Saturday, June 18

‘Pokok senyum’ rezeki si penoreh





Bagaikan tidak percaya, tetapi itulah kenyataannya apabila wartawan Sinar Harian sendiri berkesempatan melihat sendiri pohon getah yang mempunyai wajah seakan manusia di kawasan tanaman getah di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus. 

Biarpun kawasan itu terletak lebih 200 meter dari kaki bukit dengan ketinggian yang agak curam, namun bagi melihat kebenaran yang digambarkan si penoreh yang mengusahakan tanaman getah itu, wartawan Sinar Harian tekad mendaki bersama penduduk kampung itu. 

Mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke kawasan yang dimaksudkan, akhirnya berjaya melihat sendiri sebatang pokok getah yang mempunyai wajah seakan manusia itu. 

Ternyata pokok getah yang digelar ‘pokok senyum’ oleh penoreh, Zulkefly Baharom, 50, dan isterinya, Ruziah Mohd Salleh, 49, memang benar. 

Baru menoreh sebulan lalu 

Zulkefly yang juga pesara tentera berkata, sebelum ini kawasan tanaman getah yang mempunyai lebih 100 pokok itu ditinggalkan tanpa ditoreh sejak dua bulan lalu. 

Bagaimanapun, sejak sebulan lalu dia dan isteri mengambil keputusan untuk mengusahakan kebun getah milik bapa saudara mereka itu daripada terus terbiar sebelum ia ditebang dalam masa terdekat bagi tujuan tanaman semula. 

Menurutnya, biarpun sudah masuk sebulan menoreh, namun ia hanya disedari selepas seminggu mereka mengusahakan tanaman itu dan suatu yang tidak dijangka apabila kebetulan pula hasil susu getah yang keluar dari pokok itu juga lebih banyak dari yang lain. 

Malah satu daripada 100 pokok yang diusahakan oleh pasangan suami isteri itu sebagai kerja sampingan sejak pertengahan Mei lalu membawa rezeki kepada mereka sekeluarga apabila ia mengeluarkan hasil susu getah yang banyak. 

Menceritakan kembali bagaimana mereka boleh menyedari wajah seakan manusia di pokok itu, Ruziah berkata, selepas seminggu mula menoreh di situ, dia tersedar dengan kewujudan pokok senyum itu apabila terpandang ke arah pokok itu dengan lebih teliti. 

Menurutnya, jika sebelum ini dia dan suami hanya menoreh tanpa sempat membelek-belek pokok itu, namun kebetulan pada masa itu terdetik untuk mendongak sehingga ke atas pokok itu. 

“Terkejut saya apabila tiba-tiba ternampak ada satu wajah seakan manusia pada batang pokok getah yang sedang ditoreh lalu saya menjerit memanggil suami untuk melihatnya,” katanya. 

Ada bentuk mata,hidung, mulut 

Zulkefly berkata, sebelum ini dia tidak pernah melihat pokok yang menyerupai wajah manusia seperti itu malah lengkap dengan bentuk mata, hidung dan mulut. 

Menurutnya, setiap hari pokok getah itu mampu mengeluarkan hampir sekilogram susu getah berbanding hasil pokok yang lain. 

“Kami tidak menyangka hasrat menoreh sebagai kerja sampingan ini benar-benar memberi rezeki lebih kepada kami tambahan pula harga getah kini mencecah RM6.10 sekilogram,” katanya. 

Sementara itu, Ruziah berkata, kemungkinan bentuk itu wujud kerana dahan pokok yang patah sehingga menjadi mata kayu. 

Namun bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur diberi peluang melihat ciptaan Tuhan yang begitu unik dan memberi rezeki lebih untuk keluarga.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive