exponegaraku

Monday, March 10

APA DAH JADI..........KESIAN...


Kalau dah sampai macam nie memang parah menanti bagi PKR dan Anwar serta Proksinya.Segala perancangan awal bakal berterabur dan pincang dalam masa terdekat. Berikut adalah perancangan awal yang telah diatur oleh Anwar.

Anwar mahu imej dan pasukan pengurus kerajaan negeri Selangor ditukar. Maka Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan ditugaskan menjadi Ketua Staf di pejabat Menteri Besar. Ini bagi menjamin PKR akan sentiasa peka setiap rancangan negeri.

Melalui pendekatan ini, PKR akan memastikan aspirasi parti akan dapat diterjemahkan oleh kerajaan negeri. Saifuddin sendiri memang telah terlalu lama menanti melaksanakan tugas yang dirancang Anwar itu tetapi masih tidak dilaksanakan oleh Khalid.

Serentak itu, Rafizi Ramli yang terlatih di bidang audit dan perancangan korporat akan diberi tanggungjawab untuk menasihati Wan Azizah perihal isu pembangunan dan perancangan ekonomi. Ini juga akan menghindar Wan Azizah daripada bergantung kepada Khalid sebagai sumber rujukan.

Gelagat Khalid membelakangkan kepentingan parti dalam percubaannya menyelesaikan isu bekalan air terawat di Selangor secara sendirian benar-benar mengukuhkan azam Anwar dan PKR tidak mahu mengekalkannya di kerusi Menteri Besar.

Apabila faktor Khalid yang sering bertindak “serba tahu” dapat diketepikan, lebih mudah bagi Anwar merencanakan strategi melalui Wan Azizah untuk melonjakkan Selangor sebagai contoh kehebatan pimpinan Pakatan Rakyat.

Ini tidak sukar dilakukan kerana Selangor memang sebuah negeri yang mampu mencerna pendapatan tinggi. Ini kerana Lembah Kelang masih lagi nadi kegiatan ekonomi negara. Selangor akan lebih mudah berkongsi program ekonomi dengan Pulau Pinang dan Kelantan.

Mampukah Azizah capai objektif ‘Langkah Kajang’?

Menjelang tahun 2018 di mana Pilihan Raya Umum ke-14 dijadualkan, Pakatan Rakyat akan dapat mewujudkan model kerjasama ekonomi, pembangunan sosial dan masyarakat yang menggiurkan pengundi di negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Itu objektif “Langkah Kajang”.

Namun adakah semudah itu “Langkah Kajang” dilaksanakan oleh Wan Azizah? Semasa memperkenalkan PKR kepada rakyat di zaman awalnya, Wan Azizah memang sesuai menjadi duta atau proksi Anwar kerana tahap simpati rakyat amat tinggi.

Bagaimanapun setelah lima belas tahun wujud, ramai dalam PKR sendiri tidak begitu selesa dengan metode politik Anwar. Salah seorangnya ialah Khalid Ibrahim. Sebab itu beliau enggan berganjak dari kerusi menteri besarnya.

Dalam tempoh enam tahun memimpin Selangor, Khalid yakin beliau sudah dapat membina kelompok penyokong yang kuat. Sebab itu beliau mahu mengukuhkan lagi kedudukan politiknya dengan mencabar Azmin Ali bagi kerusi Timbalan Presiden parti.

Selain itu, Azmin juga kurang gembira Anwar telah memberi terlalu banyak “muka” kepada Khalid sejak menjadi Menteri Besar. Walaupun tiada jawatan dalam parti, beliau sering “ponteng” mesyuarat Biro Politik PKR. Dengan hanya menghantar wakil ke mesyuarat itu, Khalid berasa “kurang terikat” dengan keputusan halatuju parti.

Ini menjengkelkan Azmin dan pimpinan lain. Ketika Anwar sibuk bermain politik untuk menenangkan pimpinan parti, Khalid terus bersikap agresif terhadap saingan politiknya, terutama Azmin.

Azizah juga perlu menjinakkan Azmin dan Khalid

Kini Wan Azizah “mewarisi kembali” tanggungjawab sepenuhnya sebagai Presiden PKR di kala krisis kepimpinan Azmin dan Khalid memuncak. Tidak sampai tiga bulan lagi pemilihan akan berlaku dalam PKR. Wan Azizah perlu menangani persaingan yang sengit ini agar tidak memecahbelahkan parti.

Memang benar PKR ada beberapa pemimpin muda yang mungkin membantu beliau mengurus parti dan negeri Selangor. Bagaimanapun PKR pun kini sudah dihinggapi sindrom berpuak dalam politik.

Lima belas tahun lalu, PKR adalah parti idealisme. Tugasnya ialah untuk berkempen betapa Malaysia memerlukan reformasi dan ikon gerakan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Anwar Ibrahim. Semua idealis membantu dan menyumbang supaya matlamat membebaskan ikon itu tercapai.

Sekarang PKR ialah parti politik yang kompleks. Ada unsur kepentingan diri, ada yang memburu pangkat dan kedudukan dan sudah ada ahli yang mengumpul dividen politik hasil perjuangan parti untuk “mengambil alih pula kuasa” dalam PKR.

Mampukah Wan Azizah terus memainkan peranan “proksi” Anwar seperti lima belas tahun lalu? Itu belum mengambil kira bahawa PAS pun masih bernafsu untuk meletakkan calonnya di kerusi Menteri Besar jika Khalid disuruh berhenti.

No comments:

Followers

My Blog List

PENAFIAN

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi mkp.mkp tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.berkongsi maklumat dengan webmasterMKP@gmail.com

Blog Archive