Thursday, January 13

UMNO Pulau Pinang perlu yakinkan rakyat untuk kembalikan kuasa




DALAM tempoh kira-kira tiga dekad lalu, UMNO Pulau Pinang diterajui pemimpin kanan parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan juga Naib Presiden. Jadi, sudah semestinya mereka memegang juga jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri kanan dalam kerajaan. 

Kini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, hanya ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan tiada sebarang jawatan dalam Kabinet. Jika dibandingkan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang pernah menerajui UMNO Pulau Pinang, mungkin beliau terlalu kecil.



Ketika Abdullah dan Anwar menerajui UMNO Pulau Pinang, pentadbiran negeri berada bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak menghadapi tekanan daripada kerajaan negeri berbanding sekarang, negeri yang diperintah pakatan pembangkang pimpinan DAP.
Bagaimanapun, tiada jawatan penting dalam parti dan Kabinet bukan bermakna seseorang itu tidak boleh berkhidmat dengan cemerlang. Sebab itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menaruh kepercayaan kepada Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal itu untuk memimpin barisan kepemimpinan UMNO Pulau Pinang bagi mengembalikan keyakinan rakyat bagi membolehkan BN memegang semula tampuk pemerintahan negeri. 

Zainal Abidin sedar beliau tidak memiliki jawatan dalam Kabinet tetapi yakin mampu meletakkan semula saf kepemimpinan UMNO Pulau Pinang dalam kedudukan betul. Lebih penting lagi untuk berhadapan dengan propaganda dan dasar pembangkang penuh dengan agenda tersirat di negeri ini. 

“Walaupun tidak memiliki jawatan tinggi dalam parti dan kerajaan, saya tidak merasakan itu sebagai kecacatan kerana saya boleh gantikannya dengan masa. Saya yakin ada lebih banyak masa bersama rakan meneruskan perjuangan parti. 

“Saya juga ada barisan kukuh di Pulau Pinang. Saya ada ketua bahagian, jawatankuasa UMNO bahagian, ketua cawangan, ahli jawatankuasa cawangan, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri pada semua peringkat. Struktur parti sedia ada memberi kelebihan,” kata Zainal Abidin yang turut yakin timbalannya, Datuk Musa Sheikh Fadzir, dapat membantu. 
Apapun hakikat yang perlu diterima UMNO Pulau Pinang dan parti komponen BN ialah mendapatkan kembali keyakinan rakyat supaya parti kembali berkuasa. Tanggungjawab itu amat berat kerana pukulan ketika pilihan raya umum 2008 amat parah. Daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), hanya 11 kerusi dimenangi, itupun oleh wakil UMNO manakala kerusi GERAKAN, MCA dan MIC hilang semuanya. Kerusi Parlimen pula hanya dua dimenangi daripada 13 kerusi, juga oleh wakil UMNO. 

Tugas UMNO Pulau Pinang bukan saja mengekalkan kerusi dimiliki tetapi mendapatkan kembali yang terlepas ke tangan pakatan pembangkang. Begitu juga dengan parti komponen lain perlu memastikan sekurang-kurangnya BN mendapat majoriti mudah untuk kembali memerintah. 

Bagi UMNO Pulau Pinang, tugas berat yang menanti bukan saja meraih sokongan orang Melayu malah bukan Melayu. Ini kerana di Pulau Pinang, jika UMNO mampu meraih keseluruhan sokongan Melayu sekalipun, BN belum dapat kembali berkuasa. Pengundi Melayu hanya mewakili 35 peratus daripada jumlah pengundi di Pulau Pinang. 

Oleh itu, jika UMNO hendak tunjukkan kehebatan berkhidmat kepada rakyat, ia bukan terhad kepada pengundi Melayu tetapi kaum lain yang mewakili 65 peratus pengundi. UMNO kena yakinkan bahawa BN boleh jadi lebih baik berbanding Kerajaan DAP Pulau Pinang. UMNO harus buktikan kepada orang Cina dan India untuk memberi semula mandat kepada BN bagi memastikan ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan rakyat terpelihara. 

Untuk mengembalikan keyakinan rakyat, perjuangan UMNO Pulau Pinang perlu berubah kerana orang tidak lagi melihat jasa UMNO dalam pelajaran, kebajikan dan pembangunan. Orang tidak lagi berpegang kepada jasa kerana rakyat sudah berpandangan ‘kalau parti mana pun memerintah, mereka akan berjasa.’ 

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive