Thursday, October 21

Pemimpin UMNO Perlu Bersikap Rendah Diri.

Wakil dari Melaka, Datuk Mohd Said Yusof menegur sikap segelintir pemimpin UMNO yang suka menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan rasa kebencian di kalangan rakyat bukan sahaja kepada pemimpin terbabit tetapi turut membabitkan parti.
Menurutnya, pemimpin seharus bersikap rendah terutama ketika bersama rakyat dan tidak perlu menunjukkan kekayaan dimiliki kerana perbuatan itu bercanggah dengan prinsip perjuangan parti untuk memperjuangkan nasib bangsa yang masih ketinggalan berbanding bangsa lain.
“Kita jangan beria-ria nak tunjuk (kekayaan).  Ketika saya jadi Ketua Pemuda Jasin, saya tengok Allahyarham Tun Ghafar Baba (bekas Timbalan Perdana Menteri), bila dia datang masjid untuk sembahyang Jumaat, dia tak duduk di barisan depan, dia duduk tepi tangga, tepi (tempat) orang ambil air sembahyang, nak tunjuk punya rendah diri dia.
“Lain pula jadi dengan segelintir pemimpin, masuk kampung tunjuk kita punya Porsche Cayenne, tunjuk kita punya baju kot mahal, mana orang kampung nak terima, silap-silap orang kampung tuduh kita makan rasuah,” katanya.
Menurutnya, dalam ingin melakukan apa jua perkara, ahli UMNO terutama pemimpin perlu memikirkan terlebih dahulu terhadap apa jua tindakan yang ingin dilakukan kerana memberi kesan kepada parti sama ada postif ataupun negatif.
Sementara itu, Perwakilan Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden, membangkitkan bagaimana akhlak Rasulullah  kepada kaum bukan Islam sehingga dapat menarik minat mereka untuk mengiktiraf agama tersebut dan kemudiannya memeluk Islam.
“Inilah cara sebenar untuk menarik golongan lain mendekati Islam dan bukannya dengan cara sanggup mengatakan tidak berbangga dengan bangsa sendiri hanya kerana mahukan undi dan sokongan dari golongan bukan Islam,” katanya yang mengulas berkaitan telatah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Jelasnya lagi, kita perlu mengaplikasikan cara hidup Rasulullah dalam setiap yang dilakukan termasuklah berani untuk berubah dan bersedia untuk melakukannya.
“Untuk lakukan perubahan bukannya hanya dengan bercakap semata-mata tetapi kita mesti ada ilmu. Jika kita tidak berilmu, tidak ada pengetahuan maka kita tidak akan dapat melakukan apa-apa untuk diri kita apatah lagi bangsa dan agama kita,” hujahnya.
Sikap agresif pihak pembangkang dalam program mendaftar pengundi baru mendapat perhatian Wakil Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin dan perlu diambil perhatian dan bukannya menganggap sebagai satu keadaan biasa.
“Survival UMNO bergantung kepada angka. Saya berasa sangat khuatir kerana di kalangan orang UMNO ramai yang masih menganggap ‘satu keadaan biasa’, sedangkan angka-angka semasa sepatutnya menggerakkan kita dalam mood peperangan.
“Kita tidak mahu orang lain mengambil alih tempat kita di Putrajaya hanya kerana kita lalai dalam memberi perhatian terhadap angka,” katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Beliau berkata terdapat 11.2 juta pengundi berdaftar di Malaysia tidak termasuk 4.3 juta yang layak mengundi tetapi masih belum berdaftar, 1.9 juta adalah orang Melayu yang layak mengundi tetapi masih belum berdaftar.
“UMNO perlu mengambil kira angka tersebut kerana sekiranya mereka berdaftar apakah mereka akan mengundi Barisan Nasional (BN) dan apakah tindakan untuk memastikan mereka memilih parti yang memerintah, yakni BN,” katanya.
Lain pula dengan Wakil Wilayah Persekutuan ,Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoffketika mengambil bahagian dalam perbahasan mendakwa wujud anggota DAP dan PKR dalam parti komponen BN yang bertujuan untuk memecahbelahkan parti.
Menururtnya, wakil rakyat haruslah tidak terbatas kepada hirarki Umno bahagian sahaja tetapi turut memberi peluang kepada anggota dipercayai dan diyakini rakyat.
“Kalau Ketua Bahagian tidak layak, kita naikkan Naib Ketua Bahagian dan kalau tidak layak juga, beri kepada sesiapa yang layak supaya kita boleh menang,” katanya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive