Sunday, November 21

BN Setuju Keanggotaan Terus.

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini bersetuju meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus berkuat kuasa hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN berkata, keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan dan selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu.
“Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu.
“Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini.
Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.
“Ini satu usaha kita, untuk pergi kepada kumpulan-kumpulan lain yang ingin bekerjasama dengan BN kerana mereka percaya dengan matlamat perjuangan BN,” katanya.
Najib berkata apapun keputusan yang dibuat dari segi anggota bersekutu dan anggota bergabung hanya akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN kelak dan syarat itu diletakkan bagi mengelakkan mereka yang mempunyai niat jahat terhadap BN menyertai parti itu, katanya.
“Ini kerana kita tak boleh nak tentukan segala-galanya tetapi kita akan ambil kira pandangan dari semua parti komponen BN, di mana semua keputusan kita buat secara sebulat suara,” jelas beliau.
Najib berkata anggota parti komponen BN pula tidak boleh menyertai BN secara keanggotaan bersekutu dan bergabung.
“Maknanya kalau kita dah jadi (anggota) Umno, tak boleh tinggalkan Umno. MIC (pohon) masuk bersekutu (pun tidak boleh),” katanya.
Najib berkata pindaan perlembagaan itu juga melibatkan penubuhan Kelab Sahabat BN yang membuka peluang kepada sesiapa yang mahu menjadi sahabat dan rakan kepada BN. Pindaan itu akan diwartakan dan tarikh ia berkuat kuasa akan dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Selain itu, Kelab Rakan Muda BN juga akan diwujudkan dengan kumpulan sasaran adalah mereka yang berumur antara 18 dan 21 tahun yang ingin menyokong dan menghayati perjuangan parti tetapi belum menjadi pengundi.
Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu adalah yang terakhir bagi Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dan mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan atas sumbangan beliau selama ini.
Najib berkata Samy adalah rakan setia kepada BN dan berharap bekas Menteri Kerja Raya itu terus bersama BN dengangan turut menyumbang dalam kapasiti berlainan untuk kepentingan bersama.
Mengenai Konvensyen BN pada 28 Nov ini, Najib berkata segala persiapan telah diatur dengan baik dan Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa tema utama konvensyen itu mesti berkisar kepada konsep bahawa BN mendahulukan kepentingan rakyat ataupun BN meletakkan kepentingan rakyat sebagai kepentingan utamanya.
“Ini adalah supaya tema kita ini mesti selaras dengan tema nasional, kita tekankan rakyat kerana dalam demokrasi berparlimen inilah (rakyat) merupakan kelompok yang terpenting,” katanya.
Beliau berkata BN mesti merupakan parti yang sanggup berkhidmat, berjuang dan membela kepentingan rakyat pada setiap masa dan ketika.
Dewan Tertinggi BN juga membincangkan perkembangan semasa terutama mengambil kira kejayaan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri Galas yang memberi tanda bahawa sokongan rakyat kepada BN sedang meningkat.
Namun, katanya, Dewan Tertinggi BN mengambil keputusan bahawa usaha melakukan pembaharuan dan perubahan secara positif bagi terus menambah keyakinan rakyat akan terus dilakukan.
“BN merupakan sebuah parti yang bersandarkan kepada perubahan berasaskan kepada tema kita…slogan nasional kita…1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
“(Ini) bererti bahawa kita akan terus melakukan apa yang perlu untuk memperlihatkan perubahan positif ini dan memperkenalkan dasar-dasar, program dan produk yang dapat menyentuh rasa hati rakyat,” katanya.
Menurutnya Dewan Tertinggi BN berpendapat melalui pendekatan seperti ini, keyakinan rakyat terhadap BN dapat ditingkatkan.
Di samping itu, Najib berkata permasalahan sama ada antara parti komponen BN ataupun dalam BN hendaklah dibendung dan hendaklah menjurus kepada sifar masalah.
“Apabila kita dapat capai perkara ini maka rakyat akan tambah lebih yakin bahawa kita bukanlah parti yang berbalah sesama sendiri tapi kitalah parti yang akan terus bergerak dan berjuang untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive