PULAU PINANG 25 Jun – Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang didakwa mengambil tanah wakaf Masjid Jalan Tengah di sini dan menjualnya kepada pihak ketiga untuk tujuan komersial, mengundang kemarahan kariah masjid berkenaan.
Kira-kira 50 ahli kariah masjid termasuk anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun bagi membantah serta menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan MPPP itu.
Mereka mendakwa, MPPP telah meluluskan permohonan untuk mendirikan premis menjual kenderaan bersebelahan masjid berkenaan.
Kariah terlibat turut membawa bersama kain rentang yang tertera perkataan-perkataan seperti Malik Kassim Exco Agama Zalim dan Kerajaan Pulau Pinang Tindas Umat Islam.
Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, beliau kesal dengan tindakan MPPP yang tidak peka dengan perkara tersebut.
“Dulu tanah wakaf ini ada empat buah rumah. Pada 1970-an, MPPP telah mengambil kawasan ini untuk dijadikan jalan belakang bagi laluan awam.
“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan MPPP telah menjual laluan ini kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan pengerusi masjid,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan di sini hari ini.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati laluan awam tersebut telah ditutup dengan kepingan zink.
Menurut Mohd. Yussof, MPPP sepatutnya menyerahkan semula tanah terbabit kepada pihak masjid.
Sehubungan itu, beliau akan meneliti perkara berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika terbukti MPPP tidak mengikut peraturan sepatutnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung, Jeffri Salim memberitahu, laluan awam tersebut ditutup sejak sebulan lalu.
Katanya, selain menyusahkan orang ramai yang mahu bersembahyang di situ, ia juga mengundang risiko kepada jemaah jika berlaku kecemasan kerana tidak cukup ruang untuk menyelamatkan diri.
Catatan MKP sebelum yang memaparkan segala-galanya.BACA DISINI
No comments:
Post a Comment