Daripada ratusan pemimpin negara dan lebih 200,000 umat Islam berada di program Selawat Perdana – Malam Cinta Allah dan Rasul di Dataran Masjid Putra, Putrajaya malam tadi, tidak ada seorang pun pemimpin pembangkang hadir.
Sama ada mereka tidak dijemput atau tidak berminat dengan program keagamaan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang prokerajaan, tidak diketahui, tetapi tindakan mereka itu menampakkan kecetekan fikiran jika mahu dikaitkan majlis berkenaan dengan politik.
Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang terutama dari Pas beriya-iya menegur kerajaan supaya tidak meluluskan permit hiburan atau konsert yang melalaikan, tetapi apabila ada program keagamaan, mereka tidak menunjukkan semangat untuk hadir menjayakannya.
Dari sini, nampak jelas pembangkang sentiasa mempolitikkan semua isu tidak kira majlis apa sekalipun dianjurkan jika ada kaitan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kabinet.
Pembangkang lebih berminat mengadakan ceramah politik dengan menyampaikan ucapan berbaur fitnah dan memaki hamun daripada menghadiri program Selawat Perdana anjuran generasi muda dan NGO Islam.
Namun, walaupun tanpa kehadiran mereka, program Selawat Perdana yang dimulai pukul 9.15 malam berjaya menarik lebih 200,000 umat Islam yang menggegarkan Dataran Masjid Putra dengan alunan selawat, zikir dan qasidah.
Orang ramai dari seluruh negara mula membanjiri Dataran Masjid Putrajaya seawal jam 6 petang untuk mengambil sudut hadapan dengan pentas yang menempatkan pendakwah terkenal, Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf.
Ketika azan Maghrib, pengunjung sudah mencecah hampir 100,000 orang dan mereka menunaikan solat Maghrib berjemaah.
Selesai solat Isyak, mereka menunaikan solat hajat dan doa memohon petunjuk dari Allah agar mengembalikan penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang sejak dua minggu lalu ke pangkuan keluarga.
Pada pukul 9 malam, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansur yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat turun dari Masjid Putrajaya menuju ke dataran.
Manakala Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut bersama Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf, Habib Ali Zaenal Abidin dan barisan Sekretariat Selawat Perdana menuju ke pentas.
Majlis dimulakan dengan Habib Syech Abdul Qodir memulakan alunan qasidah ‘Ya Hanana’, selawat dan zikir sambil diikuti pengunjung yang memenuhi setiap ruang sekitar Dataran Masjid Putra.
No comments:
Post a Comment