Tuesday, January 4

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang dianggap menghina Sultan Selangor.


IA pada mulanya hanya berkisar kepada pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd.Sidek Hassan berhubung pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu ternyata tidak menyenangkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang seolah-olah menentangnya biarpun ia sudah mendapat perkenan Sultan Selangor.

Lanjutan itu wujud tindakan-tindakan yang boleh dianggap biadab oleh pemimpin-pemimpin politik PKR, termasuklah yang paling mengejutkan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Wakil Rakyat PKR itu melalui blognya membidas pelantikan berkenaan dan nada tulisannya turut berbaur ugutan sehingga ditafsirkan cuba menderhaka kepada sultan.
Persoalannya, wajarkah ahli politik seperti Shuhaimi dibiarkan begitu sahaja tanpa dikenakan tindakan?

Sebab itulah ramai pihak menyokong cadangan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mencadangkan beberapa tindakan tegas diambil ke atas pihak yang menghina serta menderhaka kepada Sultan Selangor.

Tegas Zulkifli semua pihak yang mengugut dan menentang perkenan sultan dalam isu tersebut perlu didakwa di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana 'perbuatan memerangi Raja-Raja Melayu'.

Sudah jelas kini perbuatan Shuhaimi bukan sahaja biadab dan melanggar tata-susila sebagai pemimpin politik Melayu malahan boleh mencetuskan perasaan marah di kalangan orang Melayu.

Kita memahami Shuhaimi mungkin hendak menonjolkan dirinya sebagai pembela kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tetapi biarlah ia berlandaskan kepada kesopanan dan tatasusila sebagai pemimpin Melayu.

Kalaulah orang seperti Shuhaimi begitu mudah mengeluarkan kenyataan yang dilihat memberi peringatan kepada sultan, bagaimana pula dengan pemimpin daripada kaum lain?

Jelaslah, dalam soal ini pihak berkuasa tidak boleh lagi bertolak ansur, bukti sudah jelas dan laporan polis sudah dibuat. Shuhaimi perlu disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya.
Pemimpin-pemimpin politik seperti beliau harus diberi pengajaran agar tidak melampaui batas dalam apa juga tindakan mereka.

Institusi raja-raja harus dihormati dalam apa juga keadaan dan bukannya dicerca apatah lagi diugut dengan sewenang-wenangnya.

Dalam soal ini, kita bersetuju dengan pandangan Zulkifli bahawa perbuatan Shuhaimi tidak boleh dibiarkan apatah lagi bertolak ansur kerana pada pandangan Zulkifli ia amat biadab lagi kurang ajar bagi mana-mana rakyat di negeri Selangor melakukan perbuatan derhaka seperti itu.

Justeru sekali lagi, rakyat terutamanya orang Melayu menantikan apakah langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa kepada Shuhaimi.

Mereka ingin melihat ketegasan dalam soal ini dan bukan sekadar peringatan atau amaran sahaja. Ia disebabkan Shuhaimi telah mempertikaikan kedudukan serta bidang kuasa institusi beraja.

Shuhaimi boleh mencari populariti politik kerana itulah sikap pembangkang tetapi janganlah sampai ia melanggar norma-norma sebagai pemimpin Melayu dan orang Islam.

Menyifatkan seorang sultan lebih memihak kepada sesuatu parti politik sememangnya satu perbuatan yang biadab dan tidak boleh dimaafkan.

Shuhaimi tidak perlu berdolak-dalik dalam isu ini, beliau perlu bersedia bertanggungjawab terhadap perbuatannya. Jangan pula menuduh mana-mana media memutar belitkan kenyataan beliau kerana buktinya sudah ada dalam blognya.

Oleh itu, bagi pihak berkuasa tidak ada apa lagi yang perlu mereka tunggu sebaliknya sekarang adalah masa untuk bertindak supaya ia memberi pengajaran kepada semua ahli politik bahawa setiap apa yang mereka lakukan ada hadnya, jika terlanjur maka bersedialah menghadapi tindakan.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive