanyaan antaranya apakah tindakan yang dilakukan oleh parti politik itu akan menyebabkan rakan-rakan baru mereka mengubah prinsip dan mula menyokong matlamat parti mereka dan adakah mereka benar-benar ikhlas untuk bersahabat.
‘‘Jawapannya kita semua tahu, tidak sama sekali. Jauh panggang dari api.
‘‘Rakan-rakan baru ini masih memusuhi matlamat yang mereka dukung dahulu, masih tegar menolak syariat Islam, masih kuat memusuhi negara Islam, masih alergik dengan perkataan dakwah Islam, masih tebal faham sekularisme, masih sarat dengan cauvinisme yang mewujudkan kebencian sesama umat.
‘‘Tetapi mengapakah mereka sanggup bersekongkol dengan rakan-rakan baru ini? Jawapannya mudah. Kuasa. Bagi mereka kuasa politik adalah segala-galanya,’’ tegas beliau lagi.
Permainan politik ini kata Timbalan Perdana Menteri, tidak akan membawa apa-apa keuntungan.
Katanya, kuasa yang diperolehi cuma sedikit sahaja malah mereka tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk melaksanakan agenda parti, kerana kelangsungan kuasa mereka bergantung kepada sokongan orang lain.
Lama kelamaan kata beliau, penyokong sendiri sedar bahawa parti yang mereka sokong, pemimpin yang mereka dukung, tidak boleh melaksanakan cita-cita mereka.
‘‘Parti itu menjadi lemah kerana penyokong tidak lagi bersama mereka. Untuk mempertahankan kuasa yang sedikit, mereka semakin bergantung kepada sokongan parti lain. Tiada lagi roh perjuangan. Yang ada cuma sekelumit kuasa yang kehilangan makna. Pokoknya, parti ini menjadi hamba kepada kuasa, ‘’ kata beliau.
Bagaimanapun kata Timbalan Presiden UMNO, UMNO tidak sedemikian dan sentiasa istiqamah dengan sumpah perjuangan.
UMNO tegas beliau, tidak pernah tergelincir daripada landasannya.
Beliau menegaskan sifat keadilan, akomodatif dan inklusif Melayu yang ada pada UMNO menjadikan ia parti yang tidak pernah mengkhianati atau menzalimi kaum atau agama lain.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive