Sunday, January 2

Tonto Video Cetak Rompak lebih Hebat Daripada Penguatkuasa



Malam tadi saya ke Batu Feringghi Pulau Pinang, kususnya ke pasar malam sepanjang jalan berhadapan hotel-hotel mewah. Pasar malam ini terkenal bukan sahaja di kalangan pelancong tempatan tetapi pelancong antarabangsa. Ia adalah sebahagian daripada tarikan pelancongan Pulau Pinang.



Walaupun hujung minggu, pasar malam itu cukup meriah bermandikan cahaya dan dikunjungi ramai pelancong, terutama dari negara-negara Arab. Kesesakan jalan tetap berlaku termasuk beca roda tiga yang turut dihiasi lampu berwarna-warni. Suasana sememangnya ceria.

Dalam keghairahan orang ramai membeli-belah atau sekadar meninjau sepanjang pasar malam, tiba-tiba suasana bertukar menjadi kelam-kabut. Penjual barangan tiruan seperti tas tangan 'berjenama', pakaian 'berjenama' dan DVD atau CD cetak rompak begitu pantas menyimpan barangan tersebut.

Pada mulanya, saya menyangka mereka hendak menutup kedai tetapi setelah melihat seorang pemuda 'bersenjatakan walkie-talkie' memberi arahan dalam loghat Hokkien, barulah saya sedar apa yang sedang berlaku.

Pemuda berkenaan dan beberapa orang rakannya yang turut menggunakan 'walkie-talkie' adalah tonto. Tugas mereka memaklumkan kehadiran pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. 

Saya dapati sebuah van Bahagian Penguatkuasa kementerian berkenaan diekori oleh seorang tonto bermotosikal yang menyalur maklumat tentang kedudukan van tersebut kepada tonto lain melalui 'walkie-talkie'. Nampaknya kesiapsagaan tonto mengatasi operasi atau tugas para pegawai penguatkuasa kerana kehadiran mereka dihidu terlebih awal dan peniaga yang memperaga dan menjual barangan tiruan atau cetak rompak mudah terlepas daripada tindakan.

Apa yang jelas daripada episod malam tadi ialah pihak tonto jauh lebih hebat daripada pihak berkuasa atau penguatkuasa. Peniaga terlepas manakala penguatkuasa pulang dengan tangan kosong.

Episod itu juga memberi jawapan jelas kepada pihak penguatkuasa atau kementerian berkenaan iaitu bukan peniaga jalanan atau pasar malam yang mesti diperangi atau dijadikan sasaran tetapi pihak yang sama ada mengeluar atau mengedar barangan tersebut. Ia sama dengan usaha menangani masalah dadah, bukan penagih yang seharusnya dijadikan sasaran, tetapi pengedar dan mereka yag terlibat dalam memproses dadah termasuk narkotik sintetik.

Dalam usaha menghapus jualan barangan tiuruan atau cetak rompak dan dadah, puncanya mesti dimusnahkan.

Penjual hanyalah 'ikan bilis' yang  akan pupus jika sumber perolehannya yang merupakan  'jerung' dihapuskan terlebih dahulu.

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive