Tuesday, June 28

Pas Kelantan ‘buang 26 gerai bernilai RM2j’?



BERAPA banyak wang rakyat yang perlu dibazirkan oleh kerajaan Pas Kelantan bagi menyelesaikan kemelut perpindahan peniaga Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru?

Persoalan itu wajar dibangkitkan selepas sebuah akhbar menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari mengenai apa yang beliau dakwa penyelesaian ke atas isu tersebut.

Menurutnya, “penyelesaian itu satu penyelesaian yang terbaik dalam situasi menang-menang khususnya kesudian kerajaan negeri memenuhi sebahagian tuntutan para peniaga Pasar Lama MPKB dengan meluluskan cadangan membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta.”

Bazar Tok Guru merupakan projek usahasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan syarikat Sensatimur Sdn. Bhd. (SSB).

Sebelum ini, sebuah blog mendedahkan kerajaan negeri kerugian RM50 juta apabila mengambil semula bazar tersebut daripada pemaju dan pendedahan tersebut tidak pula dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lantaran itu, timbul persoalan, beginikah bentuk negara berkebajikan yang hendak diperjuangkan oleh Pas, apabila sanggup ‘membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta’ semata-mata untuk meraih kembali sokongan peniaga terbabit?

Tindakan ‘membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta’ itu dibuat ketika pemimpin kerajaan Pas Kelantan sering melaung- laungkan mereka sebuah kerajaan yang berhemah dalam membelanjakan wang rakyat.

Bagi kebanyakan rakyat Kelantan, wang sebanyak RM2 juta itu merupakan jumlah yang besar. Ia perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dan tidak sepatutnya ‘hangus’ begitu sahaja, disebabkan kelemahan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah Bazar Tok Guru.

Perlu diingat, kemelut perpindahan peniaga Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru timbul akibat kegagalan kerajaan Pas Kelantan menunaikan janji yang dibuat menjelang Pilihan Raya Umum 2008, iaitu menyediakan lot gerai yang selesa dan mampu milik.

Lantaran itu, peniaga terbabit bangkit menuntut janji tersebut dengan bantuan UMNO dan media arus perdana, terutama Utusan Malaysia, akhbar yang sering menjadi sasaran rasa tidak puas hati pemimpin Pas.

Kemuncak bantahan mereka ialah mengadakan bantahan di hadapan Istana Balai Besar bagi menuntut campur tangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Maka itu, tidak timbul sama sekali dakwaan UMNO memanipulasi isu tersebut, kerana ia berpunca daripada sikap kerajaan Pas Kelantan sendiri yang didakwa peniaga terbabit mungkir janji dan mereka hanya menuntut janji tersebut.

Apa yang berlaku sebenarnya, menyerlahkan lagi sikap pemimpin Pas di Kelantan yang ibarat ‘kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.’

Jika sebelum ini pada pihak-pihak dalam Pas yang menuntut Kerajaan Pusat memberikan penjelasan berhubung kelewatan pembinaan projek Jambatan Sultan Yahya Petra kedua, maka, desakan sama patut dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Ini kerana, selain ‘membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta’ itu, berapa banyak pula kos yang terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi membiayai pembesaran dan pembersihan semula gerai-gerai berkenaan?

“Awak berniaga, takkan awak tak buat kira-kira untung rugi dalam pembinaan projek itu. Siapa sebenarnya yang untung? Kini, nak besarkan semula lot-lot niaga terbabit. Siapa pula yang bakal menerima habuan daripadanya?” soal seorang pemimpin masyarakat bukan Melayu ketika mengulas isu tersebut.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian pula, kemelut Bazar Tok Guru hanya menyerlahkan kegagalan kerajaan Pas Kelantan dalam melaksanakan projek usaha sama dengan syarikat swasta yang akhirnya mengorbankan wang rakyat.

“Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan mengalami kerugian tanah kira-kira RM30 juta dan ini akan tambah kerugian serta beban kewangan kerajaan negeri yang sememangnya sudah ‘meletihkan.’

“Minta rakyat pandang serius masalah ini kerana pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh dipandang mudah, ia melibatkan wang rakyat.

“Sepatutnya kerajaan negeri sudah membuat pertimbangan lebih awal apabila ada pihak-pihak tertentu dalam PMKB yang cuba mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) berkata, kemelut Bazar Tok Guru, Bazar Tengku Anis, pembangunan Lembah Sireh dan banyak lagi projek usaha sama yang gagal dilaksanakan, menunjukkan ketidakcekapan dan tidak amanah kerajaan Pas Kelantan setelah dipilih oleh rakyat.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive