Al-Udhiyah, ia merujuk kepada haiwan ternakan yang disembelih pada hari ‘Idul Adha dan hari-hari Tasyriq dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SAW. Haiwan ternakan yang dibolehkan untuk korban ialah unta, lembu, kambing, atau biri-biri. (Abu Malik Kamal, Ensikolopedi Fiqh Wanita, jil. 2, m/s. 115. Dan ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 3, m/s. 566) Menurut Ibnu Taimiyah: “Tidak wajib menyembelih korban, melainkan bagi mereka yang mampu.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 23/162-164) Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memiliki keluasan (rezeki) namun dia tidak berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.” (Hadis Riwayat Ahmad) Justeru menurut pendapat yang kuat dan tepat (rajih) hukumnya adalah wajib bagi setiap Muslim berkemampuan untuk berkorban. (Syaikh Ali Hasan al-Halabi, Meneladani Rasulullah Dalam Berhari Raya, m/s. 86, Pustaka Imam asy-Syafi’i) Hari yang disyariatkan untuk menyembelih haiwan korban ialah pada 10, 11, 12, dan 13 Zulhijah. Imam asy-Syafie rahimahullah berkata: “Waktu menyembelih haiwan korban ialah ketika imam telah selesai solat Aidiladha. Apabila hari-hari Mina telah berlalu (tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijah), tidak boleh lagi menyembelih korban. (Imam asy-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fi al-Fiqh, Terbitan/terjemahan: Pustaka Azzam, Jakarta (2004), jil. 1, m/s. 737) Jenis-jenis haiwan untuk ibadah korban ialah dari haiwan ternakan berupa unta, lembu, kambing, kibas, atau biri-biri. (Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 2/559) Umur yang sesuai bagi haiwan untuk disembelih disebutkan secara umum, iaitu perlu mencapai usia Musinnah dan Jadza’ah, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Janganlah kamu menyembelih (haiwan ternakan) kecuali setelah mencapai usia musinnah (usia yang matang bagi unta, lembu, dan kambing). Namun apabila mengalami kesukaran, maka sembelihlah binatang yang telah mencapai usia jadza’ah (usia yang matang: 6 bulan) dari domba (kibas).” (Hadis Riwayat Muslim) Disebabkan tiada ketentuan khusus berkenaan batasan usia, maka berlakulah perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Akan tetapi pendapat yang paling banyak dipilih ialah sebagaimana berikut: Unta 5 tahun (atau lebih), lembu 2 tahun (atau lebih), kambing 1 tahun (tidak kurang darinya), dan kibas 6 bulan. (Pendapat ini dipilih oleh Syaikh al-‘Utsaimin, asy-Syarhul Mumti’, jil. 7, m/s. 460) Beberapa bentuk haiwan yang tidak dibenarkan sebagai ibadah korban ialah yang jelas buta, sakit, cacat (tidak boleh berjalan betul), tidak bersumsum (teramat kurus/tidak berlemak), dan yang putus telinganya. al-Barra’ bin Azib radhiyallahu ‘anhu berkata, “Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami dan bersabda: “Empat haiwan yang tidak boleh dijadikan korban ialah - yang jelas butanya, yang jelas sakitnya, jelas cacatnya (tidak boleh berjalan betul), dan yang terlalu kurus”.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, dengan katanya hasan sahih) Bagi setiap korban adalah bagi dirinya dan keluarganya. “Pada zaman Rasulullah SAW, seseorang berkorban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Mereka memakan dan memberi makan orang lain, kemudian manusia berbangga sehingga seperti yang engkau lihat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Dinilai Sahih oleh al-Albani) Menurut Imam ash-Shan’ani: “Seekor kambing adalah untuk seorang lelaki dan keluarganya sebagaimana yang dilakukan SAW.” (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3/584) Manakala bagi seekor unta untuk 10 orang (satu bahagian untuk satu keluarga). “Bahawasanya Nabi SAW menyebutkan seekor unta untuk 10 orang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Setiap seekor lembu pula ialah untuk tujuh orang (satu bahagian/orang mewakili untuk satu keluarga) sebagaimana dalam hadis: “... dan seekor lembu untuk tujuh orang.” (Hadis Riwayat al-Tirmidzi. Dinilai sahih oleh al-Albani) Disunnahkan untuk melakukan penyembelihan di tanah lapang tempat solat Aidiladha. Ibnu ‘Umar r.a berkata, “Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW menyembelih haiwan korban di musala, iaitu kawasan lapang tempat menunaikan solat Aidiladha.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Dari Anas bin Malik r.a katanya: “Rasulullah SAW berkorban dengan dua ekor kambing kibas bertanduk. Beliau mengucapkan “Bismillah” dan bertakbir (Bismillah - Allahu Akbar), lalu beliau meletakkan kaki beliau di atas dahi binatang tersebut. Beliau menyembelihnya dengan tangan sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Disunnahkan supaya membaringkan haiwan korban (seperti kambing): “... Beliau pun mengambil pisau dan kambing tersebut, lalu membaringkannya dan menyembelihnya dengan berkata (berdoa), “Bismillah, Ya Allah, terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarganya, dan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim) Hadis ini menjelaskan posisi kambing korban yang direbahkan, sehingga tidak disembelih dalam keadaan berdiri atau duduk kerana keadaan tersebut lebih mudah baginya (di mana dengan tangan kanan memegang pisau dan tangan kiri memegang kepala). Dan ini adalah ijma’ (kesepakatan) para ulama. Caranya adalah dengan merebahkan haiwan di atas lambung kirinya. Disunnahkan juga berdoa supaya diterimanya haiwan sembelihan (ibadah korban yang dilakukan). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3/569) Hendaklah menyembelih menggunakan pisau yang tajam. Ketika Nabi hendak menyembelih, beliau meminta ‘Aisyah mengambil pisau dan mengasahnya terlebih dahulu. (Rujuk: Hadis Riwayat Muslim) Dibolehkan untuk mewakilkan sembelihan kepada orang lain. ‘Ali r.a berkata, “Rasulullah SAW memerintahkanku untuk menyembelih untanya, dan membahagi-bahagikan kulitnya serta peralatan yang biasa diletakkan di punggung unta.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Sebagaimana hadis di atas, disunnahkah juga untuk melafazkan Bismillah dan bertakbir (Allahuakbar) sebaik hendak menyembelih. Kemudian, haiwan korban boleh untuk dimakan dan diagih-agihkan. Allah SWT berfirman: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa haiwan ternakan. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara (miskin) dan fakir.” (Surah al-Hajj, 22: 28) Adalah dilarang menjadikan daging korban sebagai upah. ‘Ali r.a berkata, “Rasulullah SAW memerintahkanku untuk menyembelih untanya, dan membahagi-bahagikan kulitnya serta peralatan yang biasa diletakkan di punggung unta. Beliau juga memerintahkanku supaya tidak memberikan daging tersebut kepada tukang sembelih (atau yang mengurus). Akan tetapi kami memberikan upah kepadanya dengan wang kami sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) “...Dan aku tidak dibenarkan memberi apa pun dari korban tersebut kepada penyembelihnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Ulama bersepakat bahawa menjual daging korban adalah dilarang. Mereka berselisih pendapat dalam masalah kulit dan rambut yang boleh dimanfaatkan. Majoriti ulama menyatakan bahawa perkara tersebut tidak dibolehkan (untuk dujual beli). (ash-Shan’ani, Subulus Salam, 3/582) Terakhir perlu diketahui bagi yang ingin melaksanakan korban, adalah baginya dimakruhkan memotong kuku dan rambut. Rasulullah SAW bersabda, “Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijah dan ada di antara kamu semua yang ingin berkorban, maka janganlah memotong rambut dan kukunya walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Muslim) Apa yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong, mencabut atau dengan cara lain (secara sengaja). Termasuk juga larangan menghilangkan rambut sama ada dengan mencukur, memendek, mencabut, membakar, menggunakan sesuatu untuk menghilangkan rambut dan apa juga cara, sama ada pada bulu ketiak, misai, bulu ari-ari, rambut atau bulu-bulu lain di bahagian anggota badan yang lain. (an-Nawawi, Syarah Shohih Muslim, 13/ 138-139) Sesiapa yang melanggar larangan ini (mengunting rambut dan memotong kuku), hendaklah dia memohon keampunan kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau pun terlupa. (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 11/96) *Dari meja Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO (Ilmu). Mat kilau:Selamat menyambut hari raya Qurban,Selamat menunaikan ibadah Qurban kepada semua. |
Sindiket Dadah Ditumpaskan, Dua Lelaki Ditahan di Johor Bahru
-
Johor Bahru – Tak kira bagaimana liciknya taktik mereka, akhirnya sindiket
pengedaran dadah yang membungkus serbuk ekstasi dalam sampul menyerupai
mata wan...
No comments:
Post a Comment